22 January 2013

Krisis Air : SYABAS Jawab 15 Tuduhan MB Selangor.

Berikut merupakan kenyataan rasmi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (SYABAS) berkaitan Krisis Air yang berlaku di Kuala Lumpur dan Gombak baru-baru ini :-

Masalah gangguan bekalan air tidak berjadual di Wilayah Kuala Lumpur dan Gombak ekoran kegagalan rumah pam Wangsa Maju yang berlaku pada 29 Disember 2012, SYABAS telah dilemparkan dengan berbagai dakwaan dan tuduhan khususnya oleh Kerajaan Negeri Selangor sepanjang berlakunya gangguan bekalan air ini.


DAKWAAN 1

Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerusi kenyataan pada 9 Januari 2013 mendakwa SYABAS tidak menyelenggara sistem Variable Speed Drive (VSD) di rumah pam Wangsa Maju secara berkala (periodically preventive maintenance) kerana mendapati SYABAS tidak mempunyai sebarang kontrak penyelenggaraan berkala dengan pembekal VSD.

Dakwaan ini adalah tidak benar kerana, kerja-kerja penyelenggaraan di rumah pam ini dibuat secara berkala (sebulan sekali) yang dilakukan sendiri kakitangan SYABAS. Dalam hal ini, jika semasa kerja penyelenggaraan berkala dan kakitangan SYABAS mendapati terdapat keperluan mendapatkan khidmat pakar termasuk alat ganti, SYABAS akan melantik pihak pembuat dan pembekal VSD tersebut iaitu ABB Malaysia Sdn. Bhd. berdasarkan keperluan (case to case). Malah jadual penyelenggaraan ini juga dihantar kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

DAKWAAN 2

YAB Menteri Besar Selangor turut menyebut bahawa insiden pump tripped bukan disebabkan kegagalan VSD kerana ianya merupakan sistem pintar yang menerima maklumat dari luar seperti keadaan motor, pam, getaran, suhu dan lain-lain.

Dakwaan ini juga tidak benar kerana sistem VSD merupakan sebahagian daripada komponen penting di dalam sistem rumah pam ini, justeru insiden pump tripped juga mempunyai kaitan dengan operasi VSD. Sekiranya mana-mana komponen sistem mengalami kerosakan akibat sistem yang beroperasi melepasi kapasiti (overload), VSD tidak boleh dihidupkan.

DAKWAAN 3

YAB Menteri Besar Selangor turut menyatakan alat gantian pada sistem pam berkenaan boleh didapati dari China dengan menggunakan perkhidmatan courier dan bukan hanya dari Finland seperti yang didakwa SYABAS.

Ingin dinyatakan bahawa SYABAS telah dimaklumkan secara lisan oleh pembekal berkenaan bahawa alat ganti didapati dari Finland. Walaupun begitu isunya adalah berapa lama alat ganti dapat diterima setelah dipesan. Dalam kes ini, ada satu di antara alat pengganti mengambil masa 2 ½ bulan untuk diterima.

DAKWAAN 4

YAB Menteri Besar Selangor turut mendakwa SYABAS gagal mengenalpasti kerosakan pam-pam yang terdapat di rumah pam berkenaan termasuk mendakwa siasatan mereka mendapati pam Nombor 2 telah rosak melebihi setahun dan tidak pernah dibaiki.

Punca sebenar kegagalan rumah pam adalah disebabkan ianya beroperasi dalam keadaan overload dalam tempoh yang lama. Kerosakan sebenar yang berlaku pada sistem rumah pam disebabkan kerosakan pada komponen elektrik dan elektronik. SYABAS mempunyai bukti di mana terdapat dokumen yang merekodkan segala aktiviti di rumah pam, termasuklah kerja-kerja penyelenggaraan yang dilaksanakan.

Salinan dokumen ini telah diserahkan kepada SPAN yang telah menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menjalankan pengauditan terhadap kerja penyelenggaraan rumah pam tersebut. Sementara itu, Pam No. 2 di rumah pam Wangsa Maju sering mengalami kerosakan pada sistem VSD.

Setiap kali berlaku kerosakan, kerja-kerja pembaikan dibuat oleh pihak ABB selaku pembuat/pembekal VSD ini kerana kerja-kerja ini hanya boleh dilakukan oleh jurutera pakar dari syarikat tersebut. Namun begitu, ia tidak dapat bertahan lama apabila kerosakan berulang dan sistem pam tidak berada dalam keadaan stabil kerana beroperasi dalam keadaan overload.

Proses pembaikan yang berulang ini telah kerapkali berlaku dan telah mengambil masa yang lama. Bagaimanapun, dalam tempoh tersebut, rumah pam tersebut masih mengeluarkan air melebihi seperti biasa bagi menampung permintaan pengguna.

DAKWAAN 5

YAB Menteri Besar Selangor mendakwa bahawa sepanjang tahun 2012, hanya 18 hari sahaja pam pam ini beroperasi melebihi 200 juta liter sehari (JLH).

SYABAS menafikan dakwaan ini kerana SYABAS mempunyai rekod dan statistik yang menunjukkan bahawa pam-pam di Wangsa Maju telah beroperasi melepasi 200 JLH sebanyak 2,023 kali sepanjang tahun 2012 dan bukan 18 hari seperti didakwa menteri besar.

DAKWAAN 6

YAB Menteri Besar Selangor juga mendakwa bahawa kerajaan negeri sudah mengetahui masalah kerosakan rumah pam Wangsa Maju dan pernah menegur SYABAS lebih awal, namun tindakan tidak dibuat.

Dakwaan ini juga tidak benar kerana kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan sebarang teguran atau yang seumpamanya kepada SYABAS, sama ada bertulis ataupun lisan.

DAKWAAN 7

YAB Menteri Besar Selangor juga mendakwa bahawa permohonan SYABAS membangunkan sistem pengepaman tambahan baru di Wangsa Maju dibuat pada November tahun lepas dan disokong pada awal tahun ini.

Dakwaan ini tidak benar kerana cadangan pembangunan sistem pengepaman tambahan di Wangsa Maju telah dimajukan kepada Kerajaan Persekutuan pada bulan Jun 2009 diikuti dengan cadangan yang sama kepada Pejabat Menteri Besar Selangor pada Januari 2010, namun tiada respon atau maklumbalas diterima sehingga bulan Mac 2012 apabila Kerajaan Persekutuan mengambil keputusan untuk meluluskan cadangan ini dan memberikan pinjaman kepada kerajaan negeri bagi membiayai projek pembinaan rumah pam tambahan ini yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Dari bulan Mac 2012 sehingga hari ini, pembangunan sistem pam tambahan ini oleh Kerajaan Negeri Selangor masih di tahap reka bentuk.

DAKWAAN 8

YAB Menteri Besar Selangor juga mendakwa SYABAS memberi alasan tidak cukup duit untuk membaiki pam itu kerana tarif air tidak naik tetapi rakyat Selangor tidak mahu kenaikan tarif air. Kerajaan negeri menurutnya, bersedia membaiki kerosakan rumah pam jika SYABAS tiada wang dan keupayaan.

SYABAS tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang menyebut bahawa SYABAS tidak mempunyai wang untuk membaiki pam itu kerana tarif air tidak naik. Ini adalah rekaan menteri besar sendiri. Sekiranya kerajaan negeri selaku pemegang saham 30% dalam SYABAS ingin membantu dengan menyediakan dana untuk penyelenggaraan alat-alat di rumah-rumah pam SYABAS, kami amat mengalu-alukannya.

DAKWAAN 9

Exco Selangor, YB Dr Xavier Jayakumar dalam kenyataannya di Sinar Harian mengatakan bahawa kerajaan negeri mengganggap kelalaian SYABAS merupakan pure negligence dan criminal in nature dan menganggap gangguan bekalan air merupakan tindakan sabotaj dan rekacipta oleh SYABAS bagi memburukkan imej Kerajaan Selangor. Menurutnya, SYABAS tidak mampu membekalkan air kepada rakyat dan berpaksi semata-mata atas keuntungan dengan menaikkan tarif dari semasa ke semasa.

Sementara itu Adun Teratai, YB Janice Lee, mendakwa isu air dimainkan media kawalan Barisan Nasional (BN) bagi memburukkan Kerajaan Selangor sedangkan ianya adalah kegagalan SYABAS. Gangguan bekalan air menurutnya adalah antara sabotaj UMNO-BN terhadap Kerajaan Negeri Selangor.

SYABAS menyangkal semua dakwaan di atas kerana -


= Kerosakan pada pam disebabkan rumah pam Wangsa Maju terpaksa beroperasi melebihi kapasiti rekabentuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi memenuhi permintaan bekalan air. Kerosakan ini boleh berlaku dan telah berlaku walaupun ianya disenggara secara berjadual sepanjang masa.

= Isu kekurangan bekalan air terawat telah sekian lama dimaklumkan kepada kerajaan negeri dan diketahui umum serta menjadi tajuk perbincangan dalam beberapa tahun ini. Kerajaan negeri sendiri telah memperakui kesahihan perkara ini dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas Pemantauan Bekalan Air yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Khushrin Munawi sejak bulan Julai 2012 dan juga cadangan membina loji air dengan teknologi membran dan mengoperasikan semula loji air Bukit Jelutong. Tidak timbul isu gangguan bekalan air ini adalah sabotaj dan rekacipta SYABAS.

= Isu kenaikan tarif yang diperuntukan dalam Perjanjian Konsesi SYABAS (walaupun sehingga kini kenaikan tarif masih ditangguhkan oleh kerajaan negeri) merupakan isu berasingan yang tidak berkaitan dengan kekurangan bekalan air terawat yang perlu ditangani oleh kerajaan negeri dengan menambah kapasiti loji rawatan air. SYABAS hanya pengagih bekalan air yang dibekalkan oleh operator-operator loji rawatan air yang dilantik oleh Kerajaan Negeri.

= Isu SYABAS sengaja merekacipta krisis ini tidak timbul kerana tidak ada seorang pun yang waras akan tergamak melakukannya, lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan kepentingan orang ramai. Ia juga tidak logik kerana SYABAS terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi bagi menguruskan bekalan air alternatif kepada pengguna.

SYABAS juga mempunyai rekod dan statistik yang menyokong kenyataan SYABAS tentang kekurangan bekalan air terawat. SYABAS telah menghantar maklumat tersebut kepada kerajaan negeri menerusi audit yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan juga kepada wakil-wakil kerajaan negeri dalam Lembaga Pengarah SYABAS.

DAKWAAN 10

YB Xavier juga mengatakan bahawa pembekalan dan agihan air adalah merupakan tanggungjawab SYABAS dan bukan kerajaan negeri seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Konsesi dan kerajaan negeri sedia jadi saksi kepada pengguna memfailkan tuntutan terhadap SYABAS.

SYABAS menyangkal dakwaan ini dan menegaskan bahawa:

= Peranan dan tanggungjawab hakiki SYABAS yang diperuntukkan dalam Perjanjian Konsesi adalah mengagihkan air terawat kepada pengguna dan mengutip caj bekalan air daripada pengguna berdasarkan tarif digazetkan kerajaan.

= Air terawat ini dijual dan dibekalkan oleh operator loji yang telah dilantik sendiri oleh kerjaan negeri untuk merawat air termasuk SPLASH, Konsortium Abass dan Konsortium Air Selangor yang mana kerajaan negeri mempunyai saham di dalamnya. Oleh yang demikian, SYABAS tidak bertanggungjawab dalam menentukan atau meningkatkan kapasiti loji rawatan air.

= Dari aspek penambahbaikan, menaiktaraf, mengganti dan pembangunan baru sistem infrastruktur agihan air yang dikategorikan sebagai program CAPEX tertakluk kepada kelulusan SPAN yang merujuk kepada kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Seperti telah diketahui umum, kelulusan sebahagian besar dari program CAPEX ini telah dibekukan oleh SPAN atas arahan kerajaan negeri sejak tahun 2008. Ini bermakna kerajaan negeri telah menghalang SYABAS daripada membuat kerja kerja penambahbaikan, menaiktaraf, mengganti, atau pembangunan projek-projek baru sistem infrastruktur agihan air ini.

= Bagi memastikan operasi berjalan seperti ditetapkan dalam perjanjian konsesi, kenaikan tarif air perlu diselaraskan berdasarkan kepada perjanjian konsesi namun perkara ini telah ditangguhkan oleh kerajaan negeri. SYABAS bagaimanapun kekal mengurus operasi tanpa kompromi terhadap kualiti perkhidmatan dan penyenggaraan infrastruktur sistem agihan air. Kekangan yang dihadapi dari pelarasan tarif hanya menyebabkan SYABAS terpaksa menangguhkan sebahagian pembayaran kos belian air dari operator loji.

= Adalah tidak wajar bagi kerajaan negeri yang memegang 30% ekuiti dan mempunyai wakil dalam Lembaga Pengarah SYABAS memberikan galakan kepada pengguna untuk memfailkan saman terhadap SYABAS sedangkan ketidakupayaan dan kekangan yang dihadapi oleh SYABAS disebabkan oleh halangan kerajaan negeri dari meluluskan projek-projek di bawah program penambahbaikan, menaiktaraf, mengganti ataupembangunan baru (Program CAPEX) seperti dicadangkan oleh SYABAS.

DAKWAAN 11

YB Xavier juga mendakwa bahawa isu air berlaku disebabkan keangkuhan SYABAS dan SYABAS tidak menghubungi Setiausaha Kerajaan Negeri bagi mendapatkan bantuan lori tangki dari PBT tetapi SYABAS meminta bantuan dari syarikat bekalan air daripada luar.

= SYABAS ingin menegaskan bahawa dalam mesyuarat harian Jawatankuasa Khas Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri dan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri atau wakilnya, perkara ini telah dibincang dan dibentangkan. Oleh yang demikian, tidak timbul isu di mana SYABAS tidak meminta bantuan atau tidak memaklumkan kepada kerajaan negeri. Kenyataan tersebut adalah tidak benar.

= Walaupun dalam mesyuarat yang diadakan setiap hari, SYABAS telah maklumkan kepada kerajaan negeri tentang bantuan yang diperlukan bagi meringankan masalah yang ditanggung pengguna, namun bantuan yang diterima tidak seperti yang diharapkan. Kerajaan negeri menerusi pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), memulakan penghantaran bantuan 4 buah lori tangki hanya mulai 5 Januari 2013 iaitu selepas 6 hari kejadian berlaku.

Berikutnya pada 7 Januari 2013, 3 buah lori, 8 Januari 4 buah, 9 Januari 4 buah, 10 Januari 2 buah, 11 Januari 10 buah, 12 Januari 13 buah, 13 Januari 10 buah dan 14 Januari 2 buah lori. Penghantaran lori-lori tangki ini tidak tetap kerana ada hari-hari yang tiada lori dihantar.

Selain daripada itu, bantuan yang dihantar oleh kerajaan negeri juga tidak menyeluruh kerana tidak menyediakan sukarelawan dan petugas petugas untuk membantu mengangkat air ke rumah-rumah pengguna. Sebagai sebuah negeri yang besar seperti Selangor, sepatutnya lebih ramai petugas sukarelawan dan bantuan lori-lori tangki dapat disediakan.

Malahan sebahagian lori-lori yang digunakan juga didapati tidak menepati piawaian kualiti air yang ditetapkan dan tidak sesuai digunakan untuk membekalkan air. Oleh itu, lori-lori tersebut terpaksa dihantar semula untuk proses cucian dan selepas diuji, barulah air tersebut boleh digunakan.

DAKWAAN 12

Ahli Parlimen Ampang, YB Zuraidah Kamaruddin, mendakwa SYABAS tidak mengambilkira perancangan jangka panjang dalam aspek penyenggaraan, sistem naiktaraf, pemantauan berkala, sistem sokongan lebih efektif dan pengurusan berwibawa.

SYABAS menafikan dakwaan ini dan ianya tidak benar kerana program penyenggaraan berkala rumah pam ini adalah sebahagian daripada program penyenggaraan tahunan peralatan infrastruktur sistem agihan air terawat yang dimajukan pada awal tahun setiap tahun kepada SPAN untuk kelulusan seperti termaktub di dalam Perjanjian Konsesi SYABAS.

Manakala laporan status kerja-kerja penyenggaraan dimajukan sekali dalam tempoh enam bulan kepada SPAN untuk pemantauannya. Bagi kerja kerja menaiktaraf, membaik pulih, mengganti dan pembangunan baru infrastruktur sistem agihan yang melibatkan program perbelanjaan modal (CAPEX), SYABAS telah dihalang daripada melaksanakannya apabila ianya dibekukan oleh SPAN atas arahan kerajaan negeri sejak bulan Julai 2008. SYABAS hanya dibenarkan untuk menjalankan kerja kerja kritikal sahaja serta penyelenggaraan rutin, itupun selepas mendapat kelulusan SPAN.

Dalam keadaan keadaan seperti ini, SYABAS seolah olah 'terikat tangannya' dan tidak banyak yang mampu dilakukan akibat daripada arahan pembekuan ini. Oleh itu, mendakwa SYABAS tidak mengambil kira perancangan jangka panjang adalah tuduhan yang tidak berasas dan tidak adil sama sekali.

DAKWAAN 13

YAB Menteri Besar Selangor turut mendakwa bahawa gangguan bekalan air membuktikan kegagalan projek penswastaan air kepada syarikat yang tidak berkelayakan dan kompeten SYABAS menyangkal dakwaan ini dan bertegas bahawa gangguan bekalan air adalah disebabkan kegagalan rumah pam yang telah beroperasi secara overload dalam tempoh yang panjang disebabkan permintaan yang meningkat berterusan.

Kegagalan rumah pam berfungsi adalah berkait dengan permintaan yang meningkat sehingga menyebabkan rumah pam terpaksa beroperasi melebihi kadar kebiasaannya sementara menunggu bekalan air terawat tambahan yang belum disediakan oleh kerajaan negeri.

Kerajaan negeri atas alasannya sendiri tidak mahu menerima hakikat yang disokong oleh fakta-fakta bahawa Selangor mengalami kekurangan dalam pengeluaran air terawat berbanding permintaan yang meningkat.

DAKWAAN 14

Dalam keadaan yang sama, Adun Teratai, YB Janice Lee mendakwa bahawa isu masalah air menunjukkan ketidakupayaan Puncak Niaga dan SYABAS mengendalikan pengurusan air kerana krisis ini bukanlah yang pertama kali berlaku di Selangor.

SYABAS menyangkal dakwaan ini dan menegaskan bahawa menteri besar dan kerajaan negeri telah dimaklumkan semenjak tahun 2005 lagi bahawa permintaan air terawat di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya meningkat iaitu pada kadar 3.5% setiap tahun dan pengeluaran air dari kapasiti loji-loji yang sedia ada telah tidak mencukupi.

Sememangnya ada di antara 34 loji sedia ada telah beroperasi melepasi kapasiti rekabentuk. Keadaan bertambah buruk apabila rezab bekalan air yang tinggal pada masa ini adalah lebih kurang 1% sahaja. Kerajaan negeri bertanggungjawab menambah kapasiti rawatan air manakala di bawah Perjanjian Konsesi, SYABAS hanya dipertanggungjawabkan ke atas pengagihan air terawat kepada pengguna berdasarkan kuantiti dibekalkan oleh operator loji, syarikat konsesi dilantik kerajaan negeri bagi merawat dan membekal air kepada SYABAS.

Kerosakan pam disebabkan rumah pam Wangsa Maju terpaksa beroperasi melebihi kapasiti rekabentuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi memastikan pengguna mendapat bekalan air. Kerosakan ini boleh berlaku dan telah berlaku walaupun ianya diselenggara secara berjadual sepanjang masa.

Keengganan kerajaan negeri meluluskan projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan kelewatan membangunkan sistem pam tambahan yang hanya diluluskan pada bulan Mac 2012 menyebabkan SYABAS terpaksa menguruskan rumah pam ini pada tahap overload untuk memenuhi permintaan yang tinggi.

Selain itu, dakwaan terhadap Puncak Niaga adalah tidak adil kerana Puncak Niaga tidak terlibat dalam isu ini, disebaliknya membantu dalam mengoperasikan loji Sungai Langat pada tahap overload sehingga 520 JLH daripada biasa 470 JLH.

DAKWAAN 15

YB Zuraidah seperti disiarkan di Sinar Harian mendakwa bahawa SYABAS gagal menyediakan back-up bekalan air yang mencukupi kepada penduduk dan tidak mempunyai pelan kecemasan untuk mengatasi masalah ini.

Dakwaan tersebut adalah tidak berasas kerana back-up bekalan air wujud dengan adanya kapasiti rezab bekalan air terawat yang mencukupi. Pada masa ini, rezab kapasiti bekalan hanya sekitar 1%, jauh lebih rendah daripada paras selesa industri bekalan air (20%).

Tanggungjawab bagi menyediakan rezab kapasiti bekalan air terawat yang mencukupi adalah kerajaan negeri, bukannya SYABAS. Situasi di kawasan Gombak dan Kuala Lumpur boleh di elakkan jika bekalan air terawat mempunyai rezab kapasiti yang mencukupi.

SYABAS telah menjalankan tanggungjawabnya seperti yang terkandung dalam Perjanjian Konsesi. Namun dalam keadaan keadaan tertentu, SYABAS tidak dapat mengelak daripada berlaku masalah yang mengakibatkan SYABAS tidak dapat menjalankan obligasinya dengan berkesan jika terdapat pihak lain tidak menjalankan tanggungjawabnya.

Misalnya jika berlaku pencemaran sungai akibat tumpahan minyak dan loji loji rawatan terpaksa berhenti operasinya, SYABAS tidak dapat menyalurkan air kepada pengguna. Sebagai memenuhi tanggungjawabnya SYABAS membekalkan air menerusi lori lori tangki bagi memastikan bekalan air sampai kepada pengguna. Namun demikian bukanlah tanggungjawab SYABAS membersihkan sungai dari tumpahan minyak atau memastikan sungai tidak tercemar. Ianya adalah tanggungjawab kerajaan negeri.

Sangat tidak adil meletakkan kesalahan ini kepada SYABAS kerana krisis air berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri menjalankan tanggungjawabnya. Apatah lagi kerana kerajaan negeri memiliki 30% saham di dalam SYABAS tetapi membiarkan SYABAS berhadapan dengan segala kekangan tanpa menghulurkan sebarang bantuan, sebaliknya mencari kesalahan dan kelemahan SYABAS semata mata.

Semasa krisis ini berlaku, Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Kuning telah diaktifkan SYABAS pada 29 Disember 2012 jam 8:00 pagi. Pelan ERP ini yang beroperasi 24 x7 adalah sekretariat bertindak setempat bagi memantau dan mengurus bekalan bantuan air kepada pengguna yang menghadapi gangguan bekalan air.

Bekalan air dihantar kepada pengguna bagi kawasan gangguan kali ini diberikan melalui lori-lori tangki (86 buah) dengan jumlah penghantaran sebanyak 2,891 trips (sehingga 12 tengah hari 12 Januari 2013) dan 287 tangki statik. Bagaimanapun, keupayaan pelan Tindakan Kecemasan adalah terhad kerana mana-mana bekalan air tidak dirancang, direkabentuk dan dibina untuk kegagalan (designed not to fail).

KESIMPULAN

Belum pernah terjadi sebuah kerajaan negeri menghalang kerja-kerja penambahbaikan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada rakyat. Kerajaan negeri perlu memikirkan soal kesejahteraan rakyat, kebajikan rakyat dan meluluskan program-program yang dicadangkan SYABAS untuk kebaikan rakyat.

Sikap menyalahkan SYABAS yang memberikan perkhidmatan kepada rakyat tanpa memberikan bantuan yang sewajarnya umpama ‘baling batu sembunyi tangan’. Tindakan kerajaan negeri menghalang program-program menaiktaraf, membaik pulih, mengganti dan menjalankan projek-projek baru sistem agihan bekalan air menerusi pembekuan Perbelanjaan Modal (CAPEX) sangat tidak wajar.

SYABAS berharap kerajaan negeri yang mempunyai tanggungjawab di bawah undang-undang untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah berkaitan menambah kapasiti bekalan air terawat dapat melihat perkara ini dengan lebih serius dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan isu ini.

SYABAS hanya menguruskan perkhidmatan pengagihan air terawat yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat operator loji rawatan air yang dilantik oleh kerajaan negeri sendiri.

http://klpos.com/politik/37611-krisis-air-syabas-jawab-15-tuduhan-mb-selangor


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas