BlogList Malaysia

27 December 2009

Cabar Mencabar Dalam Umno

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berpendapat adalah tidak adil Ketua Whip Barisan Nasional (BN) dipersalahkan atas kegagalan wakil rakyat parti itu hadir pada sidang Dewan Rakyat bagi meluluskan Bajet 2010 baru-baru ini.

Ini kerana, tegas beliau, kehadiran pada sidang Dewan Rakyat menjadi tanggungjawab setiap Ahli Parlimen.

Beliau turut menjelaskan, jawatan Ketua Whip BN kini disandang Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bukannya beliau seperti didakwa Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim.

"Kita tidak boleh salahkan Ketua Whip sebaliknya kesalahan ini harus diletakkan di atas bahu semua wakil rakyat yang tidak hadir pada malam tersebut kerana gagal menjalankan tugas dengan baik.

"Justeru, bukannya Timbalan Perdana Menteri yang perlu meletakkan jawatan sebagai Ketua Whip tetapi semua wakil rakyat yang tidak hadir sepatutnya meletakkan jawatan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Di Kuala Kangsar semalam, Kamilia mencabar Mohamed Nazri meletak jawatan sebagai Ketua Whip BN kerana gagal memastikan wakil kerajaan hadir pengundian bagi meluluskan Bajet 2010 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Kamilia berkata, tugas serta tanggungjawab itu penting dan perlu dipandang serius oleh semua wakil rakyat BN.


Dalam pada itu, menurut Mohamed Nazri, beliau tidak pernah mengabaikan tugasnya sebagai menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal Parlimen.

"Malah pada malam tersebut saya telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada wakil rakyat BN yang tidak hadir supaya segera datang ke Dewan Rakyat bagi menyokong meluluskan Bajet 2010," katanya.

Beliau bertindak demikian setelah sedar ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku.

"Semasa itu pukul 8 malam. Saya berusaha sedaya upaya untuk memastikan kedatangan wakil rakyat BN dengan menghantar seberapa banyak SMS," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, setiap wakil rakyat harus faham mengenai bidang tugas mereka khususnya ketika sidang Parlimen sedang berjalan.

"Saya sebenarnya tiada kuasa meminta mereka datang. Apa yang boleh saya buat adalah memberitahu situasi yang berlaku dan terpulang kepada mereka untuk datang atau sebaliknya.

"Apa yang pasti saya telah melakukan yang terbaik untuk memastikan kedatangan wakil rakyat BN," katanya.

Mengenai cabaran Kamilia itu, beliau mahu Naib Ketua Wanita UMNO itu menghalakan cabaran tersebut kepada Muhyiddin.

"Saya tidak pasti sama ada Kamilia sedar atau tidak dengan kenyataannya itu. Jawatan Ketua Whip BN bukan menteri yang pegang sebaliknya jawatan tersebut dipegang oleh Timbalan Perdana Menteri.

"Kenyataan ini perlu diperbetulkan bagi mengelakkan timbulnya sebarang kekeliruan di kalangan masyarakat dan dalam masa sama memperbetulkan fakta yang saya bukannya Ketua Whip," tambahnya.

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas