10 October 2012

Imam Baling Kasut Bebas Esok

KUALA LUMPUR 10 oktober: Imam Hoslan Hussin, 46, yang dijatuhkan hukuman penjara setahun mulai Mac lalu ekoran membaling selipar terhadap tiga hakim Mahkamah Persekutuan akan dibebaskan esok daripada penjara Kajang.

Isterinya, Noorliza Mat Isa, 43, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memberitahu pembebasan suaminya dimaklumkan pejabat Parol semalam.

“Pejabat Parol telefon semalam beritahu akak imam akan dibebaskan esok, katanya mungkin tengah hari baru boleh datang jemput.



“InsyaAllah akak akan bersama adik atau ahli keluarga lain pergi ke pejabat Parol di Wisma Zelan, Bandar Tun Razak,” katanya.

Bagaimanapun, beliau yang gembira menerima perkhabaran itu memberitahu sekali lagi diduga kerana anak bongsunya ditahan di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat demam denggi.

“Malam tadi gembira sangat dengan anak-anak, mereka semua nak pergi ambil ayah mereka, tiba-tiba anak akak yang bongsu sudah tiga hari demam terpaksa masuk hospital pagi ini kerana demam denggi.

“Nampaknya malam ni terpaksa akak tidur di hospital. Menangis akak tadi dapat tahu anak kena masuk wad tanpa ayahnya di sisi,” katanya.

Hoslan yang pernah menjadi imam ratib Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan dijatuhkan hukuman setahun bermula pada 8 Mac lalu, selepas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datin Paduka Zaharah Zahari mendapati dia bersalah menghina mahkamah.

Dalam kejadian itu, Hoslan gagal mendapat kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar kesahihan tindakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengosongkan unit kuarters yang didudukinya selepas pelantikannya sebagai imam ditamatkan, empat tahun lalu.

Ekoran tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Persekutuan, dia bertindak membaling sepasang selipar pada panel hakim dan satu daripadanya terkena Timbalan Pendaftar yang bertugas.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=37658



Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas