20 August 2012

Jangan ungkit lagi tragedi 13 Mei, kata veteran Umno

PETALING JAYA, 20 Ogos — Veteran Umno Datuk Mazlan Harun ingin orang ramai lupakan pertumpahan berdarah 1969, semasa kontroversi politik mengenai filem tempatan “Tanda Putera” — penceritaan tentang tempoh yang paling huru-hara di Malaysia — masih berterusan.

Kontroversi itu boleh mengancam perpaduan negara sebelum pilihan raya umum ke-13 yang perlu dipanggil pada tahun depan.

Mazlan, anak kepada menteri besar (MB) Selangor pada masa itu, telah memberi wawancara eksklusif kepada The Malaysian Insider pada minggu lalu berikutan laporan-laporan tentang satu insiden yang dikatakan telah berlaku di kediaman bapa beliau.


Dakwaan kejadian itu telah digunakan oleh beberapa blogger pro-Umno sebagai bukti bahawa pemimpin DAP, Lim Kit Siang, merupakan dalang di sebalik provokasi perkauman yang telah menyebabkan rusuhan 13 Mei, 1969, di ibu kota negara. Musuh politik Lim telah menuduh beliau yang membuat hasutan yang menyebabkan berlaku rusuhan 13 Mei yang berlaku 43 tahun yang lalu, tetapi segelintir ahli penyelidik telah menyalahkan satu perarakan diketuai Umno yang bertolak dari kediaman Datuk Harun Idris, MB Selangor pada masa itu.

Mazlan berkata beliau telah mendengar tentang kejadian tiang bendera yang dikatakan berlaku itu dari seorang bekas timbalan menteri dalam negeri, tetapi berkata diri beliau tidak dapat membuktikan kesahihan kenyataan itu.

“Saya tak mahu cakap pasal benar tak benar tapi saya dimaklumkan oleh seorang bekas timbalan menteri di dalam kementerian dalam negeri (KDN) — nama dia tak perlu disebutlah — yang membaca laporan, ini sensitif laporan ni yang mengatakan Kit Siang kencing (di bawah tiang bendera), dia bacakan.

“Kalau dia bohong saya bohonglah, itu pasal banyak orang mintak, dedahkan semua laporan tentang Mei 13,” kata beliau dalam wawancara.

Mazlan juga memberitahu, bekas timbalan menteri KDN itu membaca laporan dalaman polis berhubung dengan tragedi disebut.

“Kit Siang saya tengok dalam blog (beliau), dia buat penafian dia tak ada kat sinilah, dia kat Sabahlah,” katanya lagi.

“Mungkin polis mistaken identity (tersilap identiti) saya tak tahulah.

“Tetapi saya dimaklumkan oleh timbalan menteri ini yang Kit Siang kencing dan saya percaya Shuhaimi punya wayang ni berdasarkan pada laporan polis, laporan KDN.”
Pengarah filem “Tanda Putera”, Datin Paduka Shuhaimi Baba, berkata beliau telah menjelaskan beberapa kali bahawa filem durasi 117-minit itu juga tidak memaparkan mana-mana watak pemimpin DAP sepertimana dikatakan pelbagai pihak, terutama parti politik.

“Terdapat pendakwaan bahawa terdapat watak seorang pemimpin DAP yang terkenal (prominent) dalam filem ini,” kata Shuhaimi ketika sidang media pada minggu lalu.

“Kami ingin menegaskan bahawa tiada watak seumpama itu dalam filem ‘Tanda Putera’.”
Lim sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan karut dan bohong itu yang telah dipaparkan dalam laman sosial Facebook bagi filem “Tanda Putera” kononnya beliau telah kencing di bawah tiang bendera Selangor di rumah kediaman MB Selangor semasa rusuhan 13 Mei berlaku.

Beliau menjelaskan bahawa tuduhan tersebut tidak masuk akal sama sekali kerana beliau tidak berada di Kuala Lumpur mulai 10 Mei hingga 13 Mei 1969, malah sewaktu rusuhan berlaku kerana berada di Kota Kinabalu.

Mazlan juga meminta semua pihak agar tidak mengungkit kembali kisah silam itu kerana tidak adil bagi ayahnya sudah meninggal dunia.

“Orang macam Datuk Harun dah meninggal, dia tak ada ‘chance’ (peluang) untuk cerita dia punya version,” katanya.

“So kalau kita ungkit benda-benda yang orang kata orang yang mati tak boleh jawab, dalam Islam pun kita rasa tak adillah.

“Macam Kit Siang dia boleh jawab, dia hidup, macam Datuk Harun dia tak boleh jawab.”
Di bawah serangan blogger pro-Umno yang telah berterusan menuduh Lim menghasut pertumpahan darah pada 43 tahun yang lalu, pemimpin DAP itu kekal berkata bahawa beliau tidak mungkin boleh menghasut rusuhan di ibu kota kerana beliau “tidak berada di Kuala Lumpur pada 11, 12, dan 13 Mei pada tahun 1969”.

Lim juga telah menceritakan versi beliau melalui laman web video Youtube.
Pilihanraya umum 1969 telah melihatkan perikatan yang diketuai Umno, yang pada masa itu dikenali sebagai Parti Perikatan (Alliance), hilang penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen dan undi majoriti buat pertama kali selepas Merdeka.
Kekalahan Parti Perikatan yang memeranjatkan itu kemudian telah diikuti dengan rusuhan etnik yang paling teruk di Malaysia, yang dikatakan telah menyebabkan lebih dari 2,000 kematian.

Lim yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya telah menang di kerusi parlimen Kota Melaka pada tahun 1969.

Sebelum itu beliau hanyalah seorang wartawan dan bekas pembantu kepada ahli parlimen Bangsar, Devan Nair, daripada parti PAP.

Beliau, yang masih seorang ahli politik yang baru, ditahan dibawah ISA selepas berlakunya tragedi 13 Mei selama 18 bulan.

Dalam pilihanraya umum 2008, Barisan Nasional (BN) telah mengalami nasib yang serupa seperti Parti Perikatan (Alliance) dalam pilihan raya 1969, iaitu hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Tetapi BN telah berjaya kekal berkuasa kerana telah mendapat undi majoriti.
Rusuhan 13 Mei telah berulang kali dibangkitkan oleh BN untuk memujuk para pengundi supaya terus menyokong barisan pemerintah itu.

Bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dilaporkan memberitahu orang muda di Malaysia supaya bersatu padu untuk mengelakkan satu lagi pergaduhan kaum seperti rusuhan 1969 itu.

Kenyataan beliau itu datang sebelum pilihan raya umum ke-13 yang dijangkakan akan menjadi pertempuran yang paling sengit di antara BN dan pihak pembangkang Pakatan Rakyat (PR).

Tetapi satu gambar yang dipapar di laman rasmi Facebook milik Pemuda Umno Sabtu lalu kelihatan mencadangkan bahawa undian untuk pihak pembangkang Pakatan Rakyat akan menyebabkan Islam diganti oleh agama

Kristian sebagai agama persekutuan. Ini menunjukkan bahawa soal agama masih digunakan untuk menakutkan pengundi dari kalangan orang Melayu-Muslim kerana pilihanraya umum ke-13 yang bakal diadakan.

Poster yang kontroversial itu menyatakan: “Jika anda setuju untuk jadikan KRISTIAN sebagai agama rasmi persekutuan Malaysia, teruskan sokongan anda kepada Pakatan Rakyat. ‘God bless you my son’ (Tuhan berkatimu, anakKu)’.”

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin telah menafikan pasukan beliau bertanggungjawab untuk memuat naik (upload) poster tersebut, dan juga telah menarik balik poster itu pada hari sama ia dipaparkan.

Tetapi gambar yang diposkan di Facebook itu telah pun mencetuskan perbincangan hangat di Facebook dengan segelintir pengguna Internet menyokong kenyataan itu.
Manakala pengguna Internet lain mengecam tindakan Pemuda Umno itu yang dilihatkan sebagai percubaan untuk mengapi-apikan emosi dan sentiment agama di antara penganut agama Kristian dan Islam sehari sebelum Aidilfitri, antara perayaan terbesar di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

http://razali01.blogspot.com/2012/08/jangan-ungkit-lagi-tragedi-13-mei-kata.html


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas