SAN JOSE, California - Selepas setahun pertikaian di mahkamah membabitkan Samsung dan Apple, seorang juri di Amerika Syarikat (AS) kelmarin memutuskan pengeluar telefon pintar dari Korea Selatan itu didapati menciplak teknologi yang digunakan untuk menghasilkan iPhone dan iPad.
Susulan keputusan tersebut, panel juri sebuah mahkamah di sini memerintahkan syarikat Samsung untuk membayar ganti rugi berjumlah AS$1.05 bilion (RM3.25 bilion) kepada Apple.
Bagaimanapun, Samsung yang popular dengan telefon pintar Galaxy S dan komputer tablet Galaxy Tab akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut.
Perkembangan itu berlaku selepas sebuah mahkamah Korea Selatan kelmarin mendapati Samsung tidak meniru telefon bimbit keluaran Apple.
Pertikaian kedua-dua gergasi elektronik tersebut bermula apabila firma Apple Inc. memfailkan saman melibatkan pelanggaran paten oleh Samsung pada April 2011.
Apple telah melantik pasukan peguam terhandal di AS bagi menuntut gantirugi AS$2.5 bilion (RM7.75 bilion) daripada pesaing terhebatnya, Samsung.
Dalam saman tersebut, firma yang diasaskan bersama oleh mendiang Steve Jobs itu mendakwa Samsung Electronics Co. meniru teknologi dan inovasinya.
Namun, Samsung melakukan saman balas dengan menuntut gantirugi AS$399 juta (RM1.24 bilion) daripada Apple Inc.
Dalam hujah penggulungannya, peguam Apple, Harold McElhinny mendakwa Samsung mengalami 'kebuntuan reka bentuk' selepas pelancaran iPhone pada tahun 2007.
Samsung, katanya, mengambil kesempatan di atas kejayaan gajet berkenaan apabila memperkenalkan jenama telefon pintar Galaxy S dengan ciri-ciri serupa.
Terdahulu, pasukan peguam Apple menyatakan, hampir tiada perbezaan pada telefon pintar iPhone dan Galaxy.
Peguam-peguam Samsung bagaimanapun berkata, beberapa inovasi seperti skrin besar pada siri telefon Galaxy yang sebelum ini terdapat pada iPhone, diperkenalkan bagi memenuhi permintaan pengguna telefon pintar. Panel juri berkenaan yang dianggotai oleh tujuh lelaki dan dua wanita mula bersidang Rabu lepas.
Samsung setakat ini telah menjual 22.7 juta buah telefon pintar dan tablet yang didakwa Apple meniru teknologinya.
McElhinny seterusnya berkata, jualan gajet-gajet berkenaan mencecah AS$8.16 bilion (RM25.55 bilion) sejak Jun 2010.
Sehingga kini, Apple dan Samsung menguasai lebih separuh jualan telefon pintar di dunia.
Namun, Samsung muncul sebagai pesaing terbesar Apple dan mengatasi firma AS berkenaan sebagai pengeluar terbesar telefon pintar di peringkat global. Model telefon pintar Galaxy dijana perisian Android yang diberikan percuma oleh Google Inc. kepada Samsung dan beberapa pengeluar telefon pintar lain.
Dalam samannya, Apple turut menuntut Samsung menarik kedua-dua jenama telefon dan komputer tabletnya daripada pasaran AS. Saman serupa telah dikemukakan di beberapa negara lain termasuk Australia, Britain dan Jerman.
Pasaran telefon pintar dan komputer tablet global masa kini dianggarkan bernilai AS$219 bilion (RM685.79 bilion).
– Agensi
Read More...
Summary only...
Semua syarikat telekomunikasi (telco) bersetuju menangguhkan kutipan cukai perkhidmatan enam peratus ke atas pengguna talian telefon prabayar sehingga perbincangan semula dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Khamis lalu, syarikat berkenaan mengumumkan mereka akan mula mengutip cukai perkhidmatan enam peratus untuk perkhidmatan prabayar mulai Jumaat ini
Keputusan menangguhkan kutipan cukai itu dibuat selepas mesyuarat dengan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim.
Katanya, antara cadangan yang dibincangkan bersama telco adalah caj enam peratus itu hanya dikenakan kepada pengguna yang membeli pek permulaan prabayar.
“Setakat ini, itu saja yang kita boleh beritahu.
"Kerajaan akan mengambil kira sumbangan RM6 bilion oleh TELCO kepada sumber pendapatan negara dari 1998 hingga kini sebelum membuat sebarang keputusan," katanya pada sidang media, di Angkasapuri, di Kuala Lumpur.
Hadir sama, wakil dari Celcom Axiata Berhad (Celcom), DiGi Telecommunications Sdn Bhd (DiGiTel), Maxis Berhad, dan UMOBILE Sdn Bhd (U Mobile).
Cukai perkhidmatan 6 peratus yang dikenakan ke atas pelanggan diperuntukkan mengikut undang-undang negara.
Akta Perkhidmatan Cukai 1975 mensyaratkan syarikat telekomunikasi mengenakan cukai perkhidmatan, termasuk ke atas pengguna prabayar.
Bayaran ini sama dengan cukai perkhidmatan yang dikenakan bagi pembelian makanan dan minuman daripada restoran dan hotel.
Meskipun cukai perkhidmatan ke atas pengguna prabayar bukan baru, namun syarikat telco telah menyerap kos itu sejak perkhidmatan mereka diperkenalkan pada 1998.
Read More...
Summary only...
Pembelian tambah nilai prabayar dan permulaan prabayar/pek SIM bagi semua syarikat telekomunikasi akan dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus, berkuat kuasa 15 Sept.
Pelanggan prabayar akan dimaklumkan melalui SMS bermula tengah hari ini mengenai cukai perkhidmatan ITU, demikian menurut industri syarikat telekomunikasi Malaysia dalam kenyataan bersama di sini Khamis. Para pelanggan juga boleh merujuk kepada laman web syarikat telekomunikasi masing-masing untuk maklumat atau menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan sekiranya mereka mempunyai pertanyaan lanjut.
Syarikat telekomunikasi itu berkata cukai perkhidmatan merupakan cukai penggunaan dan boleh dikenakan kepada pelanggan sebagaimana yang disediakan dalam perundangan cukai perkhidmatan.
Akta Cukai Perkhidmatan 1975 memerlukan syarikat telekomunikasi mengenakan levi cukai perkhidmatan pada kadar tertentu terhadap perkhidmatan telekomunikasi, termasuk perkhidmatan prabayar mudah alih.
Ini sama seperti cukai perkhidmatan yang dilevi terhadap pembelian makanan dan minuman daripada restoran dan hotel.
Cukai perkhidmatan terhadap prabayar bukan baru kerana syarikat telekomunikasi telah menyerapnya bagi perkhidmatan prabayar mudah alih sejak pengenalan pada 1998.
Langkah yang diambil adalah bagi memastikan perkhidmatan prabayar mudah alih kekal kompetitif berbanding pasca bayar, memandangkan kadar prabayar tinggi bagi panggilan dan SMS pada permulaan.
Dengan kadar prabayar berkurangan sejak bertahun, ia kini ditawarkan pada kadar yang amat kompetitif.
“Dengan cukai perkhidmatan enam peratus terhadap perkhidmatan prabayar, seorang pelanggan yang membeli tambah nilai RM10 perlu membayar RM10.60, dengan 60 sen sebagai cukai perkhidmatan,” kata kenyataan itu. – BERNAMA
huh!..nak beli topup sepuluh pun kena sedia rm11 ringgit lah macam ni..adoyai…
Read More...
Summary only...