BlogList Malaysia

11 June 2010

Hadi Tiada Masalah Dengan Nasha

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan beliau sudah tidak lagi menerima sokongan menyeluruh daripada timbalannya Nasharudin Mat Isa dalam menerajui parti itu.

“Kalau itu, tiada siapa lah saya, tiada siapa... tiada masalah,” kata beliau dengan menoleh ke arah Nasharudin yang duduk di sebelah kanannya ketika sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di sini hari ini.

Hadi diminta mengulas laporan bahawa beliau kini berhadapan dengan situasi tidak mendapat sokongan yang diharapkan sejak kebelakangan ini dalam menerajui PAS.

Sebelum Hadi mengulas, Nasharudin dengan ringkas berkata, “Itu Malaysian Insider punya ini...(tak) jawab pun.”


Semalam Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mahfodz Mohamed menganggap kononnya hubungan presiden dan timbalan presiden parti itu tidak ‘semesra’ berbanding setahun lalu hanya sebagai persepsi semata-mata.

Sehubungan itu pemimpin dari Johor ini berkata, beliau tidak nampak wujudnya pergeseran di antara Hadi dan Nasharudin.

“Tiada pergeseran... saya rasa ini persepsi (semata-mata) ekoran (elemen) usia jauh antara kedua-dua mereka,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di sini.

Pada pemilihan parti tahun lalu Nasharudin dikatakan mendapat sokongan padu golongan ulama.

Nasharudin yang dilihat sebagai kalangan golongan ulama mempertahankan kerusinya dengan menewaskan Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu yang disifatkan sebagai golongan liberal.

The Malaysian Insider difahamkan kemungkinan akan ada usul atau perbahasan pada muktamar tahunan parti tersebut, menyentuh hubungan dan gandingan kedua-dua presiden dan timbalan presiden.

Muktamar pusat bermula hari ini dan akan berlangsung sehingga Ahad.

The Malaysia Inside dalam laporannya Isnin lalu menyebut Muktamar Tahunan PAS kali ini di sini tidak melibatkan pemilihan, tetapi ia disebut-sebut akan tetap panas lagi menarik tumpuan dengan fokus terhadap keberkesanan kepimpinan barisan kanan sebagai persiapan menghadapi pemilihan tahun depan dan juga pilihan raya umum ke-13.

Dalam komennya, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kamaruzzman Mohamad tidak mahu barisan kepimpinan semasa parti itu, yang dipilih genap setahun yang lalu termasuk Nasharudin, ditukar atas alasan wujudnya masalah dalaman komponen Pakatan Rakyat tersebut.

Dalam pertemuan Isnin lalu, Ketua Dewan Muslimat, Nuridah Mohd Salleh juga menganggap presiden dan timbalan presiden parti itu tidak berhadapan dengan masalah besar dalam menyediakan kepimpinan masing-masing sebagai orang nombor satu dan dua entiti politik tersebut.

Katanya, tanggapan itu wujud kerana ada yang tidak menonjol.

Dalam pada itu, Nasharudin menafikan beliau telah ditolak PAS Kelantan berikutan pendiriannya menerima cadangan pembentukan kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno yang mendapat kritikan hebat daripada pemimpin nombor satu parti itu.

Beliau enggan mengulas lanjut perkara itu biarpun perkara tersebut telah dibangkitkan perwakilan Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Ke-56 semalam, yang mempersoalkan gambar Nasharuddin tidak dipamerkan pada poster atau kain pemidang sempena muktamar itu.

Ketika ditanya pemberita mengenai perkara itu selepas perasmian muktamar PAS tersebut, Nasharudin berkata ringkas; “Saya tidak mahu gambar saya disiarkan.”

Hadi pula berkata: “Nasharudin tidak mahu gambar beliau.”

Bagaimanapun semalam Pengerusi Lajnah Penerbitan Dewan Ulama PAS Pusat, Abdullah Abdul Razak berkata gambar Nasharuddin tidak diletakkan disebabkan memberi keutamaan hanya kepada gambar pimpinan tertinggi sahaja.

Nasharudin yang juga Ahli Parlimen Bachok, merupakan beberapa pemimpin selain Hadi yang bersetuju dengan penubuhan kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno bagi membincangkan kepentingan umat Islam di negara ini.

Bagaimanapun Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membantah pembentukan kerajaan perpaduan itu kerana ia bercanggah dengan keputusan muktamar parti sebelum ini serta pengalaman pahit parti itu tersingkir daripada kerajaan negeri Kelantan setelah bekerjasama dengan Umno pada 1970-an.

Ketegangan itu memuncak apabila Nik Aziz sendiri meminta Nasharudin meletak jawatannya jika ingin meneruskan kerajaan perpaduan, bagaimanapun ia reda apabila kesemua pemimpin PAS mengambil keputusan untuk tidak membincangkan perkara itu.

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas