Untuk lebih tiga puluh tahun, mereka hidup dalam keadaan tidak menentu, walaupun diberi pelbagai jaminan oleh kerajaan negeri Umno-Barisan Nasional yang lalu.
Namun penantian kira-kira 6,000 keluarga di Kuala Selangor untuk mendapatkan hak milik tanah kini berakhir setelah mendapat pembelaan dari kerajaan negeri Pakatan Rakyat.
Mulai bulan ini, mereka akan diberikan geran hak milik tanah secara berperingkat melalui Jadual Perancangan Proses Pemberian Milikan Tanah secara berkelompok.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pemberian geran tanah dibuat secara berperingkat bermula bulan ini dan dijangka selesai hujung tahun 2010.
Dianggarkan kira-kira 100,000 keluarga akan mendapat manfaat daripada langkah kerajaan negeri itu.
Di Kuala Selangor sahaja, pemberian geran itu sekaligus menyaksikan hampir 90 peratus masalah pemilikan tanah di kawasan berkenaan selesai.
“Kita akan mengadakan pemberian geran, iaitu bermula di Kampung Sentosa, Kampung Seri Aman dan Kampung Baru Ijok pada bulan Januari.
Kita pergi ke Kampung Seri Makmur, Kampung Aman Tambahan, Kampung Bistari Jaya, sampai ke satu tahun.
Kita ada program satu tahun. Jadi maknanya, pada akhir tahun ini, bererti lebih daripada 90 peratus pemberian tanah di seluruh Kuala Selangor dapat diselesaikan,” katanya.
Kuala Selangor adalah sasaran pertama di bawah rancangan pemberian geran tanah kepada penduduk yang menduduki tanah milik kerajaan negeri.
Khalid berkata pemberian geran tanah kepada rakyat Selangor yang telah lama menetap di kawasan berkenaan akan turut memudahkan proses pembangunan dijalankan di negeri Selangor.
“Dengan cara ini, kita akan membuat pembangunan di kawasan-kawasan ini dengan baik dan tertib. Dan penguasa tempatan boleh merancang pembinaan kemudahan awam contohnya, bukan sahaja di Kuala Selangor, malah di seluruh Selangor,” kata beliau.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad melahirkan kesyukuran di atas pengumuman yang dibuat Menteri Besar itu.
“Saya melahirkan lafaz syukur di atas pemberian tersebut kerana akhirnya penantian rakyat selama tiga dekad lamanya berkesudahan dengan sedikit keceriaan kepada mereka.
“Alhamdulillah ini semua kejayaan bersama pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang berjuang untuk rakyat, dan saya sangat-sangat menunggu perkara ini diputuskan Menteri Besar,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat hanya memerlukan masa kurang dari 21 bulan sahaja untuk menyelesaikannya berbanding pemerintahan kerajaan terdahulu.
“Saya selaku Ahli Parlimen di Kuala Selangor dan juga mewakili Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat sangat berbesar hati kerana dapat membantu rakyat mendapatkan kembali hak mereka iaitu ratusan ekar tanah yang dibolot oleh pemimpin dan kroni-kroni BN selama 30 tahun lamanya, namun tiada satu ekar pun yang diberikan kepada rakyat.
“Tetapi di bawah kerajaan Pakatan Rakyat, kita tidak perlu mengambil masa yang lama untuk mengembalikannya kepada mereka. Kita hanya memerlukan sekurang-kurangnya 21 bulan sahaja untuk ke arah itu, kerana kita tahu apa yang rakyat mahu dan perlu,” ujar beliau lagi.
Wanita terjatuh tingkat 24 ditemui tersangkut di gondola
55 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment