BlogList Malaysia

19 January 2010

Pasir Malaysia Masih Lagi Dijual Ke Singapura

Tun Dr. Mahathir Mohamad beranggapan bahawa ada pihak yang tidak bercakap benar apabila sebanyak 700 lori dengan muatan pasir silika didapati keluar dari Johor ke Singapura setiap hari.

Bekas Perdana Menteri berkata, walaupun Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor memberitahu terdapat 500 lori membawa pasir itu ke seberang Tambak Johor setiap hari tetapi jumlah sebenar adalah lebih daripada itu.

"Saya ingat kita dah hentikan penjualan tanah kita kepada Singapura.

"Seorang teman memberitahu saya bukan 500 lori tetapi 700 buah. Itu jumlah yang banyak," tegas beliau dalam blog popularnya, Che Det di sini.
DR. MAHATHIR MOHAMAD

Beliau mengulas kenyataan Shaziman pada November lalu yang menyebut sebanyak 700 buah lori bertolak dari Singapura ke Malaysia melalui Tambak Johor setiap hari, manakala sejumlah 1,000 buah lori menggunakan laluan sama dari Malaysia ke Singapura.

Shaziman menambah, lebih kurang 500 buah lori ke Singapura membawa pasir.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, republik itu memerlukan pasir silika untuk menghasilkan mikrocip.

Secara sinis beliau menambah: "Saya tidak tahu berapa banyak pasir yang digunakan untuk membuat mikrocip yang sekecil itu. Mesti banyak sekiranya mereka perlukan 700 lori pasir sehari."

Beliau berkata, pulangan dengan menjual bahan mentah tidak menguntungkan dan kerana itu adalah lebih baik bagi negara ini memproses bahan mentah terbabit supaya ada nilai tambahan.

"Tidaklah begitu sukar untuk menghasilkan silika dari pasir silika. Saya rasa kilang kaca ada melakukannya sepanjang masa. Dan kita ada kilang kaca di Malaysia.

"Kenapa kita tidak hasilkan wafer silikon dan menjualnya kepada Singapura," ujarnya.

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas