BlogList Malaysia

09 December 2009

Royalti - PAS Sedia Jumpa Di Mahkamah

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menyatakan kesediaannya menyahut cabaran Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz agar Kelantan mengemukakan isu tuntutan royalti minyak di mahkamah.

“Sebenarnya Kelantan sudah lama bercadang untuk bawa isu ini ke mahkamah. Tapi ikut adat perkiraan... kita cuba dulu melalui perundingan. Kalau mereka pun memang nak begitu kita tak ada masalah.

“Bukan dia (Nazri) saja nak, kita pun nak,” kata beliau pada sidang media di pejabatnya siang tadi.

Semalam Nazri mencadangkan kerajaan Kelantan mengemukakan tuntutan isu berkaitan di mahkamah daripada terus melanjutkan usaha retoriknya berdoa yang bukan-bukan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Pusat.

Sementara itu ketika mengulas cadangan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar meminta supaya beliau bertindak mempercepatkan proses peletakan jawatan menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Nik Aziz berkata, ia merupakan satu kesilapan.

Kata Nik Aziz, tindakan itu seolah-olah membuka lorong kepada pihak lawan berpesta atau mencuri peluang untuk menghentam parti sendiri.

“Ucapan Datuk Mahfuz betul-betul memberikan peluang kepada Umno berpesta,” katanya sambil menegaskan, proses ke arah melepaskan jawatan sudah siap malah mengikut segala prosedur, dan sepatutnya tidak perlu dibangkitkan.

Pada masa sama Nik Aziz turut menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya PAS Pusat meminta Ariffahmi menyegerakan peletakan jawatannya.

“Tidak segera. Dia (Arifahmi) hanya diminta berundur. Segera atau tidak, dia (PAS Pusat) tak minta,” katanya.

Isnin lalu Naib Presiden PAS itu menyebut bahawa perlu bagi Nik Aziz selaku Penasihat PMBK berbincang dengan ahli PMBK supaya perkhidmatan Ariffahmi ditamatkan segera dengan dibayar sebulan gaji tanpa memerlukan tamat notis tiga bulan.

Justifikasi Mahfuz semasa membuat kenyataan itu adalah bagi meredakan konflik yang sedang berkisar dalam krisis pentadbiran kerajaan negeri.

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas