BlogList Malaysia

28 November 2009

Sebab Saya Dedahkan 'Rasuah' Pemimpin PAS

Penulis blog Tulang Besi yang awal bulan ini mendedahkan rakaman perbualan pemimpin PAS berkaitan dengan amalan sumpah bai’ah mempertahankan dirinya daripada kritikan segelintir pemimpin parti sambil menegaskan, beliau hanya bertindak demikian bagi mengelakkan komponen Pakatan Rakyat itu daripada dijahanamkan.

Tulang Besi atau nama sebenarnya Abdul Rahman Abdul Talib juga berkata, beliau sebenarnya berniat untuk menyelamatkan PAS dengan mendedahkan “pembohongan dan rasuah” di kalangan beberapa pemimpin parti itu.

Beliau mengakui banyak pihak yang memarahi apabila mendedahkan rakaman perbualan beberapa pemimpin PAS baru-baru ini, yang didakwa telah menjejaskan perpaduan dalam parti tersebut.

Isu amalan bai’ah menjadi debat hangat ekoran tindakan beliau mendedahkan rakaman perbualan, kira-kira empat minit lamanya, membabitkan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali.

Hasan yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor mengadakan pertemuan dengan sekumpulan blogger baru-baru ini.

The Malaysian Insider difahamkan pemimpin-pemimpin PAS terbabit sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang ke atas Abdul Rahman.

“Ramai yang memarahi saya, tuduh saya pemecah belah jemaah, tuduh saya pemecah rahsia jemaah, tuduh saya tiada akhlak jemaah hanya kerana saya mendedahkan pembohongan serta korupsi beberapa pemimpin-pemimpin PAS yang telah menjual maruah mereka pada Umno,” kata beliau dalam tulisan terbaru semalam di bawah tajuk “Musuh Saya Adalah Umno dan Task Force 2010, bukan PAS”.

Ia disertakan bersama satu lagi tulisan bertajuk “Peringatan Dari Saidina Umar Abdul Aziz kepada Seluruh Pemegang Jawatan Dalam PAS” yang merujuk kepada penggunaan kereta mewah oleh segelintir pemimpin parti itu.

Abdul Rahman menjelaskan apa yang beliau lakukan hanya usaha menggagalkan perancangan Umno untuk merosakkan dan memperkudakan PAS.

“Umno berjaya membeli serta mempergunakan beberapa pimpinan PAS dan saya menentang pimpinan PAS itu,” katanya.

Justeru tegas Abdul Rahman, usaha beliau tidak sama sekali bertujuan mahu melemahkan atau menjahanamkan PAS.

“Usaha saya adalah untuk menyelamatkan PAS dan saya bersyukur Allah SWT telah membantu saya sepanjang saya membuka blog ini,” katanya.

Abdul Rahman menambah, “saya telah pergi di hadapan Kaabah meminta ilham dari Allah sama ada saya patut meneruskan usaha saya atau tidak.”

“Alhamdulillah, ilham yang saya dapat itu positif menyuruh saya meneruskan usaha saya. Saya yakin Allah SWT akan memberikan bantuanNya kepada usaha saya lebih-lebih lagi saya tidak dapat satu sen pun daripada mana-mana pihak dalam melakukan perkara ini.

“Segala kos saya tanggung dengan rezeki yang saya dapat dari Allah, Tuhan Semesta Alam,” katanya lagi.

Dalam tulisan bertajuk “Peringatan Dari Saidina Umar Abdul Aziz kepada Seluruh Pemegang Jawatan Dalam PAS”, Abdul Rahman mendakwa beliau hairan bagaimana seorang Exco Pemuda Negeri yang baru dipilih kini boleh memiliki kereta baru Mercedez.

“Kalau tak pegang jawatan-jawatan ini, boleh ke dapat kereta-kereta mewah ini semua?” soal beliau.

“Dahulu saya pernah dimarahi oleh salah seorang Ahli Parlimen PKR sekarang ini kerana saya mempersoalkan “mana Ezam Mat Nor (bekas Ketua Pemuda Keadilan dan kini menyertai Umno semula) dapat duit membeli banglo di Shah Alam?”. Teruk saya kena marah masa tu. Na, sekarang ini sapa yang ‘eating humble pie’? Ahli Parlimen itu jumpa saya pun buat-buat tak nampak.

“Dalam PAS pun ada pemimpin yang tiba-tiba sahaja boleh pindah banglo. Kalau mampu pun kenapa nak pindah banglo. Imej pimpinan PAS adalah imej sederhana. Duit nak pakai banyak untuk perjuangan bukan untuk kemewahan,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Rahman menafikan beliau dibayar oleh Exco Kerajaan Negeri Datuk Husam Musa yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan.

“Lagi satu, ada orang kata saya dibayar Husam Musa. Saya nak bagitau gaji saya sebulan enam kali ganda elaun Husam Musa sebagai Exco. Macam mana Husam nak beli saya? Cuba jawab. Begitulah muhasabah saya sedikit sebanyak,” katanya.

1 Komen :

Anonymous ,  November 29, 2009 at 2:17 AM  

tah le x komen nak komen. cuba buat gini pulak...pru13 nanti calon pas kesemuannya mesti lulusan Al-Azhar @ 100% berpendidikan Ugama Islam. biasanya lah org ada "ugama" ni tahu hak halal payah nak buat hak haram....guano gamok??

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas