BlogList Malaysia

30 October 2012

AES: Keselamatan atau keuntungan?

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) terus mempersoal alasan kerajaan untuk melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi mengesan dan mengenakan saman terhadap pesalah trafik.

Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar (LPAS) dewan itu, Mohd Firdaus Jaafar, berkata tinjauan dan kajian yang dilakukan oleh LPAS mendapati rata-ratanya tidak menyokong pelaksaan sistem ini.

Ini kerana ianya dilihat bukan untuk keselamatan semata-mata tetapi lebih kepada cuba mengaut keuntungan yang agak besar dalam masa singkat.


"LPAS juga mempersoal adakah pelaksanaan kamera AES ini dapat menjamin 100 peratus keselamatan kepada pengguna jalan raya, mendisplinkan pengguna jalan raya ataupun sebaliknya hanya mahu membuat keuntungan semata-mata," soalnya.

Beliau berkata demikian mengulas alasan yang diberi kerajaan kononnya AES perlu bagi mengurangkan kadar kemalangan maut.

Menurut Firdaus yang juga Ahli Parlimen Jerai, banyak faktor lain juga yang menyumbang kepada kemalangan maut selain faktor memandu secara laju.

Ia termasuk soal kualiti permukaan jalan raya, keadaan kenderaan dan lain-lain.

"Kerajaan mahupun JKJR (Jabatan Keselamatan Jalan Raya) sepatutnya menyelesaikan faktor-faktor penting yang boleh menyumbang ke arah kemalangan jalan raya, bukannya mencari salah pengguna jalan raya yang kononya membawa kenderaan dengan laju.

"Dengan alasan seperti ini terlalu senang kerajaan Umno BN membazir ratusan juta semata-mata untuk mewujudkan kamera AES sedangkan banyak lagi kaedah dan cara yang lebih efisyen serta menjimatkan," katanya.

Malah katanya, kerajaan juga boleh menggunakan kaedah lain selain AES bagi menangani masalah kemalangan maut tersebut.

"Dah sampai masanya Kerajaan mahupun JKJR memikirkan dan juga mengkaji polisi-polisi atau plan-plan perancangan demi untuk kepentingan pengguna jalan raya dan bukannya ‘berniaga dengan nyawa rakyat’," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) Datuk Mahfuz Omar turut mendedahkan satu kajian yang dibuat menunjukkan kadar kemalangan di bandar yang menggunakan kamera AES lebih tinggi berbanding bandar yang tidak menggunakan sistem tersebut.

Kajian yang dibuat sekumpulan masyarakat awam pembayar cukai di London itu mengkaji kadar kemalangan terhadap 1000 kenderaan berdaftar di beberapa bandar yang menggunakan AES dan tidak menggunakan AES.

Kajian mereka mendapati kadar kemalangan di bandar London yang menggunakan kamera AES adalah 90.9.

Sebaliknya sebuah lagi bandar Swindon di UK yang telah memansuhkan kamera AES pada 2009 hanya merekodkan kadar kemalangannya 2.0.

Berikut adalah cadangan LPAS kepada kerajaan:

- Sepatutnya pihak Kerajaan Persekutuan dan juga Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) perlu menyelesaikan masalah ini dengan menganal pasti dan membaik pulih setiap permukaan jalanraya yang mempunyai faktor risiko yang tinggi terjadi nahas kemalangan, supaya ia selamat kepada pengguna jalan raya walaupun dalam keadaan cuaca panas mahupun hujan.

- Memasang lampu-lampu keselamatan di tempat-tempat yang berisiko tinggi berlakunya kemalangan agar jalan seperti ini sentiasa kelihatan terang dan jelas semasa memandu pada waktu malam. Tetapi sebaliknya pemasangan lampu-lampu ini hanya berada di zon-zon bandar dan juga di plaza tol-tol.

- Pihak JKJR, sepatutnya menyedarkan pengguna jalanraya dengan mengadakan kempen besar-besaran punca yang menyumbang kemalangan dengan mengiklankan papan tanda seperti jumlah atau peratus kemalangan, gambar-gambar kemalangan dan juga bilangan atau angka nyawa-nyawa yang terkorban di kemalangan jalanraya. papan iklan ini perlu dipasang setiap penjuru ataupun kawasan yang berisiko tinggi berlakunya kemalagan.

- Memperkasakan pengangkutan awam.

.harakahdaily.net


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas