PKR Cabang Kuala Selangor masih dan semakin mantap serta kukuh walaupun berita peletakan jawatan AJKnya menjadi berita hangat politik di seluruh negara, kata ketua penerangannya, Mohd Ezli Mashut.
Menurutnya, pertemuan tertutup antara AJK PKR cabang tersebut dengan Majlis Pimpinan Negeri Selangor malam tadi telah menjelaskan segala-galanya mengenai kedudukan sebenarnya.
"Dimaklumkan bahawa PKR Cabang Kuala Selangor adalah tidak bubar dan boleh bergerak seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pertemuan tertutup tersebut, katanya, AJK cabang Kuala Selangor bersama Angkatan Muda Keadilan dan Wanitanya menyatakan muafakat kukuh dan meletakkan keyakinan tinggi kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menerajui cabang PKR Kuala Selangor dan selaku menteri besar Selangor.
"Adalah dimaklumkan bahawa perkembangan ini membuktikan bahawa cabang PKR Kuala Selangor semakin mantap dan kukuh walaupun berita sebelum ini menggambarkan seolah-olah PKR Cabang Kuala Selangor sudah bubar.
"Realiti sebenar ialah sokongan dan dokongan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semakin meningkat dari masa ke semasa," tegas Mohd Ezli.
Di samping itu, katanya, PKR PKR Kuala Selangor juga menerima sokongan mantap dan kuat daripada seluruh ranting yang terdapat di DUN Jeram,DUN Melawati dan DUN Ijok.
"Malahan dalam pertemuan itu juga, kesahihan peletakan jawatan AJK cabang Kuala Selangor sebelum ini dipertikaikan kesahihannya kerana ada keraguan yang terdapat dalam soal menandatangani surat peletakan jawatan tersebut.
"Cabang PKR Kuala Selangor juga ingin menegaskan bahawa gerak kerja membela rakyat dan menjana kemenangan PRU-13 akan semakin rancak dan giat selepas ini.
"Iltizam dan semangat yang ditunjukkan oleh semua anggota PKR di cabang Kuala Selangor utuh dan terus bersemangat tinggi.
"Dalang komplot cubaan untuk membubarkan PKR Kuala Selangor gagal dan tidak mendapat sokongan kerana tindakan tersebut menjejaskan imej PKR dan Pakatan Rakyat keseluruhannya.
"Malahan tindakan menggunakan media terbuka mendapat kecaman hebat daripada pelbagai peringkat PKR," kata Mohd Ezli.
Justeru, katanya, cabang PKR Kuala Selangor berharap seluruh pendukung PKR di Kuala Selangor fokus kepada gerak kerja membela rakyat dan memperkasa gerak kerja PKR di cabang tersebut.
"Kita tiada masa untuk melayan karenah politik remeh-temeh kerana PKR mempunyai banyak agenda dan gagasan besar perubahan dan membela rakyat di Selangor dan negara ini.
"Cabang PKR Kuala Selangor menyatakan pendirian tegas dan kukuh bersama-sama Tan Sri Seri Abdul Khalid Ibrahim untuk mendepani perubahan di Selangor dan bersama-sama membawa semangat kukuh ini untuk membawa perubahan total dan impak besar dalam PRU-13," tegasnya.
GISB: Taasub rebut 'Ikhwan 313'
3 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment