Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menasihatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima media dan wartawan sebagai rakan dan bukan sebagai "musuh".
"SPRM seharusnya menganggap media yang bertanggungjawab untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai sebagai rakan dalam menjalankan tugas siasatan mereka," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya Datuk Abu Kassim Mohamed yang melarang pihak yang membuat laporan kes rasuah kepada SPRM membawa bersama mereka media untuk mendedahkan maklumat kepada umum.
"Saya rasa tidak salah jika pihak media melaporkan kes-kes rasuah kerana apa yang dilaporkan cuma berupa peristiwa (event) dan bukannya mendedahkan maklumat siasatan secara terperinci kepada orang ramai," jelas Mahfuz.
"Dengan memberi amaran kepada pihak media, saya nampak seolah-olah SPRM cuba menyekat atau membendung kebebasan media," terang beliau.
Katanya, SPRM sepatutnya berusaha untuk memperbaiki integriti dan imejnya ekoran terhakisnya keyakinan orang ramai kerana gagal menjalankan siasatan atau mendakwa mereka yang berkedudukan tinggi dalam masyarakat atau ahli-ahli politik yang korup.
"Rakyat mempersoalkan kenapa sesuatu kes berprofil tinggi memakan masa yang lama untuk diselesaikan dan sebaliknya SPRM banyak membuang masa, tenaga dan wang ringgit menyiasat kes-kes rasuah yang melibatkan ikan-ikan bilis.
Mengenai "ugutan" SPRM untuk mengambil tindakan di bawah Seksyen 29 (4), Akta Pencegahan Rasuah 1997, beliau mencadangkan supaya akta tersebut dikaji semula kerana ini bertentangan dengan amalan demokrasi dan kebebasan bersuara.
Mahfuz berkata, "saya lihat pihak media banyak membantu SPRM dari segi mendapat maklumat dan menyampaikan maklumat itu dan bukan menganggu siasatan sepertimana yang didakwa oleh Abu Kassim."
Dalam sesi taklimat media yang pertama sejak memegang jawatan nombor satu SPRM itu di Putrajaya kelmarin, Abu Kassim berkata SPRM bimbang dengan trend terbaru semakin ramai pihak membuat laporan kes rasuah mendedahkan maklumat mengenainya kepada umum.
Beliau juga mendakwa pihak berkenaan juga sengaja membawa media bersama mereka sebelum atau selepas membuat laporan berkenaan, kononnya untuk mendapatkan publisiti.
Menurut beliau, tindakan itu merupakan satu kesalahan di bawah akta berkenaan dan boleh dipenjara selama dua tahun atau denda sebanyak RM100,000.
"Tindakan juga boleh dikenakan ke atas wartawan yang turut melaporkan maklumat-maklumat yang telah didedahkan itu. Mulai hari ini dan pada masa akan datang, kita mahu fenomena ini dihentikan. Ini adalah amaran terakhir," katanya lagi.
Tajuddin thanks Zahid for burying the hatchet
50 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment