Najib Tun Abdul Razak berkata pindaan yang dicadangkan terhadap perlembagaan Umno boleh menghapuskan politik wang dalam parti itu selain dapat mengawal tingkah laku para anggota supaya menjadi lebih baik.
Ini, kata Perdana Menteri ialah kerana bilangan anggota yang akan diberikan hak memilih kepimpinan Umno adalah terlalu besar untuk cuba dipengaruhi pihak-pihak tertentu.
"Kalau ada cubaan pun (mengamalkan politik wang), sudah tentulah dapat dikesan kerana jumlah (mereka yang akan menentukan kepimpinan Umno) terlalu besar.
"Kalau 2,500 orang, boleh dibuat dalam gelap," kata Najib, yang juga Presiden Umno pada sidang akhbar selepas menyampaikan amanat kepada anggota perwakilan sempena Perhimpunan Agung Umno 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Perdana Menteri, dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Najib berkata dengan pindaan itu nanti kewibawaan seseorang pemimpin akan menjadi kriteria yang dititikberatkan kerana prestasi mereka akan dinilai oleh anggota parti.
"Terpulang kepada ahli, kalau kepimpinan itu baik serta berkesan dan diterima oleh rakyat, tentu dapat dipertahankan.
"Dengan pindaan perlembagaan ini, kalau kita tidak tunjuk prestasi kepimpinan yang baik, maka ia akan terdedah kepada pencabar dan ini termasuk kepimpinan atasan dalam Majlis Tertinggi," katanya.
Ditanya mengenai amanatnya kepada perwakilan hari ini, Najib berkata beliau menerangkan tentang senario pada masa sekarang terutama daripada segi lanskap politik tanah air serta cabaran yang dihadapi oleh Umno.
Beliau juga menekankan bahawa Umno mesti sanggup melakukan perubahan kepada yang lebih baik sama ada daripada segi perpaduan, budaya, sikap, pemikiran dan tingkah laku.
"Contohnya, kalau sekarang kita utamakan permuafakatan dan perpaduan, kita boleh mencapai kejayaan yang besar seperti di (pilihan raya kecil) Bagan Pinang. Ia merupakan pilihan raya contoh di mana gerak kerja di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin berkesan.
"Ini sepatutnya dijadikan sebagai titik kebangkitan kepada jiwa dan semangat ahli parti di seluruh negara dan mereka juga mesti sanggup bekerja kuat dan mengadakan pelbagai program penerangan termasuk kebajikan dan sebagainya," katanya.
Najib juga mengingatkan kepada perwakilan bahawa mereka perlu insaf kerana Umno kini berada dalam keadaan genting dan kritikal selepas pilihan raya umum lepas.
"Tetapi kita sudah dapat menunjukkan bahawa kalau kita bersatu padu dan rancang dengan baik dan ada kesungguhan, Umno masih merupakan jenama yang diterima oleh rakyat. Ini terbukti di Bagan Pinang," katanya.
Perdana Menteri menjangkakan bahawa para pewakilan Umno tidak akan membantah terhadap pindaan perlembagaan itu, yang akan dibentangkan pada Perhimpunan Agung Khas, Khamis ini.
"Mudah-mudahan suasana baik daripada segi sambutan (hari ini). Tengok sehari dua lagi," katanya.
13 October 2009
Umno Dan Wang Bagai Isi Dengan Kuku
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 Komen :
Post a Comment