BlogList Malaysia

15 January 2010

Najib Mahu 30% Pelajar Maktab Tentera Diraja Bukan Melayu

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu 30 peratus daripada pengambilan baru pelajar ke Maktab Tentera DiRaja (MTD) terdiri daripada bukan Melayu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kuota pengambilan pelajar bukan Melayu sebanyak 30 peratus itu bertujuan membuktikan bahawa MTD sebagai sebuah sekolah berasrama penuh adalah terbuka kepada semua kaum di negara ini.

Ketika ini jumlah pelajar bukan Melayu yang menuntut di maktab berkenaan adalah kira-kira lima peratus.

“Walaupun kampus baru maktab tersebut yang terletak di Sungai Besi akan siap dalam tempoh 24 bulan dari sekarang, tetapi pada tahun ini apabila keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) diumumkan, pengambilan pelajar ke tingkatan empat dan tingkatan 5 akan dimulakan sebagaimana mengikut arahan Perdana Menteri,” katanya selepas menyampaikan sumbangan pada majlis malam amal 1Malaysia anjuran syarikat Vesta di Petaling Jaya di sini.

Katanya, berdasarkan konsep 1Malaysia yang dilaungkan oleh Najib, beliau yakin pengambilan pelajar di kalangan bukan Melayu akan meningkat sebanyak 50 peratus.

Zahid berkata pelajar lepasan MTD boleh membuat pilihan sama ada melanjutkan pelajaran ke universiti atau menceburi bidang ketenteraan.

“Lazimnya kalau mereka memilih masuk ke bidang ketenteraan, mereka akan diberi elaun,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan PAS bahawa program Juara Rakyat menggunakan wang kerajaan, Zahid menafikannya dan menyatakan wang bagi membiayai program tersebut adalah daripada parti Umno.

“Program tersebut adalah anjuran badan perhubungan Umno negeri dan melibatkan pihak swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

“Dengan menggunakan konsep turun padang, kerajaan sentiasa mencari jalan untuk mendekati rakyat dan harus diingatkan kita menjanjikan perkhidmatan, itu yang kita mahu,” katanya. — Bernama

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas