Kedatangan saya ke bandaraya Alor Setar semalam disambut oleh Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Azizan Abd Razak dengan hadis. Sebaik saja melintasi plaza tol Alor Setar utara, saya lihat senyuman Azizan yang memakai baju Melayu hitam dan bersongkok hitam. Besar papan tersebut. Sebelum ini, saya melihat gambar beliau memakai tengkolok dan baju istiadat. Kedua-dua gambar ini berbeza dengan gambar beberapa bulan pertama menjadi Menteri Besar iaitu baju Melayu putih dan songkok putih. Orang Kedah kata, "kepiah lebai."
Saya menginap di Holiday Villa Alor Setar, yang berkembar dengan City Plaza. Bosan duduk dalam bilik, saya keluar berjalan-jalan di Star Walk. Ala-ala Bintang Walk gitu! Malam tadi ada pertandingan karaoke sempena enam tahun Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS). Ia dianjurkan oleh MBAS dengan kerjasama Digi Communications. Selepas mendengar satu lagu oleh seorang anak gadis, saya terus berjalan.
Berhampiran Star Walk juga, segerombolan anak-anak muda membariskan kereta MyVi. Ada sekitar 20 buah. Cantik dan tersusun. Mereka membuka pintu belakang bagi mempamerkan sound system yang cukup canggih dan mahal. Berdentum-dentum lagu-lagu Inggeris memecahkan kesunyian bandar Alor Setar.
Sewaktu bersekolah dulu, tak ada semua ini. Hiburan saya tatkala itu hanyalah panggung wayang Empire. Sekarang, panggung wayang itu tidak ada lagi.
Dulu Pemuda PAS pernah bercadang untuk menyediakan garis panduan kawalan jualan arak. Azizan cepat-cepat kata, pentadbiran negeri ialah urusan kerajaan. Pemuda PAS jangan masuk campur. Khabarnya ada beberapa orang pemimpin PAS yang ingin melihat Azizan lebih "cenge" dalam soal kawalan isu-isu sosial. Azizan memilih sebaliknya. Ada yang tak puas hati. Bukan rahsia lagi.
Begitu juga dalam soal latihan Biro Tatanegara. Selangor lantang membantah. Pulau Pinang tumpang tui. Azizan kata, kerajaan negeri tidak akan memboikot kursus BTN. Saya teringat kata-kata seorang sahabat lama melalui telefon beberapa minggu lalu -- "Kalau macam tu, "A" la Menteri Besar kita!"
Saya berjalan lagi. Di Bangunan Ukir, tergantung kain rentang "Kedah Sejahtera" -- slogan kerajaan negeri yang baru -- dengan logo 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Berhampiran bulatan Teluk Wanjah, saya melihat papan iklan (billboard) yang besar. Ucapan Hari Kemerdekaan. Berbaris gambar semua Menteri Besar Kedah. Ada gambar Osman Arof, Tan Sri Sanusi Junid, Dato' Seri Syed Razak Syed Zain dan Dato' Seri Mahdzir Khalid. Di kanan sekali, gambar Azizan.
Kedah Sejahtera dan 1Malaysia, cukup sinonim. Osman, Sanusi, Syed Razak, Mahdzir dan Azizan, duduk sebaris. Semua nampak handsome dan bergaya. Hebat, Menteri Besar Kedah!
Sewaktu makan tengah hari tadi, seorang sahabat bercakap mengenai politik Kedah. Saya hanya mendengar. Panjang betul dia bercakap. Saya pun dah mula mengantuk. Kalau nak bersyarah, carilah tempat lain. Tak larat nak dengar orang cakap berjela-jela.
Dia bercerita mengenai Menteri Besar yang boleh bercakap "orang putih dan bahasa Arab." Mungkin sebelum ni, tak ada Menteri Besar Kedah yang boleh bercakap tiga bahasa. Saya tak tahu sama ada Azizan boleh bercakap bahasa Siam atau tidak.
Tiba-tiba mata saya segar apabila dia bercakap mengenai pilihanraya kecil DUN Kota Siputeh.
Dia sebutkan nama dua orang yang sedang melobi menjadi calon PAS. Dia juga sebutkan empat atau lima nama yang bersungguh-sungguh nak jadi calon Barisan Nasional, kalaulah ditakdirkan jadi pilihanraya kecil tu. Malam-malam mereka berkumpul di Jitra. Satu Kedah sudah tahu tempat mereka berhimpun.
Sebaik saja dia berhenti bercakap, saya terus bertanya kepadanya: "Apakah projek pembangunan yang telah kerajaan negeri laksanakan di DUN Kota Siputeh sejak menang pilihanraya dulu?"
Dia terus menjawab, "Kawasan tu ialah kawasan Barisan Nasional. Ahli Parlimen ialah Dato' Mukhriz Mahathir. Ahli DUN ialah Dato' Abu Hassan Sharif."
"Oh, kerajaan PAS juga diskriminasi kawasan Barisan Nasional?" tanya saya.
Cepat-cepat dia menjawab, "Dah aih, bukan macam tu..."
Saya tanya, "Di DUN Ayer Hitam, apa projek yang depa dah buat?"
Kota Siputeh dan Ayer Hitam ialah dua DUN yang terletak dalam Parlimen Jerlun. DUN Ayer Hitam diwakili oleh Ustaz Abd Ghani Ahmad yang juga Timbalan Speaker DUN Kedah.
Dia jawab, "Tak dak apa lagi la. Baru dua tahun. Tak dan nak buat lagi."
Saya tak bertanya apa-apa lagi. Saya tak pasti adakah maklumat itu betul atau tidak. Sekiranya tak betul, silalah betulkan. Saya akan buat pembetulan di sini. Saya sekadar mencatat apa yang saya dengar tengah hari tadi.
Saya ingin bertanya:
(1). 1Malaysia dan Kedah Sejahtera. Osman, Sanusi, Syed Razak, Mahdzir dan Azizan. Adakah politik Azizan bersifat "politik muafakat" (bukannya "politik pertentangan" yang kerap kita lihat di Selangor) seperti yang kita semua impikan?
(2). Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfudz Omar pernah berkata mereka ingin Kedah menjadi "preview" kepada bagaimana parti itu berhasrat mentadbir kerajaan persekutuan -- sekiranya menang pilihanraya. Setelah hampir dua tahun menjadi kerajaan, tidak ada perubahan ketara yang dilakukan. Adakah ini bermaksud kepimpinan PAS menerima apa yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional di Kedah selama ini?
Memang tepat dinamakan Kedah Darulaman. Ya, aman!
NOBISHA
28 December 2009
Angin Perubahan Kedah Darul Aman
Dicatat Oleh
bloglist malaysia
Penanda
azizan razak
,
kedah
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 Komen :
Post a Comment