BlogList Malaysia

12 August 2009

H1N1 - Tunggu VVIP Mati Dulu Baru Nak Bertindak?

ANAKANDA Tengku Puan Pahang (dari kiri), Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menerima rawatan di wad diraja Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Tengku Puan Pahang tak mahu penyakit berjangkit

KUALA LUMPUR: Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar yang dijangkiti Influenza A (H1N1) bersama lima anaknya, rela ditahan di wad dan tidak dikunjungi suami serta pelawat kerana tidak mahu wabak itu menjangkiti orang lain.

Tunku Azizah berkata, baginda tidak berkecil hati kerana terpaksa tinggal dalam wad pengasingan bersama anak-anak, malah turut menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) melarang Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melawat selepas kembali dari London, petang semalam.

"Saya bersyukur kerana rawatan yang diberikan doktor berjaya mengurangkan kesakitan, tetapi kami perlu ditahan di wad sehingga pulih sepenuhnya. Biarlah kami saja di sini bersama doktor dan jururawat sebab saya tidak mahu penyakit ini berjangkit kepada orang lain.

"Ketika sakit seperti ini, semestinya saya mengharapkan kehadiran suami dan anak-anak memerlukan bapa di sisi, tetapi saya tidak berkecil hati jika Tengku Mahkota tidak dapat bersama kerana kesihatan baginda lebih utama," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Lima anak baginda - Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, 14, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, 12, pasangan kembar Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah dan Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, 9, dan Tengku Puteri Jihan Khalsom 'Athiyatullah, 7, dimasukkan ke wad diraja Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Jumaat lalu.

Tengku Puan pula disahkan menghidap H1N1 sehari selepas itu. Baginda dan Tengku Mahkota sebelum itu berada di London bagi menyaksikan perbarisan tamat latihan anak sulung mereka, Tengku Amir Nasser Ibrahim di Royal Military Academy, Sandhurst, tetapi terpaksa pulang awal, Sabtu lalu, bagi menemani lima anak baginda di HTAA.

Menceritakan saat cemas apabila dimaklumkan lima anak baginda dijangkiti H1N1, Tengku Puan berkata:

"Saya menangis apabila diberitahu lima anak di Kuantan menghidap H1N1, terutama apabila mengenangkan seorang daripada mereka mengalami asma yang mungkin menerima risiko tinggi akibat penyakit maut itu, sedangkan ketika itu saya dan suami berada di London.

"Memang sukar menerima kenyataan yang akhirnya anak saya turut menjadi mangsa, terutama apabila mengetahui H1N1 boleh menyebabkan kematian jika penghidapnya mengalami penyakit seperti asma dan radang paru-paru.

"Saya tidak henti berdoa semoga semua anak selamat dan sepanjang dalam penerbangan pulang ke Malaysia, fikiran saya berkecamuk memikirkan nasib mereka," katanya.

Tengku Puan berkata, baginda bergegas pulang untuk memberi sokongan moral dan menenangkan lima anaknya yang ketika itu sangat lemah akibat jangkitan H1N1.

"Tengku Mahkota yang terkejut dengan berita itu menawarkan diri untuk pulang, tetapi saya melarang kerana baginda turut mengidap asma dan berisiko tinggi jika dijangkiti H1N1. Sebaik sampai di Kuantan, saya terus melawat anak di HTAA dan keadaan mereka ketika itu sangat lemah, muntah dan tidak berselera makan.

"Apabila tidur malam, mereka meracau kerana bermimpi yang bukan bukan. Paling membimbangkan, suhu badan mereka tinggi sehingga mencecah 40 darjah selsius. Akibat berada di sisi mereka, saya akhirnya turut dijangkiti H1N1 dan wad ini tidak boleh dikunjungi orang ramai," katanya.

Mengenai keadaan baginda dan anak-anaknya, Tengku Puan bersyukur kerana suhu badan mereka sudah menurun selepas diberikan antiviral, Tamiflu.

"Cuma Tengku Hassanal yang masih panas badannya, tetapi keadaan semua anak, termasuk Tengku Ahmad Ismail yang menghidap asma, sudah semakin stabil walaupun mereka belum berselera makan," katanya.

Mengumpamakan diri baginda dan anak-anak bagaikan makhluk asing disebabkan semua doktor dan jururawat perlu memakai pakaian khas daripada kaki hingga ke kepala ketika merawat mereka, Tengku Puan berkata, pengalaman dilaluinya kali ini sungguh mencabar kerana lima anak dan dirinya diserang sakit serentak.

"Saya bagaikan hilang arah kerana H1N1 bukan penyakit biasa, sebaliknya banyak kematian dilaporkan di negara kita. Ketika itu, perasaan pilu melanda kerana terbayang sukarnya saya mendapatkan cahaya mata, tetapi kini semua mereka diserang penyakit maut itu," katanya.

Tengku Puan berkata, seorang daripada pengasuh anaknya turut dijangkiti H1N1 dan dirawat di hospital sama, manakala tujuh lagi dikuarantin di rumah selepas mendapat tanda diserang penyakit berkenaan.

"Ketika mula dijangkiti H1N1, saya menghubungi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor memaklumkan keadaan kami dan setiap hari, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menelefon untuk bertanyakan perkembangan kesihatan kami.

"Saya juga bimbang kerana adik, Tunku Mariam yang turut menghidap asma dan anaknya, yang membantu menjaga lima anak saya sementara menunggu ketibaan saya ke HTAA, kini sakit dan mempunyai simpton H1N1 dan mereka sudah menjalani pemeriksaan di Kuala Lumpur tetapi belum mendapat keputusan lagi," katanya.

Tengku Puan juga menasihatkan orang ramai supaya tidak bersikap lewa dan menganggap H1N1 seolah-olah tidak berbahaya dengan membawa anak ke tempat awam yang dikunjungi ramai.

"Malah, pada ketika Kuantan dilanda wabak ini, masih banyak pihak yang menganjurkan pesta keraian.

"Sepatutnya, langkah berjaga-jaga perlu dilakukan termasuk memakai topeng muka dan selalu mencuci tangan. Paling menyedihkan, sekolah masih terus dibuka walaupun ramai murid yang sakit.

"Guru hanya mengarahkan mereka pulang, sedangkan langkah paling tepat yang patut diambil ialah menutup sekolah bagi menghalang wabak penyakit itu menular," katanya.

1 Komen :

Ainur68 August 12, 2009 at 9:30 AM  

Semoga Tengku Puan dan anakanda2 segera sembuh. Cuma musykil sikit, kenapa kerajaan M'sia ni tak arahkan semua orang buat solat hajat dan tolak bala. Bukannya susah sangat pun. Jgn ingat cerdik sgt. kita ni sampai lupa nak mintak tolong pada Tuhan.

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas