04 November 2009

Penolong Pengarah Jakim Sudah Panas Punggung

Penolong pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin al-Ghari mendakwa wartawan akhbar Utusan Malaysia membuat kesimpulan yang salah terhadap kenyataannya berhubung status ijazah bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Katanya, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang mendakwa bahawa Dr Mohd Asri mempunyai kelayakan palsu dalam bidang syariah dari Universiti Jordan.

Jelasnya, beliau hanya memberi kesimpulan bahawa Dr Mohd Asri bukan seorang ahli hukum dan tidak layak dilantik ke jawatan mufti.

Dr Mohd Asri hari ini dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Zamihan berdasarkan kenyataannya yang dilaporkan dalam Utusan semalam.

"Kalau dia nak saman, samanlah Utusan, bukan saman saya," kata Zamihan ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Itu bukan tafsiran saya (kelayakan palsu), bukan dipetik daripada keterangan saya, sebaliknya (tafsiran) daripada wartawan (Utusan Malaysia)," jelasnya.

Menurut Zamihan, ketika dihubungi wartawan Utusan Isnin lalu, beliau tidak ditanya mengenai ijazah Dr Mohd Asri yang dipalsukan.

'Laporan salah'

"(Wartawan) bukan tanya palsukan kelulusan tapi dia tanya saya, status sebenar ijazah Dr Asri.

"Saya kata Dr Asri cuma ada ijazah sarjana muda bahasa Arab daripada fakulti sastera Universiti Jordan, bukannya mempelajari jurusan syariah dan pengajian Islam.

"Laporan daripada (akhbar Utusan) lah yang salah kerana dia kata saya dakwa dia palsukan Ijazah," jelasnya.

Katanya lagi, Dr Mohd Asri tidak mendasari ilmu di bidang syariah dan pengajian Islam kerana bekas mufti itu hanya seorang lulusan bahasa Arab.

"Dia bukan seorang ahli hukum, maksudnya bukan seorang yang mahir tentang al-Quran, hadis tafsir atau fekah.

"Beliau hanya belajar bahasa Arab, macam mana dia dapat menggali ilmu Islam, apatah lagi untuk berinteraksi secara mendalam tentang al-Quran dan hadis.

"Kalau ada (kelulusan) syariah dan pengajian Islam barulah layak dilantik ke jawatan mufti," katanya lagi.

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas