BlogList Malaysia

04 January 2010

Tengku Temenggong kecewa titah Sultan Kelantan diingkar

Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra kecewa apabila beberapa pegawai kanan kerajaan tidak menghadap Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra di Hospital Mount Elizabeth, Singapura walaupun dititahkan baginda supaya berbuat demikian.

Berikutan itu, Tengku Muhammad Fakhry berkata, Sultan Kelantan tidak dapat menyampaikan titah supaya keanggotan dalam Majlis Perajaan Negeri (MPN) dikembalikan kepada senarai asal dan titah penarikan balik darjah kebesaran terhadap tujuh individu.

Menurutnya, disebabkan pegawai kanan terbabit tidak menghadap Sultan maka beliau sebagai anakanda telah pergi sendiri menemui baginda untuk menerima titah tersebut.

“Pegawai kanan kerajaan negeri telah dipanggil menghadap, Setiausaha Sulit pun belum hadir atau tidak dibenarkan hadir, saya pun tidak tahu.

“Sebagai anakanda ketiga baginda, apabila Tuanku sampaikan titah (arahan), saya mesti melaksanakannya.

"Titah baginda mengenai pemecatan ahli MPN dan penarikan balik darjah kebesaran itu terkandung dalam surat ini,” kata beliau ketika ditemui Utusan Malaysia, yang disiarkan hari ini.

Tengku Muhammad Fakhry berkata, surat tersebut mempunyai cap jari Sultan Kelantan serta tandatangan dua saksi, seorang pensyarah di Universiti Darul Iman dan doktor yang merawat baginda.

“Itu (pemecatan dan penarikan balik darjah kebesaran) satu titah daripada Tuanku, kita harus laksanakan dan kalau pihak tertentu tidak percayakan surat ini, sila menghadap Tuanku sendiri.

"Saya ingin tegaskan, Alhamdulillah, Tuanku makin sembuh,” katanya.


Pada masa yang sama, Tengku Muhammad Fakhry menafikan berlaku pergolakan di Istana Kelantan sehingga menyebabkan ayahandanya mengeluarkan titah memecat beberapa pegawai tertinggi istana dan menarik balik darjah kebesaran terhadap individu-individu tertentu.

Beliau berkata, baginda sendiri telah mengeluarkan titah untuk memecat beberapa nama dalam MPN namun sebab pemecatan itu hanya diketahui oleh baginda.

Tengku Muhammad Fakhry atas kapasitinya sebagai Tengku Temenggong semalam mengedarkan termasuk kepada pihak media surat bertajuk “Penyampaian Titah KDYMM Al-Sultan Kelantan” yang mendakwa Sultan Kelantan tidak bersetuju dan tidak mengesahkan sebarang pelantikan baru atau pemecatan daripada senarai asal anggota MPN yang dilantik pada 21 Mei 2009.

Dengan itu, baginda menitahkan melalui beliau supaya keahlian dalam MPN diubah kepada yang asal.

Surat ditandatangani sendiri Tengku Temenggong itu juga menyatakan, baginda mengarahkan penarikan balik beberapa darjah kebesaran bergelar “Datuk” kepada tujuh individu.

MPN yang ditubuhkan Sultan Kelantan dan dianggotai lapan individu yang diperkenankan baginda termasuk Tengku Temenggong.

Ia berperanan mengendalikan hal ehwal istana dan adat istiadat Kesultanan Melayu Kelantan termasuk pelantikan sultan.

Surat bertarikh 31 Dis itu dialamatkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Aiseri Alias dan salinan kepada kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

2 Komen :

Anonymous ,  January 4, 2010 at 3:21 PM  

salam....alahai...sudah2 la tu Tg Temenggong.....kami mmg sentiasa hormatkan tengku sbb tengku putera kpd Sultan yg kami kasihi.....

Tp dlm apa2 hal tentu kami lebih percayakan tindak tanduk yg dibuat oleh kekanda tengku iaitu Pemangku Raja....

alaaa...dah la tu...sampai bila Tg Temenggong nk biarkan diri jd kuda tunggangan bonda tu.....

Tengku bukan anak kecil....patut benar Tengku bebaskan diri dr pengaruh bonda...sampai bila tengku larat nk jd 'org suruhan' bonda ni.....

Anonymous ,  January 4, 2010 at 3:26 PM  

Patutnya Tg Temenggong jd spt Tg Bendahara & Tg Amalin yg tk masok campur hal ehwal pemerintahan kekanda tengku iaitu Pemangku Raja...

Tk pasal pulok nama Tg Temenggong rosak sbb rakyat sangka tengku sengoti nk lwn kekanda tengku....

Skali pikir kesian pulak kt Tg Temenggong.....yg berkrisis ialah bondanya dgn kekandanya....tp nama Tg Temenggong nampaknya diperguna 100%.....

Yg rosak ialah imej Tg Temenggong...bukan imej org yg berselindung di balik nama tg temenggong.....

hu hu hu....fakhry...fakhry....

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas