BlogList Malaysia
Showing posts with label biasiswa. Show all posts
Showing posts with label biasiswa. Show all posts

11 July 2012

PANAS - MARA batal pinjaman pelajaran pada anak pemimpin PKR


Tawaran pinjaman pelajaran kepada anak seorang pemimpin PKR ditarik balik apabila Majlis Amanah Rakyat (MARA) mempertikaikan status bapanya sebagai seorang Melayu.

Menurut pemimpin PKR Batu Pahat, Syed Hamid Ali, MARA membatalkan pinjaman pelajaran ke luar negara yang ditawarkan kepada anaknya Akmal Hakim, 17, kerana Syed Hamid telah didaftarkan sebagai 'Arab' ketika dilahirkan.


"Saya berusia 69 tahun dan itu sebelum Merdeka. Jiran kami telah
mendaftarkan kelahiran saya, jadi mesti dia telah mengandaikan kerana nama saya Syed, maka saya adalah Arab.

"Saya telah mendaftarkan sendiri kelahiran anak saya dan dalam sijil kelahirannya, dinyatakan bapanya adalah Melayu," katanya.

Syed Hamid, yang merupakan adik kepada bekas timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali, berkata anaknya menerima surat pembatalan itu melalui kurier pada 23 Jun.

Sebahagian daripada surat itu, yang disiarkan Syed Hamid di laman Facebook beliau, menyatakan seorang atau kedua-dua ibu bapa pemohon penerima pinjaman pelajaran Mara mestilah Melayu atau bumiputera.

"Oleh yang demikian, dimaklumkan bahawa tawaran saudara untuk program seperti di atas dibatalkan, kerana tidak memenuhi syarat seperti di atas," nyata surat tersebut.


Read More...

26 May 2011

Usah tunjuk lebih kuasa dari kerajaan, Pemuda MIC kecam Perkasa

Pemuda MIC mencabar Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali supaya bersuara untuk rakyat, bukannya mempertahankan kerajaan jika ada kelemahan dalam pengagihan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), yang muncul isu kontroversi sekarang.

Sehubungan itu, Setiausaha Pemuda MIC kebangsaan C Sivarraajh berkata, kenyataan Ibrahim menerusi badan yang diwakilinya semalam menunjukkan ia lebih berkuasa berbanding kerajaan dalam isu membabitkan masa depan pelajar.

“(Oleh itu) pergerakan Pemuda MIC dengan sekeras-kerasnya ingin membantah kenyataan akhbar oleh YB Ibrahim Ali (semalam) yang memberi amaran kepada MIC dan MCA agar tidak bercampur tangan dalam urusan JPA.


“Persoalan yang timbul di sini adalah apakah YB Ibrahim Ali sungguh berkuasa untuk bersuara demi kerajaan dan mampu memberikan amaran kepada MIC dan MCA parti politik yang terulung di Malaysia bersama Umno?” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kata beliau, MIC dan juga rakan parti komponen dalam BN iaitu MCA merupakan kerajaan pemerintah dan apa salahnya menegur antara satu sama yang lain.

“YB Ibrahim Ali mewakili parti mana? Beliau merupakan seorang calon bebas dan bersuara menerusi NGO yang bernama Perkasa.

“Saya ingin mencabar YB Ibrahim Ali untuk tampil bersuara dalam menyuarakan isu biasiswa JPA dan kelemahan dalam implementasi arahan Kabinet,” katanya lagi.

Oleh itu kata Sivarraajh, beliau mencabar Ibrahim Ali bahawa, sebagai seorang wakil rakyat, harus bersuara untuk rakyat bukannya mempertahankan kerajaan sekiranya ada kelemahan dalam implementasi keputusan Kabinet.

“Keputusan YAB Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri untuk memberi biasiswa kepada semua yang menerima 8A+ dan ke atas dalam SPM harus dihormati.

“Sekiranya arahan Perdana Menteri itu tidak disambut dengan baik oleh JPA yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri, maka ini menunjukkan kelemahan serius dalam pentadbiran. Arahan Perdana Menteri diingkari oleh pegawai kerajaan dan ini harus dipandang serius,” tegas Sivarraajh.

Katanya lagi, untuk pengetahuan umum dan khas buat Ibrahim, seramai 363 pelajar yang layak mendapat tawaran biasiswa JPA tidak diberikan skim itu.

“Ini merupakan sesuatu yang serius. Kami dari Pemuda MIC menghormati keputusan Perdana Menteri dan ingin keputusan itu dilaksanakan tanpa sebarang isu.

“Kita tidak menyoal tentang siapa yang dapat biasiswa luar negara mahupun dalam negeri, apa yang menjadi isu adalah kerana masih ramai yang layak, namun tidak diberikan biasiswa berkenaan?” katanya.

Kata Sivarraajh, sekiranya Ibrahim ingin bersuara untuk kaum Bumiputera menerusi Perkasa, sayap itu tidak ada isu dan beliau boleh meneruskannya dengan sebaik yang mungkin, akan tetapi jangan ganggu atau menyoal hal ehwal dalaman BN.

“Kami parti komponen BN dan bukannya calon bebas yang bersuara dengan sebuah NGO.

“Kami mempunyai hak untuk bersuara demi kaum India. MIC sedang berbincang dengan Perdana Menteri dan pihak yang terlibat,” katanya lagi.

Justeru, kata beliau, Pemuda MIC ingin menasihatkan Ibrahim agar jangan masuk campur hal ehwal BN dan kalau boleh luangkan lebih masa di kawasan Parlimen Pasir Mas yang dimenanginya.

“Kami tidak memerlukan nasihat YB Ibrahim Ali mahupun Perkasa. Secara kesimpulannya, ‘mind your own business YB Ibrahim Ali and Perkasa’!” kata beliau.

Sivarraajh menambah, Pemuda MIC juga mahu Perdana Menteri segera campur tangan dalam isu tawaran biasiswa ini agar tiada sesiapa yang sengaja memanipulasikan isu berkenaan.

Najib dijangka akan mengadakan pertemuan dengan JPA berkenaan isu ini esok.

“Kami percaya dengan kepimpinan Perdana Menteri dan kami tahu benar bahawa Perdana Menteri sangat prihatin terhadap kaum India,” katanya.

SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Read More...

24 May 2011

Najib tak pernah janji semua pelajar cemerlang biasiswa, tegas Nazri

KUALA LUMPUR, 24 Mei — Sementara rasa tidak puas hati terus meningkat dari pelbagai sudut, Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan Putrajaya tidak pernah menjanjikan biasiswa kepada kesemua pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM untuk belajar di luar negara.

Sebaliknya kata beliau, kerajaan hanya komited untuk memastikan setiap pelajar cemerlang diberi jaminan tempat di institusi tempatan dan luar negara dengan biasiswa.

“Kami tidak pernah kata kesemua pelajar 9A+ akan dihantar ke luar negara.


“Tetapi kami ada menjanjikan bahawa mereka akan mendapat tempat sama ada di universiti tempatan atau luar negara,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Nazri (gambar), yang bertanggungjawab ke atas soal biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertuju bahawa kerajaan ada memperuntukkan 1,500 biasiswa luar negara kepada pelajar cemerlang tetapi menekankan bahawa daripada jumlah itu, hanya 300 diberi berdasarkan merit kepada mereka yang memperoleh 9A+.

Baki 1,200 geran luar negara, kata beliau, diagihkan kepada mereka yang layak mengikut empat kategori iaitu Bumiputera Sabah (lima peratus), Bumiputera Sarawak (lima peratus), komposisi sosial atau komposisi kaum (60 peratus) dan golongan kurang berada dari segi sosial (10 peratus).

Tambah beliau, biasiswa itu hanya akan dianugerahkan kepada pemohon-pemohon yang berjaya dalam temu bual kendalian JPA.

Bagaimanapun mereka yang tidak memenuhi syarat itu masih diberi biasiswa untuk belajar di universiti tempatan, kata Nazri.

Jelas beliau, buat masa sekarang daripada 360 pelajar yang tertakluk dalam kategori merit, hanya 300 diberi biasiswa manakala 60 gagal memperoleh biasiswa luar negara.

“Ini bermakna mereka mungkin atau mungkin tidak layak untuk memperoleh baki 1,200 geran yang disediakan. Ini bergantung pada prestasi ketika temu duga,” katanya.

“Kemungkinan mereka yang tidak memperolehnya, mungkin tidak menunjukkan prestasi yang baik ketika temu duga.

“Kami mengambil kira bukan sahaja keputusan mereka, tetapi juga aktiviti kokurikulum dan bagaimana mereka berjaya dalam temu duga,” kata beliau.

Bagaimanapun katanya, jika mereka gagal dalam temu duga, mereka masih akan memperoleh tempat di universiti tempatan.

Sehubungan itu, Nazri terus berhadapan dengan kritikan Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong yang mendakwa wujud salah guna kuasa di JPA.

Wee, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, mengetuai protes dengan pada minggu lalu mendakwa 363 pelajar yang memperoleh kesemua A+ telah gagal memperoleh biasiswa meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada tahun lalu bersetuju agar kesemua pelajar yang merekodkan 8A+ dan ke atas akan menerima biasiswa JPA.

Penelitian The Malaysian Insider menunjukkan kenyataan Najib tahun lalu mendedahkan bahawa perdana menteri ada menjanjikan biasiswa kepada kesemua pelajar memperoleh 9A+ untuk belajar di universiti dalam dan luar negara.

“Jadi, jika anda tiada fakta, jangan bercakap. Saya ada ahli-ahli Parlimen pembangkang yang cuba membantu pelajar, datang berjumpa dengan saya... mereka tidak pergi kepada media.

“Tetapi Wee, sebagai MP BN dan seorang timbalan menteri, pergi kepada media dan menjerit di umum untuk publisiti murahan tanpa datang berjumpa saya untuk melihat isu yang sebenar,” kata Nazri.


SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Read More...

15 June 2010

Pertama Kalinya Bercakap Ikut Otak

Pergerakan Pemuda Umno hari ini menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan untuk mengurangkan jumlah biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang diberikan kepada pelajar-pelajar melanjutkan pengajian ijazah di luar negeri.

Justeru, Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata selaku anggota Dewan Rakyat beliau sanggup bersidang di bangunan Parlimen sedia ada yang disebut-sebutkan akan dipindahkan ke Putrajaya atas alasan demi keselesaan dan kerana bocor.

“Saya sedia duduk dalam bangunan Parlimen sedia ada jikapun ada kebocoran siling sekali-sekala daripada melihat sejumlah wang besar dibelanjakan untuk keselesaaan Ahli Parlimen sedangkan ia boleh digunakan untuk menjanjikan masa hadapan lebih cerah untuk negara dan anak-anak kita,” katanya.


Kata Khairy, pihaknya menerima hakikat bahawa kos menampung pengajian luar negeri adalah amat tinggi, tetapi berpandangan bahawa ini merupakan pelaburan yang membawa pulangan jauh lebih tinggi kepada negara Malaysia dalam bentuk modal insan yang berkelulusan tinggi.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mengumumkan pemberhentian pemberian 1,500 biasiswa JPA bagi pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara mulai tahun depan akan dilakukan secara berperingkat.

“Kita kurangkan secara berperingkat. Ini soal kemampuan kerana perbelanjaan untuk seorang pelajar terlalu mahal. Lebih untung kalau kita belanjakan untuk orang ramai,” katanya.

Namun, mereka yang mendapat tempat di universiti terkemuka seperti Oxford dan Cambridge, masih boleh memohon untuk diberikan biasiswa.

Pengagihan biasiswa JPA yang dianggap tidak adil menjadi isu sekali lagi baru-baru ini.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional menegaskan, berdasarkan rasional itu Pemuda Umno menggesa Kerajaan menambah jumlah biasiswa luar negeri JPA untuk anak-anak muda Malaysia.

”Dan, bukan mengurangkan jauh lagi menghapuskan peruntukan ini,” kata beliau dalam pandangannya dikeluarkan menerusi blognya. Ahli Parlimen Rembau itu menambah, berdasarkan maklum balas daripada kalangan orang ramai, satu-satunya isu utama berkenaan biasiswa JPA ini adalah kaedah pembahagiannya.

Oleh itu kata Khairy, kriteria pemberian biasiswa perlu jelas, telus dan berlandaskan merit di samping mengambil kira Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Untuk memastikan pulangan maksima kepada negara, Pemuda Umno mencadangkan agar biasiswa ijazah sarjana muda luar negeri diberi dengan kriteria yang adil dan telus serta hanya untuk kursus-kursus kritikal dalam universiti terkemuka seperti institusi-institusi yang tergolong dalam kedudukan 10 tertinggi di dunia,” katanya.

Sehubungan itu beliau juga menegaskan, amat sukar bagi rakyat menerima keputusan mengurangkan jumlah biasiswa JPA tatkala kerajaan sedia membelanjakan RM800 juta untuk bangunan Parlimen baru di samping berita berhubung kait dangan peningkatan kos pembinaan Istana Negara baru yang juga dijangka mencecah RM800 juta.

“Dari perspektif rakyat, jumlah besar untuk membina bangunan Parlimen baru itu lebih sesuai diperuntukkan untuk biasiswa yang menjadi teras pembangunan modal insan.

“Apatah lagi, keputusan mengurangkan jumlah biasiswa ini dibuat hanya beberapa hari selepas YAB Perdana Menteri mengumumkan Rancangan Malaysia Ke-10 yang menyasarkan negara kita mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

“Jika benar kerajaan serius dengan objektif ini, maka pembiayaan biasiswa perlu ditingkatkan kerana pendidikan berkualiti tinggi adalah asas kepada sebuah negara yang maju,” katanya.

Read More...

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas