BlogList Malaysia

05 January 2013

Krisis Air Selangor - MB Beri Kata Dua Kepada Syabas

KUALA SELANGOR - Kerajaan Negeri bersedia mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sekiranya syarikat konsesi air itu masih memberi alasan tiada wang dan keupayaan membaiki pam yang rosak.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri bersedia membaiki kerosakan pam yang didakwa menyebabkan krisis air melanda kawasan Gombak dan Kuala Lumpur sejak kebelakangan ini.

“Kita bersedia untuk membaikinya jika Syabas tiada wang dan keupayaan untuk menyelesaikan kerosakan itu dan Syabas tidak perlu melibatkan campur tangan Kerajaan Persekutuan dalam perkara ini.


“Meskipun saya difahamkan pam terbabit kini sudah dibaiki, namun masalah krisis air masih belum dapat diselesaikan kerana ia mengambil tempoh seminggu untuk memenuhi paras air sebelum dapat beroperasi seperti biasa.

“Mungkin Syabas takut Kerajaan Negeri mahu mengambil alih, jadi mereka cepat-cepat baikinya,” katanya dengan nada seloroh ketika sidang media di Taman Pancaran, Bestari Jaya semalam.

Abdul Khalid yang juga Adun Ijok itu menjelaskan, sebelum ini Kerajaan Negeri sudah mewujudkan pasukan khas untuk memantau dan mengenal pasti punca krisis air yang berlaku di negeri ini sejak Jun tahun lalu.

“Pasukan khas itu ditubuhkan selepas berlakunya krisis air di beberapa kawasan sejak setahun lalu dan memaklumkan masalah terbabit kepada pihak Syabas.

“Seperti kes kerosakan pam Rumah Pam Wangsa Maju, Kerajaan Negeri sudah mengetahui masalah kerosakan itu dan pernah menegur Syabas untuk membaiki kerosakan dua pam rizab lebih awal, namun tindakan tidak dibuat.

“Kerajaan Negeri turut menyifatkan Syabas gagal melaksanakan penyelenggaraan ke atas aset dan fasiliti bekalan air di bawah pengendaliannya dan mengenal pasti kerosakan pam di rumah pam berkenaan.

“Syabas juga gagal menyelesaikan masalah kerosakan pam terbabit dan menggunakan isu ketidakcukupan air sekali gus menyalahkan Kerajaan Negeri kerana tidak meneruskan Projek Langat 2.

“Apabila Kerajaan Negeri membangkitkan perkara ini, Syabas masih memberi alasan tiada wang dan tiada keupayaan untuk membaiki kerosakan itu dan mahu menaikkan tarif air bagi tujuan itu.

“Kerajaan Negeri terpaksa membantah tindakan Syabas yang mahu menaikkan tarif air kerana tahu rakyat Selangor pastinya tidak bersetuju,” katanya.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas