Dewan Pemuda PAS berkata ia menghormati keputusan mahkamah membenarkan akhbar mingguan Herald menggunakan kalimah "Allah" tetapi pada masa yang sama mahu Kementerian Dalam Negeri membuat rayuan dengan segera.
Sehubungan itu sayap pemuda PAS itu juga mahu kerajaan melantik hakim yang berwibawa dan mempunyai pengetahuan mendalam dalam soal agama Islam dan Kristian untuk mendengar rayuan.
"Kami menghormati keputusan mahkamah. Dengan itu kami mahu Kementerian Dalam Negeri segera membuat rayuan dan memohon (pelantikan) hakim yang mempunyai kewibawaan tinggi untuk mengendalikan kes ini.
"Kami berharap, oleh kerana isu ini berkait dengan sensitiviti agama Kristian dan Islam negara ini, maka kami berharap hakim yang dilantik nanti mestilah mereka yang memahami selok-belok agama Kristian dan Islam," kata Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hasan Tantawi ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.
Bagaimanapun Nasrudin berkata pihaknya yakin isu terbaru ini boleh ditangani dengan baik.
"Dan, kami (Dewan Pemuda PAS) akan membuat siri penyelesaian untuk mengelakkan ketegangan antara agama di negara ini," katanya.
Mengulas lanjut, Nasrudin memberitahu pihaknya berhasrat untuk mengadakan pertemuan dialog dengan pemimpin-pemimpin agama Kristian di negara ini bagi menyelesaikan isu penggunaan kalimah "Allah" dengan cara yang baik.
"Kami juga akan membuat penjelasan mendalam kepada umat Islam negara ini mengenai isu ini.
"Kepada umat Islam negara ini, saya meminta agar jangan bertindak di luar semangat kewibawaan sebagai Muslim kerana isu ini boleh ditangani dengan baik," kata beliau sambil mempertikaikan sebab pihak gereja Katolik mahu menggunakan kalimah "Allah" di rumah ibadat dan terbitan mereka pada masa sekarang.
"Kalimah Allah memang digunakan oleh masyarakat Kristian di beberapa negara Arab tetapi di Eropah dan Malaysia ia tidak digunakan sekian lama tetapi mengapa sekarang... ini yang menimbulkan kekeliruan," katanya lagi.
Kelmarin Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Herald boleh menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya.
Hakim Datuk Lau Bee Lan, dalam keputusan lisannya menegaskan bahawa Herald mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan itu dalam majalah berkenaan untuk menyebarluaskan agama Kristian dan bukannya agama Islam.
Beliau berkata lanjutan kepada Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi kesalahan bagi bukan Islam untuk menggunakan perkataan "Allah" kepada umat Islam untuk menyebarluaskan agama itu.
Bagaimanapun, ia bukanlah satu kesalahan untuk bukan Islam menggunakan perkataan itu kepada bukan Islam bagi tujuan agama, kata Lau.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang dipetik Utusan Malaysia meminta semua pihak bertenang dan tidak bertindak terburu-buru berlandaskan emosi semata-mata.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata keputusan mahkamah masih lagi tertakluk kepada proses pengadilan yang lebih tinggi di Mahkamah Rayuan dan Persekutuan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menurut Khairy, telah menyatakan bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.
"Saya harap semua pihak dapat menunggu proses rayuan diselesaikan," katanya.
Beliau mengakui perkara tersebut amat sensitif kepada umat Islam dan Pemuda Umno amat khuatir ia boleh mengundang kepada keadaan yang lebih tegang.
Dalam pada itu, bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi sangat menyedihkan kerana pada pandangannnya ia mengetepikan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
"Apakah keputusan mahkamah ini juga membatalkan keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kementerian Dalam Negeri pada 1986 yang melarang agama lain dari menggunakan perkataan Allah, Kaabah, Solat dan Baitullah?" kata beliau dalam tulisan blognya.
Kata beliau, sungguhpun masih ada ruang rayuan, namun keputusan ini menunjukkan satu isyarat kepada orang Melayu dan Islam bahawa segala status quo mereka boleh berubah bila-bila masa apabila ada orang Islam sendiri menjadi pengkhianat dan menyokong kumpulan yang mahu melemahkan kedudukan Islam di negara ini.
Bomba tak sengaja rakam imej wajah seram bertaring
6 minutes ago
1 Komen :
Sy melihat Pemuda PAS dan Pemuda UMNO harus bersatu dalam isu ini walaupun berbeza ideologi politik .Ini isu berkaitan Islam dan wajar jika2 kita sama2 berjuang mempertahankan kalimah ALlah ini
biarkan pemimpin PAS spt Khalid Samad dan Yusmadi Balik Pulau menyokong kalimah Allah ini digunakan oleh gereja ..
Salam perjuangan ..
Post a Comment