BlogList Malaysia

03 January 2010

Kalimah Allah - PAS putuskan pendirian rasmi esok

PAS pusat akan mengadakan mesyuarat khas esok untuk membuat pendirian rasmi mereka berhubung isu keputusan mahkamah membenarkan penggunaan kalimah “Allah” oleh akhbar mingguan Herald.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub ketika mengesahkan perkara itu berkata mesyuarat khas terpaksa diadakan memandangkan ia membabitkan isu penting menyentuh kepentingan awam.

“Ya, kami akan adakan mesyuarat esok... ini isu penting dan kami perlu mengadakan perbincangan untuk membuat pendirian,” kata Salahuddin ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Selepas perbincangan esok, Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) akan mengeluarkan kenyataan mengenai pendirian bersama kami secara rasmi esok,” katanya.

Mesyuarat itu akan diadakan di ibu pejabat parti itu di ibu negara malam esok.

Pertemuan itu dibuat bagi mencapai pendirian bersama ekoran kewujudan pelbagai pandangan yang berbeza di kalangan pemimpin PAS, ada yang menyokong dan ada yang membantah penggunaan kalimah “Allah” oleh gereja Katolik dalam terbitan mereka.

Terdahulu di Kota Baru, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata penggunaan kalimah ‘Allah’ pada penerbitan Herald mengikut hukum pengamal agama Samawi tidak menjadi satu kesalahan,


Cuma beliau bimbang perkataan “Allah” kemungkinan boleh disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu.

Kelmarin, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib berkata, keputusan mahkamah itu merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima kerana ia jelas melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama rasmi negara.

“Penerbitan bahan-bahan mengenai Kristian menggunakan perkataan Allah boleh mengelirukan penganut agama Islam di negara ini. Maka, kerajaan perlu bertegas dan ia tidak salah kerana selari dan selaras dengan Perlembagaan.

“Isu ini amat sensitif, seperti kes Natrah, walaupun saya tidak suka merujuk kepada peristiwa yang sudah lama berlaku itu tetapi kita tidak boleh mengambil sikap mudah dengan berharap semua pihak tidak akan merujuk peristiwa itu,” katanya.

Yang Dipertua PAS Shah Alam Khalid Samad mengambil sikap terbuka dengan mengeluarkan pandangan sebelum ini bahawa masyarakat bukan Islam sudah lama dan boleh menggunakan perkataan “Allah”.

Khalid walaupun bukan merupakan ahli jawatankuasa pusat PAS tetapi merupakan anggota Lajnah Politik parti itu.

Kedua-dua peringkat PAS itu akan mengadakan pertemuan bersama esok.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali ketika dihubungi mengesahkan mesyuarat malam esok membabitkan Lajnah Politik yang akan dihadiri oleh ahli-ahli jawatankuasa pusat parti.

“Agenda utama ialah berkaitan dengan isu penggunaan kalimah Allah ekoran keputusan mahkamah,” katanya.

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas