BlogList Malaysia
Showing posts with label zamizan. Show all posts
Showing posts with label zamizan. Show all posts

25 June 2010

Dia pernah mencantas saya supaya saya dibuang dari Jakim - Zamihan

Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Zamihan Mat Zin berkata, beliau tiada masalah peribadi dengan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebaliknya mengakui wujud “pergolakan pemikiran” sehingga banyak pihak yang melihatnya sebagai serangan terhadap tokoh agama itu.

Pada masa yang sama, Zamihan juga mempertikaikan tindakan Timbalan Menteri Pengajian Datuk Saifuddin Abdullah dalam mengendalikan isu semasa berkaitan fahaman Wahabi dan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah sebagai tidak profesional.

Malah pegawai kanan bidang pemikiran Institut Latihan Islam Malaysia ini memberitahu, beliau tidak mengaitkan Asri dengan fahaman Wahabi dan melontarkan pemikiran keras semata-mata untuk mencantas bekas mufti Perlis itu daripada arus perdana Islam negara ini.


“Bagi saya tiada (elemen mahu mencantas Asri). Kalau dia berpandangan begitu terpulang (kepada beliau).

“Bagi saya tiada. Dia nak jadi mufti, hendak jadi menteri, nak jadi Batman, Ultraman, Superman... dia punya hal.

“Itu ruang yang dia ada, silakan tetapi pemikiran-pemikiran yang salah kita tetap sanggah... itu sahaja,” kata beliau ketika ditemui The Malaysian Insider di pejabatnya semalam.

Sebaliknya Zamihan (gambar) yang kini menjadi tumpuan isu kontroversi dikaitkan empat tokoh politik dan agama memberitahu, Asri yang mengamalkan cara yang salah.

“Dia pernah mencantas saya supaya saya dibuang dari Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dengan menghantar surat kepada menteri (pada tahun 2007).

“Dalam satu ceramah dia mengakui begitu. Saya simpan rakaman ceramah itu, di Taman Sri Ukay.

“Dia kata saya pernah tulis kepada menteri agama ketika itu Datuk Dr Abdullah Mohd Zin untuk mengambil tindakan kepada Zamihan (saya). Dia cakap, ada rakaman dia. Nak dengar boleh,” kata Zamihan dalam temu bual khas ini.

Zamihan seterusnya mendakawa Asri menggunakan pendekatan politik untuk mencantasnya.

“Fakyanya boleh dirujuk kepada ceramah dia sendiri, dia mengaku dia menghantar surat supaya diambil tindakan tatatertib,” kata beliau sambil mendakwa “pergolakan pemikiran (mereka berdua) sudah lama wujud.

“Bagi saya bukan personal... pergolakan pemikiran ini adalah sesuatu yang lumrah. Cuma kerajaan harus mengawal dengan cekap supaya ia tidak merugikan pihak-pihak yang bertelagah,” katanya.

Ketika membuat penjelasan di Dewan Rakyat semalam, Saifuddin menegaskan, polis tidak pernah mengaitkan empat tokoh di negara ini sebagai kumpulan pengganas.

“Sebenarnya pada 21 Jun lalu, ada dua taklimat... satunya diberikan oleh pihak Bukit Aman. Saya fikir taklimat ini adalah tepat dan tidak menimbulkan sebarang masalah dan saya akan mempertahankannya.

“Tetapi ada taklimat kedua. Ini yang saya dengar beberapa pihak mempersoalkannya kerana mengaitkan anggota Parlimen, bekas menteri besar, mufti dan bekas mufti,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang juga Naib Presiden parti itu.

Mahfuz dalam soalannya meminta supaya diberikan pejelasan berhubung dakwaan bahawa Asri, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim terlibat dengan kumpulan pengganas.

Saifuddin berkata beliau telah pun meneliti hujah yang dibuat oleh penyampai taklimat pada ketika itu dan mendapati ia tidak berasaskan kepada fakta kukuh.

“Terdapat hujah-hujah yang diberikan adalah tidak betul termasuk mengaitkan pengasas wahabi, Muhammad Abdul Wahab dengan pengasas Arab Saudi, Muhammad Ibn Saud. Saya berpendapat adalah tidak betul untuk individu berkenaan mengaitkan balas dendam yang terdapat dalam tradisi Arab dengan kegiatan pengganas kerana ia adalah dua perkara berbeza,” katanya.

Beliau berkata, tindakan mengaitkan Wahabi yang tidak pernah difatwa sebagai ajaran sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dengan kegiatan pengganas adalah satu perbuatan yang dilihat melampau.

“Saya juga mendapati orang yang memberi taklimat ini mempunyai masalah dengan bekas mufti Perlis. Jadi bagaimana boleh dikatakan masalah peribadi hendak dijadikan masalah keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata, tindakan mengaitkan agama dengan keganasan adalah berpunca daripada gejala Islamofobia yang banyak berlaku di negara Barat dan ia tidak sepatutnya dibawa ke negara ini.

Sehubungan itu Zamihan memberitahu The Malaysian Insider bahawa timbalan menteri itu tidak bersikap terbuka dalam isu semasa ini.

“(Ketika) saya membentangkan hari itu, menteri (pengajian tinggi) jadi pengerusi (majlis). Menteri kata kalau ada soalan, ulasan silakan (tetapi) semua senyap, doktor, profesor, polis, semua senyap.

“Lepas itu menteri buat kesimpulan (bahawa) ‘kita dah lihat betapa bahayanya pemikiran ekstremis di IPTA, minta kerjasama semua pihak untuk mengatasi masalah esktremis dan pengrekrutan anggota JI di IPT.

“Lepas itu dan habis semua itu pergi minum, tiba-tiba ada seorang lelaki muda datang jumpa saya, muka dia gementar sikit, dia kata ‘ustaz saya tidak boleh terima apa ustaz bentang tadi, saya sikit pun tidak boleh terima, saya tidak setuju’.

“Saya kata, ‘tuan, kalau tuan tidak setuju pembentangan saya, itu pandangan tuan, yang saya kemukakan ialah fakta, dari kitab ke kitab,” kata Zamihan dan berkata, beliau hanya menyedari lelaki itu sebagai Saifuddin kemudian.

Zamihan menambah, kemudian Saifuddin membuat kenyataan akhbar dengan mengatakan ada kalangan pegawai kanan kerajaan cuba memburukkan dan mengaibkan pensyarah tertentu dengan aktiviti keganasan JI.

“Mengapa dia buat kenyataan media? Sepatutnya keputusan mesyuarat, keputusan menteri mesti didahulukan, tapi ini kenyataan timbalan menteri II, kena dia hendak melenting?

“Mungkin dia ada hubungan Dr Asri? Yang saya bentang itu tidak sentuh soal peribadi Dr Asri.

“Saya tiada masalah dengan dengan Dr Asri, tidak bergaduh atau bermusuh sedangkan kita rakan sesaudara dalam Islam,” kata Zamihan yang seringkali mengaitkan cara pengendalian isu dengan pendekatan pasukan dan pemain yang menyertai kejohanan bola Piala Dunia di Afrika Selatan sekarang.

Sehubungan itu sambil mendakwa “saya bukan ustaz kampung” dalam menghadapi isu semasa ini, Zamihan juga berkata, “itu bukan masalah peribadi.”

“Selepas itu sepatutnya timbalan menteri (Saifuddin) sepatutnya bersikap telus dan terbuka.

“Kalau dia tidak setuju dengan pandangan saya, suarakan dalam mesyuarat berkenaan, bukannya di luar mesyuarat, membuat kenyataan berasingan berbanding yang dibuat oleh menteri dan jemaah mesyuarat dan kemudian melontarkan isu ini di Parlimen seolah-olah hendak meletakkan saya seorang yang bersalah, akhirnya isu ini dipolitikkan... ya, (saya dijadikan) kambing hitam.

“Kalau betul dia (Saifuddin) telus, kalau betul dia profesional sebagai timbalan menteri, datang jumpa dengan saya, kalau dia ada hujah, ada fakta silakan, saya ada hujah saya... kamu ada hujah kamu, kita lihat mana yang ada kepentngan untuk keselamatan negaar, kita bekerjasama,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, Saifuddin bertindak seoalah-olah beremosi dengan kandungan taklimat Isnin lalu.

“Saya hanya seorang pegawai kerjaaan yang hanya memenuhi kriteria jemputan berkenaan, dijemput orang menteri pengajian tinggi untuk membicarakan topik itu, dan saya bicarakan, saya diminta oleh Bukit Aman, saya bicarakan. saya hanya menjalankan tugas,” kata beliau.

“Saya bukan ustaz kampung, saya tidak bercakap angkuh... saya seorang pegawai kerajaan yang berkaliber, tidak menyertai mana-mana parti politik,” katanya lagi mendakwa beliau berada di landasan benar.

Zamihan juga berpendirian bahawa beliau akan “menang” dalam usaha mengatasi pemikiran-pemikiran keras dan radikal.

Di mana kesudahannya isu ini, Zamihan berkata: “Isu ini sepatutnya ditangani dengan bijak oleh pihak berkuasa.”

“Tapi oleh kerana ia telah ada campur tangan orang politik, jadi ia jadi macam pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2010.

“Jadi macam-maca percaturan... bila di peringkat saringan OK lagi, sekarang di peringkat akhir... peringkat kalah mati,” katanya.

Ditanya siapa yang akan kalah dan siapa yang mati, Zamihan, “kita tunggu dan lihat.”

Zamihan memberitahu telah terlibat dalam proses memulihkan lebih 100 orang tahanan.

Ditanya sama ada pendedahan beliau Isnin lalu bertujuan menjejaskan usaha Asri menyertai Umno, Zamihan menafikan kemungkinan tersebut.

“Tidak, bukan secara kebetulan tetapi melihat dengan situasi yang berlaku,” kata ustaz berusia pertengahan 30-an.

Taklimat itu diadakan Isnin lalu manakala laporan bahawa Asri akan masuk Umno tersebar sehari sebelum itu.

Ketika ditanya sama ada sedia menemui Asri, Zamihan menambah, “boleh, bila-bila masa sahaja.”

“Siapa yang hendak jadi orang tengah, bila-bila masa sahaja,” kata beliau sambil mengakui tidak pernah berkomunikasi dengan Asri selama ini.

“Tak ada peluang (untuk bertemu), mungkin masing-masing sibuk. Tetapi saya banyak menyanggah hujah-hujah yang ditulis dalam akhbar,” kata beliau sambil mengaku bukan semua pandangan Asri salah.

“Ada pandangan yang baik, ada pandangan boleh dikongsi,” katanya.

Asri dan Zamihan menjadi tumpuan akhir tahun lalu apabila penolong pengarah itu didakwa menuduh bekas mufti tersebut memalsukan ijazah syariah seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan.

Zamihan berkata beliau hanya mendakwa Asri tidak mempelajari syariah dan pengajian Islam, sambil menyifatkan apa disiarkan akhbar tempatan itu wujud sedikit kesalahan serta menimbulkan salah faham.

Read More...

Zamihan Mahu Buat Laporan Polis

Pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Zamihan Mat Zin akan membuat laporan polis petang ini berhubung 'kebocoran' maklumat dalam taklimatnya mengenai keselamatan negara yang dikatakan mengaitkan beberapa nama tokoh tempatan dengan Wahabi dan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI).

Ketika dihubungi Zamihan yang adalah penolong pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di bawah JAKIM, mengesahkan beliau akan membuat laporan polis petang ini di balai polis Bandar Baru Bangi.

Katanya, beliau akan membuat laporan polis tersebut kerana ia merupakan taklimat tertutup dan sulit.


Oleh itu, tambah, perkara itu tidak seharusnya sampai ke pengetahuan pihak media.

Dalam taklimat tersebut, Zamihan dikatakan mengaitkan beberapa nama dengan 'lingkaran' keganasan, iaitu bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin; mufti Perlis Dr Juanda Jaya, mantan menteri besar negeri itu Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun, Zamihan menjelaskan, dalam pembentangan taklimatnya mengenai terorisme agama, beliau hanya menyebut nama Dr Mohd Asri sahaja.

Read More...

24 June 2010

Asri Dakwa Zamihan Berbohong

Isu dakwaan empat tokoh agama dan politik dengan fahaman wahabi dan Jemaah Islamiah (JI) kini menjurus kepada pertembungan personaliti dengan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Institut Latihan Islam Malaysia, Zamihan Mat Zin “terus berdusta.”

“Merujuk kepada kenyataan Zamihan bahawa dalam pembentangannya kepada pihak penguat kuasa dan wakil-wakil universiti (Isnin lalu), beliau hanya menyebut Dr Asri sepemikiran dengan Wahabi.

“(Zamihan) katanya tafsiran itu dibuat berdasarkan tulisan Dr Asri (saya) melalui sebuah buku Bid’ah: Istilah yang disalahfahami yang diterbitkan beberapa tahun lalu,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan tengah hari ini bagi menjawab reaksi balas Zamihan pagi ini.


Asri menambah, Zamihan mendakwa beliau ‘salin dan tampal’ pandangannya yang menyamakan sambutan Maulidur Rasul dengan amalan orang Kristian.

“Zamihan menambah, pandangan yang ‘keras’ sebegitu jika tidak dibendung boleh menjurus ke arah pendekatan “radikal” di negara ini”,” katanya.

Oleh itu tegas Asri, ia adalah satu pendustaan yang nyata kerana dalam buku berjudul Bid’ah: Istilah yang disalahfahami sama sekali tiada disebutkan perkataan sedemkian.

“Sekadar yang ada sentuhan yang disebut oleh al-Imam al-Syatibi, pun begitu tiada perkataan beliau yang dipetik menyamakan dengan Kristian.

“Oleh itu, saya mencabar Zamihan membuktikan ayat dan muka surat mana yang menyebut hal seperti itu,” kata Asri lagi.

Asri mengeluarkan kenyataannya itu sejurus selepas Zamihan memberikan respons kepada pendirian bersama beliau dan mufti Perlis Dr Juanda Jaya.

Dalam responsnya, Zamihan Mat Zin pagi tadi menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan nama dua pemimpin politik termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Sebaliknya Zamihan mengakui ada “membangkitkan” nama Asri dalam taklimat keselamatan negara berhubung JI di Bukit Aman Isnin lalu berdasarkan tulisan beliau selama ini.

“Dakwaan itu adalah satu pembohongan, dusta dan khianat,” kata Zamihan.

“Saya tidak pernah menyentuh ketiga-tiga tokoh itu mempunyai kaitan kecuali Asri, itupun berdasarkan analisis daripada buku-bukunya yang dilihat mempunyai pemikiran yang sama dengan JI,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

The Malaysian Insider difahamkan selain Asri, Zamihan turut mengaitkan Hadi, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Juanda mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan JI.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana boleh berlaku “kebocoran” perbincangan sesi taklimat itu sedangkan ia adalah sulit dan menyifatkan dakwaan itu sebagai rekaan untuk menimbulkan salah faham.

Mengulas lanjut, Asri menambah, sebenarnya persoalan sambutan Maulidur Rasul pernah beliau menyebut dalam artikel lain yang bertajuk ‘Maulid: Antara Sejarah dan Amalan’ yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia dan tiada pun perkataan seperti didakwa itu disebutkan.

“Bahkan saya menyebut ‘Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan sejarah kelahiran Nabi s.a.w dengan semangat untuk mengikuti baginda adalah wajar. Di samping kita perlu sedar fakta-fakta yang disebutkan tadi.

“Jika bulan Rabi’ul Awal ini dikatakan bulan kelahiran Nabi s.a.w, maka tidak salah untuk kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh baginda.

“Sama ada pada bulan ini atau selainnya. Sama seperti apabila kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut. Cuma janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan ajaran baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan sudah tidak mengingati baginda selepas itu’,” kata beliau lagi.

Asri juga menegaskan, adapun dalam artikel lain yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia bertajuk ‘Melayu dan Mamak Penang’ yang mempertahankan pendirian Menteri Besar Kelantan mengenai isu maulud, perkataan Kristian ada disebut tetapi bukan perkataannya.

“Sebaliknya seperti berikut, Al-Imam Ibn Kathir mencatatkan bahawa cadangan agar tarikh Maulud Nabi s.a.w dijadikan tarikh kiraan tahun Islam pernah dibuat kepada Umar al-Khattab.

“Namun beliau tidak menerimanya. Kata seorang pengkaji sirah yang juga merupakan tokoh politik dan Ahli Parlimen Jordan, Dr Muhammad ‘Abd al-Qadir Abu Faris, ‘pada pendapat kami, Allah lebih mengetahui hikmah di sebalik penolakan Umar itu kerana beliau mempelajari dari Rasulullah s.a.w agar kita berbeza dengan Yahudi dan Kristian’.

“Orang Kristian menentukan tarikh berdasarkan kelahiran Nabi Isa bin Maryam a.s. Mereka berlebihan dalam memuji dan membesarkan baginda sehingga sampai ke peringkat ketuhanan. Mereka kata, dia anak Allah, kadangkala ‘dia Allah’ dan dia satu dari yang tiga. Tujuan ‘Umar itu agar orang Islam tidak terjatuh seperti Kristian dalam berlebihan membesarkan Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w sendiri telah memberi amaran agar tidak berlebih-lebihan dalam memuji baginda.

“Sabda baginda, ‘Jangan kamu memujiku berlebihan seperti Kristian berlebihan memuji Isa bin Maryam. Aku hanya seorang hamba Allah. Katakanlah: “Hamba Allah dan rasulNya” (al-Bukhari). Maka Umar tidak menjadikan maulid Nabi s.a.w sebagai permulaan kalendar Islam untuk mengelakkan generasi kemudian menyeleweng’ (Abu Faris, al-Hijrah al-Nabawiyyah, m.s 16, Jordan: Dar al-Furqan).

“Inilah ulasan Dr Abu Faris dan pendapat ini dikongsi oleh ramai pengkaji yang lain. Saya hanya menyebut pendapat tersebut, tetapi tidak menyatakan menyokongnya,” katanya lagi.

Sehubungan itu kata Asri, adalah jelas Zamihan telah memberikan taklimat yang dusta dan berbohong kepada pegawai keselamatan dan pegawai kanan universiit dari seluruh negara.

“Persoalannya, bagaimana kerajaan atau pihak polis boleh membenarkan pendustaan seperti ini dibuat dalam satu taklimat penting mengenai keselamatan negara?” katanya lagi.

Asri menambah, jika ada pihak yang tidak ingin mengadakan perayaan Maulidur Rasul seperti kerajaan Kelantan atau Perlis, apakah pula kaitannya dengan keselamatan negara.

“Jelas, isu keselamatan negara telah menjadi mainan pihak tertentu dan dipermudah-mudahkan.

“Isu ini menggambarkan betapa suasana pengurusan keselamatan negara diperjudikan atas perkara-perkara remeh seperti ini,” katanya.

Read More...

Zamihan: Bukan saya kaitkan Hadi, Shahidan, Juanda

Pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang didakwa mengaitkan beberapa tokoh politik dan agama dengan Wahabisme, Jemaah Islamiah (JI) dan kumpulan pengganas hari ini menafikan perkara itu.

Sebaliknya, Zamihan Mat Zin - penolong pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) – berkata beliau hanya menyebut nama bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin sahaja dalam pembentangannya berhubung “terorisme agama” baru-baru ini.

“Dakwaan itu tidak betul, tidak jujur dan dusta,” katanya mengulas dakwaan bahawa beliau mengaitkan Dr Asri dengan Wahabi dan JI dalam dalam taklimat antikeganasan anjuran pihak polis Isnin lalu.

Semalam, memetik sumber-sumber, Malaysiakini melaporkan selain Dr Asri, Zamihan turut mengaitkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan mufti negeri itu Dr Juanda Jaya dengan 'lingkaran' keganasan.


Bercakap kepada Malaysiakini awal pagi ini, Zamihan menyifatkan dakwaan terhadapnya bukanlah satu salah faham tetapi usaha pihak-pihak tertentu yang “sengaja mahu mencetuskan salah faham”.

Ditanya dakwaan sebenarnya terhadap Dr Asri dalam pembentangannya kepada pihak penguatkuasa dan wakil-wakil universiti itu, Zamihan berkata beliau hanya menyebut “Dr Asri sepemikiran dengan Wahabi”.

Katanya, tafsiran itu dibuat berdasarkan tulisan Dr Asri melalui sebuah buku Bid'ah: Istilah yang disalahfahami yang diterbitkan beberapa tahun lalu.

“Saya hanya copy and paste (salin dan tampal) pandangannya yang menyamakan (sambutan) Maulud Nabi dengan amalan orang Kristian,” jelasnya.

Zamihan menambah, pandangan yang “keras” sebegitu jika tidak dibendung boleh menjurus ke arah pendekatan “radikal” di negara ini.

Ditanya sama ada terdapat pihak lain yang mengaitkan Abdul Hadi, Shahidan dan Dr Juanda dalam taklimat itu, Zamihan berkata beliau“tidak mahu campur” pembentangan orang lain.

Berhubung ancaman saman dan kritikan daripada pelbagai pihak terhadapnya, Zamihan hanya berkata “saya tidak mahu gaduh” kerana perkara tersebut didakwa tidak menguntungkan semua pihak.

“Sebagai pegawai kerajaan yang bertanggungjawab, saya sedia berjumpa dan menjelaskan (salah faham ini).

“Kalau tidak boleh (bertemu) di tempat saya, saya sanggup pergi ke pejabat mereka (bagi tujuan itu),” katanya lagi.

Read More...

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas