BlogList Malaysia

28 December 2009

Penamatan Perkhidmatan MIG-29 Untungkan Kroni?

Benarkah tindakan kerajaan menamatkan perkhidmatan pesawat pejuang MiG-29 yang bernilai ratusan juta ringgit tahun depan dipengaruhi 'orang tengah' yang bakal mengaut keuntungan hasil jual beli pesawat berkenaan

Itu persoalan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang turut mempertikaikan pelupusan jet-jet yang berusia tidak sampai 20 tahun terbabit sedangkan India dan Rusia masih menggunakannya dalam tempoh lebih lama.

Bekas Perdana Menteri itu hairan bagaimana kerajaan mahu menggantikan pesawat pejuang pemintas itu dengan yang baru dalam keadaan ekonomi negara masih tidak menentu sekarang.

"Penjualan dan pembelian pesawat oleh kerajaan mampu memberi keuntungan besar (berjuta-juta ringgit) kepada orang tengah. Apakah ada kepentingan orang tengah yang mempengaruhi keputusan kondem MiG-29 untuk beli yang baru," tegas beliau dalam blog popularnya, Che Det di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan yang diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri sidang Dewan Rakyat baru-baru ini yang berkata perkhidmatan MiG-29 akan diberhentikan pada tahun depan.

Ahmad Zahid memberitahu, penamatan perkhidmatan pesawat selama 10 tahun itu kerana peningkatan ketara kos penyelenggaraan dan operasi jet-jet MiG-29N sebanyak 16 pesawat itu.


Antara pesawat yang menjadi pertimbangan untuk menggantikan skuadron itu ialah SU-35, FA-18 E/F Super Hornet, JAS Gripen, Eurofighter Typhoon, Dassault Aviation Rafael, F-16 C/D Block 52 dan mungkin juga F-15 Eagle.

Dr. Mahathir berkata, kerajaan sepatutnya membaik pulih pesawat-pesawat berkenaan dengan menggunakan kepakaran Rusia dan India yang turut menggunakan pesawat pejuang yang sama jika tentera Udara Diaraja Malaysia (TUDM) tidak mempunyai kepakaran.

"Tak bolehkah kita baik pulih MiG-29 ini? Kalau kita tak boleh, orang Rusia mungkin boleh. Mungkin India juga boleh. Jika pesawat pejuang yang berharga ratusan juta hanya tahan 20 tahun, lebih baik kita tidak ada pesawat pejuang," tegasnya.

Kata beliau, banyak yang telah dibelanjakan untuk membeli dan menyelenggara jet-jet berkenaan, malah perbelanjaan akan bertambah jika kerajaan berhasrat membeli pesawat baru

"Walaupun pesawat tentera Rusia lebih murah daripada buatan Amerika, tetapi wang yang banyak terpaksa dibelanja juga. Kalau lupuskan ratusan juta ringgit akan hilang," jelas beliau.

Beliau berkata, walaupun pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat (AS) kononnya tahan lebih lama seperti pembelian FA-18 tetapi sebaliknya pembelian dengan negara itu tidak menguntungkan pertahanan Malaysia.

AS, kata Dr. Mahathir, mengenakan syarat yang sangat ketat sehinggakan pesawat FA-18 itu hanya boleh digunakan untuk pameran semata-mata.

"Mereka tidak beri source code yang mana ini mengehadkan kegunaan FA-18 untuk pameran sahaja," ujar beliau.

1 Komen :

Anonymous ,  December 28, 2009 at 8:17 PM  

Dalam bab ini aku sokong mangkuk ni 100%.. Aku tak setuju langsung tindakan bodoh ini.. Membazir duit rakyat.. Kalau duit mak bapak diorang lantak pi lah..

-Prebet Pencen-

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas