Wan Norfatihah menunjukkan pakaian sekolah yang terbakar akibat api misteri di rumahnya di Kampung Penambang Bunga Emas, Kota Bharu baru-baru ini.
KOTA BHARU - Meskipun sudah menggunakan khidmat 70 orang bomoh dan ribuan ringgit dihabiskan untuk membayar upah mereka, api misteri tetap mengganggu keluarga Zainab Sulaiman di Kampung Penambang Bunga Emas di sini.
Lebih mengejutkan, tidak sampai seminggu api misteri itu mengganggu keluarga itu baru-baru ini, semalam gangguan itu datang lagi ketika Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengunjungi rumah berkenaan bersama isterinya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.
Menteri Besar Kelantan itu mengunjungi rumah tersebut dengan tujuan untuk mengadakan solat hajat dan membaca ayat-ayat suci al-Quran bagi memohon Allah supaya menjauhkan keluarga itu daripada api misteri itu.
Malangnya kata Zainab, 75, api berkenaan muncul di dalam sebuah bilik di bahagian belakang rumah ketika Nik Abdul Aziz sedang mengadakan solat hajat di ruang tamu rumah mereka.
Bagaimanapun dalam kejadian kali ini, api tersebut tidak membakar sebarang benda atau peralatan di rumah itu sebaliknya hilang begitu sahaja.
Zainab tetap gembira menerima kunjungan Menteri Besar yang sudi membantu menyelesaikan masalahnya sekeluarga.
"Sudah 70 orang bomoh saya guna untuk hapuskan gangguan ini, duit pula sudah habis ribuan ringgit kami sudah hilang punca untuk menyelesaikannya," ceritanya ketika dihubungi di sini semalam.
Episod serangan api misteri membabitkan sebuah keluarga tersebut bagaikan tiada penghujungnya selepas kali pertama berlaku tiga tahun lalu.
Sepanjang tempoh tersebut, Zainab yang tinggal bersama menantunya, Rafeah Zakaria, 40, dan tiga cucunya, Wan Mohd. Faiz Wan Hanafi, 15, Wan Norfatihah, 14, dan Wan Nurfatini, 12, terus dihantui keresahan kerana serangan tersebut tidak pernah berhenti.
Sepanjang Aidilfitri lalu, keluarga tersebut terpaksa bersengkang mata apabila api misteri berkenaan kembali mengganas dengan serangan antara empat hingga enam kali sehari membakar pelbagai peralatan rumah termasuk pakaian.
Read More...
Summary only...
Seorang bekas pemimpin Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) mendesak Kementerian Dalam Negeri supaya menghantar pulang tiga bomoh asing Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dari Sarawak kerana telah mengkucar-kacirkan politik negeri itu.
Salleh Jafaruddin menggesa rakyat Sarawak bersatu menuntut 'bomoh asing' berkenaan diusir kerana menguasai ketua menteri tersebut dalam kebanyakan keputusan berhubung negeri itu.
Beliau mendakwa dua pupunya itu kini ibarat tidak dapat dibantu berikutan kematian isteri pertamanya dua tahun lalu dan Taib di bawah pengaruh bomoh-bomoh asing berkenaan sejak 10 tahun lalu.
“Beliau dan negeri Sarawak akan akhirnya musnah jika tiada tindakan diambil segera bagi menghentikan pengaruh bomoh ke atasnya,” kata bekas menteri pelajaran itu dalam satu kenyataan semalam.
“Jangan biarkan pengaruh mereka memerintah Sarawak dan memusnahkan legasi demokrasi kita. Mari kita bersatu bagi menghentikan pengaruh tersebut sebelum terlambat.
“Saya gesa menteri dalam negeri di Kuala Lumpur supaya segera membatalkan pas imigresen yang dikeluarkan kepada ketiga-tiga bomoh itu supaya mereka boleh diusir dari negara ini. Jika tidak rakyat Sarawak perlu bangkit menunaikan hak mereka menangkap bomoh tersebut,” kata Salleh.
Salleh, yang bertanding menentang Taib di kerusi DUN Balingiant, bersemuka dengan bomoh berkenaan pada hari penamaan calon. Antara mereka seorang rakyat Australia, Stella, yang nama sebenarnya adalah Kharleen Tashman.
Katanya lagi, kemenangan BN pada 27 kerusi majoriti pengundi Melayu/ Melanau bukan sesuatu yang boleh dibanggakan.
Dakwa Salleh (kiri, bertopi), kemenangan berkenaan dicapai melalui pembelian undi dan juga ancaman oleh kumpulan 'samseng' ke atas orang ramai pada hari mengundi.
“Kebetulan saya terserempak dengan ramai daripada mereka pada hari mengundi di Balingian dan bersemuka dengna beberapa kumpulan yang cuba mengugut orang ramai di pusat mengundi sewal jam 8 pagi lagi,” kata Salleh.
Read More...
Summary only...
Salleh dakwa KM S'wak dikelilingi bomoh
Calon Bebas Balingian Datuk Salleh Jafaruddin mendakwa Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dikelilingi oleh 'bomoh luar negara'.
“Kita mahu selamatkan Sarawak daripada dipimpin seorang ketua yang tunduk dan menyerahkan akal fikiran, keupayaan fizikal dan kerohanian dipengaruhi bomoh sihir luar negara yang mengelilinginya.
“Saya secara peribadi saya berjumpa dan berdepan dengan tiga bomoh itu pada hari penamaan calon di Mukah.
“Saya beritahu mereka tidak ada hak memberi nasihat spiritual kepada ketua menteri, khususnya pada pilihan raya sehingga mempengaruhinya dalam keputusan memuktamadkan senarai calon Barisan Nasional,” kata Salleh pada sidang media hari ini.
Dakwanya, tiga bomoh berkenaan, seorang dipercayai rakyat Australia dan seorang lagi berbangsa Yahudi bekerjasama dengan naib presiden kanan PBB, Datuk Awang Tengah Ali Hasan, adik perempuan Taib - Radziah Mahmud dan Taib sendiri semasa menyediakan senarai calon BN.
“Tidak ramai yang mengetahui cerita ini, sehingga hari penamaan calon pada 6 April lalu di Mukah. Pengaruh mereka ke atas cengkaman politik Taib begitu besar dan sukar diatasi, malah ia mengatasi pengaruh politik perdana menteri kita,” dakwa Salleh yang juga adalah sepupu Taib.
Salleh, bekas timbalan menteri pelajaran juga menuduh Taib menipu pemimpin PBB, parti-parti komponen BN, seluruh pengundi Sarawak sejak 30 tahun lalu bahawa masih belum menemui pemimpin yang sesuai bagi menggantikan dirinya.
“Jika 30 tahun tidak memadai bagi memilih pengganti, adakah awak percaya dalam beberapa bulan ini selepas pilihan raya, dia boleh tiba-tiba memilih seseorang bagi gantikannya kecuali seseorang itu dicadangkan oleh bomohnya,” katanya. - mkini
Read More...
Summary only...