28 February 2012

Pemandu Dr Badrulamin cuba disogok untuk memfitnahnya!

Pengarah Penerangan kerajaan negeri Selangor, Dr Badrulamin Bahrom yang kini disiasat oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) berhubung dakwaan beliau terbabit dalam kes khalwat dengan isteri orang di sebuah hotel di Balok, Kuantan Sabtu lalu, khuatir kes itu akan dijadikan permainan politik kotor oleh Umno.

“(Ini) kerana pemandu/pembantu saya telah didatangi oleh enam orang yang tidak dikenali yang menawarkan ‘imbuhan lumayan’ sekiranya (dia) sanggup bekerjasama dengan mereka untuk ‘jadi saksi memburukkan saya,” katanya dalam satu kenyataan media.

Badrulamin juga mendakwa beliau diberitahu oleh ayah kepada wanita yang dituduh berkhalwat dengannya itu bahawa seorang ahli parlimen Pahang yang sekarang bertugas di luar negara ada meminta nombor telefon suami wanita berkenaan melalui ketua kampung di situ.


“Untuk apa? Tentunya untuk meneruskan agenda busuk mereka menyerang Pakatan Rakyat terutama PKR melalui kes saya,” katanya lagi.

Dalam kenyataan akhbarnya selepas siasatan JAIP selama lebih dua jam, petang semalam, Badrulamin yang juga ahli majlis tertinggi PKR berkata keterangan yang diberikan beliau dan wanita berkenaan semasa siasatan juga tidak bercanggah.

"Bahawa kami tidak ditangkap oleh Penguatkuasa JAIP dalam keadaan berdua-duaan.

“Ketika pegawai JAIP tiba, saya berada di dalam bilik bersama beberapa orang lain sedangkan wanita itu (nama tidak disiarkan) berada di tempat lain," katanya.

'Hanya bertuala'

Sehubungan itu, kata Badrulamin, laporan media yang memetik Timbalan Pengarah JAIP Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz sebagai berkata mereka kononnya ditangkap oleh pegawai penguatkuasa dalam keadaan berdua-duan adalah fitnah yang jahat.

“Malah ada yang melaporkan kononnya kami bertuala ketika ditangkap. (Ini) adalah fitnah jahat dan kotor. Peguam (saya) akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang terlibat itu.

Badrulamin yang berjaket hitam dan berkopiah coklat ditemani isterinya Zumrah Husni serta tiga peguamnya iaitu Muhammad Sazali Abdul Aziz, Ahmad Nizam Hamid dan Mohd Irfan Abdullah, ketika memberi keterangan.

Sementara, wanita yang didakwa media arus perdana berkhalwat dengan Badrulamin tiba di pejabat JAIP pada jam 3.05 petang dengan menaiki sebuah kereta dengan ditemani seorang lelaki dan seorang wanita.

Wanita 28 tahun itu memakai baju kurung dan bertudung kuning dilihat keluar meninggalkan pejabat JAIP pada jam 6.20 petang.

Mereka disiasat bawah Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

Sebelum ini, Badrulamin menjelaskan beliau berada di hotel berkenaan di Kuantan kerana menghadiri temurapat pemimpin PKR pada hujung minggu lalu.

Bagaimapun pada jam 2 pagi, beliau dihubungi wanita tersebut dengan nada cemas dan menyatakan beliau mempunyai masalah keluarga yang serius.

Katanya, beliau telah mengenali pasangan suami isteri itu sejak lebih setahun lalu semasa wanita itu bersama keluarganya mengikuti rombongan umrah yang dikendalikannya dan pasangan itu juga sering berhubungan dengannya bagi mendapatkan nasihat mengenai masalah keluarga yang mereka hadapi.

Sedia berundur

Beliau juga berkata, wanita berkenaan juga ada menyatakan hasratnya untuk meninggalkan suaminya tetapi beliau menasihatkannya supaya tidak berbuat demikian.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan bahawa Badrulamin berkata kejadian itu hanya melibatkan dirinya seorang dan tidak ada kena-mengena dengan parti dan oleh itu beliau bersedia menanggungnya sendiri.

"Saya rela berundur sekiranya pengunduran itu boleh menyelamatkan perjuangan PKR.

"Walaupun belum didapati bersalah atau tidak didapati bersalah pun, saya dah fikirkan tidak akan libatkan sesiapa pun dalam hal ini dan biar saya tanggung sendiri dan sedang menimbang untuk berehat dari jawatan baik dalam parti dan negeri," katanya.

Mengulas, arahan Pejabat Menteri Besar Selangor yang mengarahkan beliau supaya bercuti sebulan bagi menyelesaikan kes itu disambut baik olehnya kerana tidak mahu kerajaan negeri pimpinan Pakatan turut merasa tempias daripada kes itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz ketika dihubungi Bernama berkata beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai keterangan Badrulamin setakat ini kerana sedang bertugas di luar daerah.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas