17 August 2012

Kalau Kerajaan Hari Ini Betul.., Buat Apa Saya Pilih Masuk Pas?


Bekas Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong mendedahkan konspirasi berhubung rampasan kuasa Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak pada tahun 2009 lalu dalam wawancaranya yang dipetik melalui PerakDaily.


Katanya, tindakan itu adalah disebabkan tekanan dari pihak atasan dan tidak berupaya untuk mengelak.


“Ketika kemelut politik yang memuncak, saya menjadi serba salah antara amanah dengan kepentingan pekerjaan.

“Semua kenyataan berkaitan sidang dewan dan sebagainya saya perlu keluarkan dan perlu ditandatangan atas kapasiti saya sebagai setiausaha DUN sehinggalah saya mengeluarkan satu kenyataan yang kontroversi itu.

“Daripada kenyataan itu juga, sidang DUN terpaksa diadakan di bawah pokok kerana Adun Pakatan dihalang memasuki dewan,” katanya dalam wawancara itu.

Tambahnya, Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin tidak pernah dijatuhkan undi tidak percaya oleh ahli dewan.

“Dan sebab itu saya tidak terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan beliau tidak terlucut jawatannnya sebelum Mahkamah Rayuan memutuskan sebaliknya,” katanya.

Jelasnya, jika mengikut Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, jawatan Menteri Besar gugur dengan tiga perkara iaitu disabitkan dengan salah laku tatatertib atau hilang kelayakan sebagai Adun, perletakan jawatan dan apabila berlakunya pembubaran DUN.

“Ahli Dewan juga boleh membuat usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar dan sekiranya majoritinya mengundi tidak percaya, Menteri Besar ketika itu mempunyai dua pilihan iaitu meletak jawatan ataupun memohon perkenan Tuanku untuk membubarkan DUN bagi pilihan raya semula diadakan,” katanya.

Ketika mengulas insiden Sivakumar diusung keluar ketika sedang menjalankan tugas sebagai Speaker, Abdullah berkata Umno-BN ketika itu sebenarnya tidak mempunyai kuasa sepenuhnya di dewan.

Bagaimanapun, Umno-BN tidak menghiraukannya malah mereka tidak ‘nampak’ ada satu lagi institusi ataupun jawatan Speaker yang ketika itu masih lagi dari kalangan Pakatan Rakyat.

“Tidak lengkap mendapat jawatan Menteri Besar jika belum menukar Speaker DUN kerana Speaker berkuasa penuh di dalam dewan ketika itu masih Pakatan Rakyat jadi bermakna Pakatan Rakyat masih berkuasa di Dewan Negeri.

“Malah semasa sidang DUN pada 7 mei 2009 yang berlaku dalam keadaan tegang itu, saya tidak nampak dan dengar speaker mengarahkan timbalannya mempengerusikan sidang DUN.

“Tetapi secara tiba-tiba Timbalan Speaker, Hee Yit Fong mengadakan satu sidang di hujung dewan untuk melantik Speaker baru dan saya sebagai Setiausaha DUN berasa pelik,” katanya.

Abdullah menjelaskan mengikut Peraturan Tetap Dewan, tiada satu pasal pun yang membenarkan keadaan itu berlaku dan itu menunjukkan Peraturan Tetap Dewan dilanggar.

“Saya tidak pasti siapa yang mengusung Sivakumar ke luar dewan dan sudah pasti ia bukan kakitangan dewan kerana saya mengenali semua staff-staff tambahan yang dilantik bagi membantu Bentara Dewan.

“Kejadian tersebut telah menjadi sejarah dunia kerana ianya tidak pernah berlaku di mana-mana Negara Komanwel mahupun negara lain,” katanya


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas