BlogList Malaysia

24 August 2009

Azizan Razak Mengadap Sultan Hari Ini

ALOR SETAR 24 Ogos [5.45 am] - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (foto), akan menghadap Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini untuk memaklumkan permintaan PKR supaya ADUN Lunas, Mohd Radzhi Salleh, yang mengisytiharkan dirinya wakil bebas, digugurkan daripada jawatan exco.

"Atas kuasa Tuanku untuk melantik dan juga menggugurkan mana-mana exco. Saya akan sembahkan permintaan daripada PKR supaya dia digugurkan. "Kerusi itu kekal kuota PKR kecuali PKR kata berilah pada sesiapa sahaja," kata Azizan. Bercakap pada sidang akhbar bersama Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim di Wisma Darul Aman di Alor Star, Azizan berkata Pakatan Rakyat bersedia menghadapi sebarang kemungkinan akibat tindakan Mohd Radzhi termasuk pilihan raya kecil.

Mohd Radzhi, yang dilantik memegang portfolio Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Manusia selepas memenangi pilihan raya umum tahun lepas, mengisytiharkan keluar PKR dan menjadi wakil bebas hari ini atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti. Dalam sidang medianya di Kuala Lumpur semalam, Mohd Radzhi berkata beliau tidak akan melepaskan jawatan exco.

Sementara itu, Ahmad berkata PKR kesal sikap tidak bertangungjawab Mohd Radzhi yang keluar parti. "Khabar angin dia hendak melompat telah lama kedengaran tetapi mengapa dia pilih hari ini untuk keluar parti. Ia tidak lain untuk melemahkan PKR dan merendahkan pimpinan PAS Kedah," kata Ahmad.

Ahmad berkata PKR akan meminta Mohd Radzhi meletak jawatan sebagai ADUN Lunas kerana beliau menang bertanding atas tiket parti itu. Kedah mempunyai lima ADUN dari PKR dan tiga daripadanya termasuk Mohd Radzhi dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri. PAS mempunyai 16 ADUN dan tujuh daripadanya dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri. BN pula mempunyai 14 ADUN, manakala DAP hanya mempunyai seorang ADUN.

[Sementara itu, sesuatu yang agak aneh dan pelik berlaku kepada ADUN Lunas yang khianat itu. Setelah diamati betul-betul, rupa paras dan wajah beliau saling tidak tumpah iras-iras ADUN Changkat Jering yang juga bekas Exco Perak iaitu Osman Jailu yang telah bertindak khianat terlebih dahulu sebelum ini. Cuma bezanya, Osman berjaya menyebabkan Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak ditumbangkan oleh kerakusan UMNO dan BN untuk berkuasa. Apakah mereka ada kaitan antara satu sama lain agaknya? Hanya rakyat yang dapat menilai semua ini. Cuma, apa yang diharapkan agar tindakan bodoh ADUN Lunas itu tidak akan menggugat kestabilan Pakatan Rakyat di Kedah. Apatah lagi kepada para pengundi di DUN Permatang Pasir, untuk terus memberi sokongan yang jitu kepada Pakatan Rakyat. Apa yang penting, ADUN Lunas itu sudah pasti akan mendapat habuan yang lumayan setelah membuat tindakan yang cukup mengecewakan rakyat di negeri Kedah Darul Aman khasnya dan di seluruh Malaysia amnya].

-pahangdaily-

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas