BlogList Malaysia

21 July 2018

Mufti Bela Tun M : Tak Dosa Kalau Tak Tunai Janji



SHAH ALAM - Kegagalan kerajaan melaksanakan janji bukanlah satu dosa sekiranya mereka sudah mencuba sedaya upaya untuk merealisasikannya.

Mufti Perak,Tan Sri Harussani Zakaria berkata, jika tidak berusaha dan hanya berjanji, barulah itu dikira berdosa.

Katanya, kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang mengatakan kerajaan sedia menanggung dosa sekiranya gagal melaksanakan janji yang terkandung dalam manifesto PH pada PRU14 adalah kenyataan yang bersifat pengakuan bahawa beliau akan melaksanakan janjinya.

“Ini adalah satu kenyataan yang membuat pengakuan bahawa beliau (Dr Mahathir) akan melaksanakan janjinya, kalau beliau tidak melaksanakannya akan menanggung dosa.

“Dr Mahathir benar-benar mahu melaksanakan janjinya tetapi sekiranya tidak berjaya ia bukanlah satu dosa,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, perlu dilihat dalam konteks usaha untuk merealisasikan janji yang dilafazkan.

Mengulas lanjut, Harussani berkata, harus diingat bahawa manusia hanya berusaha tetapi yang menentukan berjaya atau tidak itu bukan di tangan mereka.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, dalam Islam apabila berjanji harus tunaikan, tetapi sekiranya tidak mampu menunaikan janji apa boleh buat kerana ia di luar kemampuan batas manusia.

Katanya, dalam Islam dijelaskan juga apa yang berada di luar kemampuan seseorang manusia itu tidak dikira sebagai dosa.

“Kita sudah usahakan yang terbaik, memanglah asalnya janji mesti ditepati sedaya upaya tetapi setelah dicuba untuk menunaikan janji dan didapati tidak semua janji dapat ditunaikan dengan sebab yang tidak dijangka.

“ALLAH tahu bahawa manusia ada kelemahan dan pasti ada sebab kenapa manusia itu tidak mampu menunaikan janji itu,” katanya.

Menurutnya, serahkan pada ALLAH dan semoga Dia mengampunkan dosa di samping memberi jalan kepada kita supaya dapat usahakan lagi untuk menunaikan janji tersebut.

Beliau berkata, apa yang diharapkan setelah berusaha, ALLAH tidak akan mengatakan kita ini bersalah.

“Walaupun kita janji pada asalnya, tetapi kerana kita tidak jangka janji itu tidak dapat dilaksanakan dan mungkin ketika itu tidak nampak lagi masalah yang menghalang untuk menunaikan janji.

“Tiba-tiba ada benda yang menghalang. Minta ampun dengan ALLAH dan rakyat pun takkan tidak memahami apa yang telah diusahakan kerajaan untuk melaksanakan janji itu,” katanya.

Kelmarin, Dr Mahathir dalam kenyataannya berkata, kerajaan bersedia menanggung dosa sekira gagal melaksanakan janji yang terkandung dalam manifesto PH pada PRU14 lalu.

Katanya, kerajaan sedar bahawa ada banyak rintangan yang menyukarkan usaha untuk melaksanakan janji itu.

Menurutnya, selepas 70 hari PH membentuk kerajaan baharu sejak Mei lepas, dua daripada 10 janji tersebut telah dilaksanakan, enam lagi dalam proses pelaksanaan manakala dua lagi belum dilaksanakan.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas