03 April 2012

PSC cadang bubar parlimen lepas cukup 4 tahun

Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) mencadangkan peruntukan undang-undang pembubaran Parlimen hanya dibuat selepas empat tahun pilihan raya umum sebelumnya.

PSC turut mengesyorkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ditubuh untuk mengawasi dan meneliti semua usaha penyemakan dan pembersihan daftar pemilih serta melaksanakan tugas-tugas lain yang dirujuk kepada jawatankuasa itu.

Laporan akhir PSC yang dibentang pada persidangan Dewan Rakyat itu juga mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempamerkan senarai pemilih yang alamatnya diragui berdasarkan dakwaan terdapat lebih 50 pengundi di satu alamat yang sama, dalam tempoh 45 hari daripada tarikh laporan PSC dibentang.


Ini adalah untuk memberi ruang pemilih yang terlibat memaklumkan kepada SPR bagi membolehkan suruhanjaya itu mengemas kini dan membersihkan senarai pemilih berkenaan, kata laporan itu yang dibentang hari ini.

Mengenai cadangan pendaftaran pemilih secara automatik bagi warganegara yang mencapai umur 21 tahun, SPR disaran mengambil tindakan untuk melaksanakannya dalam tempoh 12 bulan bagi membolehkan cadangan ini dilaksana pada masa hadapan.

Jawatankuasa itu turut mencadangkan agar SPR mengkaji cadangan untuk membenarkan prapendaftaran bagi warganegara yang mencapai umur 20 tahun untuk didaftarkan sebagai pemilih.

Laporan PSC itu mengandungi 22 syor dan cadangan yang meliputi lima isu utama iaitu perundangan dan pindaan peraturan, menambah baik proses pilihan raya, meningkatkan mutu daftar pemilih, memperkukuh kedudukan SPR dan persempadanan, pembiayaan politik dan sistem alternatif.

Syor-syor dan cadangan itu diperoleh PSC daripada sesi pendengaran awam, maklum balas daripada anggota jawatankuasa, rumusan hasil penelitian semula jawatankuasa kecil serta pemerhatian semasa lawatan kerja yang dilakukan sejak jawatankuasa itu diluluskan pada Oktober tahun lepas.

Jawatankuasa itu telah mengadakan 13 mesyuarat sejak 12 Okt tahun lepas hingga 28 Mac tahun ini, selain menubuhkan lima jawatankuasa kecil yang diketuai anggota jawatankuasa PSC untuk memperhalusi isu-isu yang berbangkit dalam pendengaran awam yang telah diadakan.

Selain itu, sebanyak enam siri pendengaran awam juga telah diadakan di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang, Kota Baharu dan berakhir di Johor Baharu sejak November tahun lepas hingga Januari.

Daripada siri pendengaran awam itu, sebanyak 106 persatuan, pertubuhan berdaftar serta individu telah membentangkan pandangan dan cadangan di hadapan jawatankuasa itu.

Laporan PSC itu juga mencadangkan SPR mengkaji kaedah pengundian terbaik untuk warganegara Malaysia di luar negara, termasuk menimbangkan kaedah pengundian awal tertakluk kepada pindaan undang-undang yang berkenaan.

Jawatankuasa itu juga mencadangkan SPR melantik lebih petugas pilihan raya daripada tempat mereka mengundi supaya dapat mengurangkan bilangan petugas yang perlu mengundi secara pos.

Manakala bagi petugas media, SPR disyor memberi kemudahan mengundi secara pos menurut Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

Jawatankuasa itu turut mencadangkan SPR distruktur semula dengan diberi kuasa yang sewajarnya bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang pilihan raya dijalankan oleh badan penguatkuasaan SPR sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada pihak-pihak lain.

Menyentuh mengenai persempadanan semula, PSC mengesyorkan SPR supaya menentukan satu formula yang adil dan saksama berdasarkan satu prinsip yang tetap dalam menentukan jumlah pengundi di sesuatu bahagian pilihan raya dalam satu negeri tidak berbeza dengan ketara.

"Jawatankuasa mengesyorkan SPR menyemak semula Jadual Ketigabelas Perlembagaan Persekutuan bertujuan memberi makna sepenuhnya kepada prinsip 'Satu Orang, Satu Undi' dan mengembalikan wajaran kawasan luar bandar," kata laporan itu.

Laporan itu turut meminta SPR meneliti cadangan untuk menambah baik Sistem Majoriti Mudah sedia ada ataupun mengkaji apa-apa sistem pilihan raya lain seperti campuran atau Sistem Perwakilan Berkadaran.

"Perkara ini perlu diteliti kerana ia melibatkan dasar yang perlu dipertimbang oleh kerajaan, dan melaporkan semula kepada jawatankuasa itu," kata laporan itu.

Menyentuh mengenai peruntukan dana kepada parti politik, jawatankuasa itu mencadangkan kerajaan mengadakan peruntukan dana kepada parti politik mengikut jumlah kerusi yang diperoleh dalam pilihan raya dalam usaha menyuburkan sistem demokrasi di negara ini, serta membendung gejala rasuah di kalangan anggota politik.

"Justeru itu, kerajaan disaran mengadakan peruntukan dana dan menggubal formula yang sesuai bagi parti politik dan calon yang menang mengikut jumlah yang sesuai dengan kerusi dan undi yang dimenangi dalam pilihan raya mengikut agihan 50 peratus untuk kerusi dimenangi dan 50 peratus untuk jumlah undi yang diperoleh," kata laporan itu.

- Bernama


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas