BlogList Malaysia

16 February 2012

Najib : Kedudukan Shahrizat hak mutlak PM

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, soal Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan meletakkan jawatan tidak dibincangkan dan kedudukan beliau sebagai anggota Kabinet adalah "hak mutlak" beliau selaku Perdana Menteri.

"Tidak, belum dibincangkan lagi. Ia adalah hak mutlak Perdana Menteri," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di sini malam tadi.

Najib yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno diminta mengulas spekulasi bahawa Shahrizat enggan meletakkan jawatan dalam kerajaan dan parti politik ketika banyak pihak mengaitkan beliau dengan isu projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).


Laporan Bernama semalam menyebut, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan Shahrizat agar "jangan sayang kepada jawatan."

Katanya, Shahrizat, yang juga Ketua Wanita Umno, harus mengambil tindakan sewajarnya demi kepentingan parti.

"Saya tak suruh dia meletak jawatan tetapi kita harus sentiasa fikir berkenaan masalah yang kita timbul kepada parti. Sebab itu, saya sendiri pun bila dah terlalu lama dan orang dah naik bosan, saya pun letak jawatan.

"Jadi, janganlah sayang jawatan sangat sampai tidak mahu langsung dipisahkan daripada jawatan. Satu hari kita kena pisah juga," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, Gabungan Wawasan Generasi Felda antara tiga pertubuhan diluluskan menjadi anggota bergabung BN.

Najib memberitahu, dua lagi pertubuhan yang diluluskan ialah Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia.

Tiga pertubuhan itu merupakan antara 11 permohonan yang diterima oleh BN untuk menyertai gagasan itu sebagai anggota bergabung.

Najib berkata permohonan lapan lagi pertubuhan sedang diproses dan ditapis Jawatankuasa Pengurusan BN.

Dipetik Bernama, beliau berkata, mesyuarat malam tadi turut dimaklumkan bahawa program latihan dan penerangan yang disusun atur telah berjalan lancar, serta lawatan yang dibuat oleh beliau dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mendapat sambutan sangat menggalakkan di peringkat negeri-negeri.
Begitu juga dengan tinjauan mesra yang dilakukan di beberapa negeri, kata Perdana Menteri.

Mengenai Himpunan Hijau 2.0 yang akan diadakan di Kuantan, Pahang pada 26 Februari ini, Najib berkata, setiap pihak mempunyai hak untuk berhimpun mengikut Akta Perhimpunan Aman.

"Buat apa nak atasi (perhimpunan ini), masing-masing ada hak untuk berhimpun di bawah Akta Perhimpunan Aman, jadi berhimpunlah atas undang-undang yang sedia ada.

"Buat apa kita nak bertindak, kita ada program kita sendiri, kita punya perhimpunan pun lagi ramai, lagi besar. (Biarlah) dia buat hal dia, kita buat hal kita," katanya.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas