Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan bayangan kemungkinan PKR akan bertarung pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini tanpa bantuan parti Snap.
Dalam lawatannya ke sebuah rumah panjang di Sri Aman - kira-kira 200km dari tenggara Kuching, semalam, Anwar menggesa pengundi masyarakat Iban supaya menolak parti tertentu yang didakwanya ditaja oleh BN bagi memecahkan undi pembangkang.Meskipun tidak menamakan parti berkenaan, namun adalah jelas beliau merujuk kepada Snap.
"Dua tahun lalu, ada sebuah parti yang hampir mati tetapi tiba-tiba mahu bertanding di sini. Dari mana datang wang itu?
"Siapa beri mereka wang? Parti itu mahu memecah-belahkan undi pembangkang,” kata Anwar kepada kira-kira 50 penduduk Iban di Rumah Ayok, Pakit B, yang terletak dalam kerusi dewan undangan negeri Bukit Begunan.
"DAP, PAS dan PKR datang ke sini bagi melawan BN,” katanya sambil tidak menyebut parti Snap yang juga adalah komponen Pakatan Rakyat.Terdahulu, ketika ceramahnya di Mulugu, yang juga terletak di DUN Bukit Begunan, Anwar mendakwa “parti yang hampir mati” itu ditaja oleh BN.
"Ia ditaja oleh BN bagi memecahkan Iban, Melayu, Cina, Bidayuh, Melanau dan lain-lain. Mereka tidak mahu melihat perpaduan di kalangan rakyat berlainan bangsa,” kata Anwar kepada kira-kira 20 penyokong PKR yang berbangsa Iban di Rumah Ujan.
Kenyataan Anwar itu dilihat sebagai petanda jelas bahawa rundingan antara PKR dan Snap kini di ambang keruntuhan.
Juga tidak mengejutkan bagi Anwar melancarkan kempennya dengan menyerang Snap, khususnya di kawasan masyarakat Iban kerana Snap - yang melahirkan ketua menteri Sarawak yang pertama - masih dihormati di kalangan pemimpin Iban yang berusia.Undi PKR dikatakan pasti terjejas jika ia terbabit dalam pertandingan tiga penjuru dengan Snap dan BN.
Bukit Begunan adalah antara kerusi majoriti pengundi Iban yang diintai oleh kedua-dua PKR dan Snap pada pilihan raya negeri 16 April ini.
03 April 2011
Tolak SNAP Parti Tajaan Umno
11 January 2010
Pakatan Rakyat Semakin Digeruni
Parti Kebangsaan Sarawak, SNAP, yang ditubuhkan lebih lima dekad lalu, dijangka mendapat nafas politik baru apabila menyertai Pakatan Rakyat secara rasmi tidak lama lagi.
Menurut sumber-sumber yang rapat dengan SNAP, kemasukan parti itu ke dalam gagasan pembangkang sudah dipersetujui oleh pemimpin kedua-dua belah pihak dan pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat dalam tempoh terdekat.
Pakatan kini dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat, PAS dan DAP. Gagasan itu berusaha untuk mendaftar sebagai sebuah entiti politik, sekali gus membawa negara ke era sistem politik dua parti.
Keanggotaan SNAP dalam Pakatan Rakyat dilihat sebagai usaha memantapkan gagasan pembangkang dalam mencabar penguasaan Barisan Nasional di Sarawak. Pilihanraya negeri itu dijangka di adakan sebelum pertengahan tahun ini.
SNAP ditubuhkan pada tahun 1961 untuk mewakili kaum Dayak dalam Barisan Nasional.
Parti itu dipecat keluar daripada BN pada tahun 2004 kerana dilihat terlampau lantang memperjuangkan hak penduduk pri bumi negeri itu.
