Mahkamah Tinggi Syariah hari ini mengesahkan pernikahan anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin dan pelakon Zizie Izette A. Samad mengikut Seksyen 12(2) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303).
Hakim Kanan Syarie Mohd Abdul Radzi Abd Latif mengesahkan pernikahan Bung Moktar, 51, dan Zizie Izette, 32, setelah prosiding yang berlangsung secara tertutup kira-kira 15 minit.
Beliau turut memerintahkan pernikahan pasangan itu didaftarkan dengan sewajarnya.
“Setelah mendengar penerangan pihak pemohon dan saksi-saksi, mahkamah mengesahkan pernikahan Bung Moktar dan Zizie Izette yang telah diakadnikahkan pada 9 Jun lepas di Taman Setiawangsa di sini,” katanya.
Sebelum itu, Hakim Mohd Abdul Radzi memerintahkan wakil media yang hadir bagi membuat liputan kes itu keluar dari kamar mahkamah selepas peguam pasangan itu, Zulkifli Che Yong memohon agar kes itu dibicarakan secara tertutup.
“Pihak kami memohon kes ini dibicarakan secara tertutup bagi mengelakkan saksi-saksi berada dalam keadaan tidak selesa, takut, risau dan bimbang sehingga menyebabkan saksi-saksi tidak dapat memberikan keterangan dengan jelas setelah kes itu telah disensasikan,” kata peguam itu.
Bung Moktar dan Zizie Izette telah memfailkan permohonan tersebut pada 4 Jun lalu supaya pernikahan mereka diterima dan didaftarkan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan.
Zulkifli ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, seramai dua orang saksi dipanggil untuk memberi keterangan, bagaimanapun beliau tidak memaklumkan identiti saksi itu.
Sementara itu, Bung Moktar yang meninggalkan mahkamah pada pukul 3.30 petang bersama Zizie Izette, ketika ditemui pemberita hanya berkata: “Alhamdulillah” manakala Zizie Izette yang sering melemparkan senyuman kepada para pemberita berkata: “Kami selalu menjangkakan yang terbaik,”. — Bernama
2 lemas, 1 hilang mandi laut di Papar
17 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment