BlogList Malaysia

07 March 2017

Isyarat Buat Nazri: Padang Rengas Milik PKR



PKR Perak menegaskan untuk bertanding di kerusi parlimen Padang Rengas pada pilihan raya umum akan datang ketika penyandangnya, Datuk Seri Nazri Aziz, mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad menentangnya di situ.

Ketua Penerangan PKR Perak, Siti Aishah Shaik Ismail, berkata parti itu kini bersedia "menumbangkan" Nazri kerana calon layak yang akan diturunkan pada pilihan raya nanti sudah dipersiapkan.

Katanya, calon terbabit akan menggalas tugas mewakili rakyat yang diabaikan anggota parlimen sedia ada.

"Untuk itu PKR menasihatkan Nazri berhenti mencari populariti dalam politik dan mempersiapkan parti beliau untuk berdepan dengan PKR yang akan bertanding di situ memandangkan itu adalah kerusi tradisi buat kami," katanya dalam kenyataan media semalam.

Pada 4 Mac lalu Nazri mencabar bekas bosnya yang kini menjadi pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk bertanding di kerusi yang diwakilinya sejak 1995 itu.

Nazri mempertahankan kerusi berkenaan selama lima penggal dengan mengalahkan empat calon PKR dan satu wakil Semangat 46.

Pada pilihan raya umum ke-13 lalu Nazri mengalahkan Meor Ahmad Isharra Ishak dengan majoriti 2,230 undi.

Nazri yag juga menteri pelancongan dan kebudayaan membuat cabaran itu selepas dimaklumkan Dr Mahathir akan turun ke Padang Rengas bagi menyertai siri jelajah BERSATU hujung bulan ini.

Cabang hidupkan ranting

Sebaliknya penyokong anak Dr Mahathir mencabar semula Nazri supaya bertanding di Langkawi - kawasan yang dekat dengan bekas perdana menteri itu.

“Mengapa dia mahu saya pergi ke tempatnya? Datanglah ke tempat saya.

“Awak menteri seluruh negara, bukan untuk Padang Rengas saja," beliau dipetik sebagai berkata di Facebook Mukhriz Mahathir FC.

Bekas menteri penerangan yang dekat dengan Dr Mahathir sejak sekian lama, Tan Sri Zainuddin Maidin,kemudian menggelar Nazri"pondan Padang Rengas".

Siti Aishah berkata wakil PKR kini sedang aktif berkhidmat untuk rakyat di parlimen dan DUN di bawah Padang Rengas ketika tarikh pilihan raya masih belum diketahui.

"Jentera cabang PKR berjaya memasuki dan menghidupkan ranting-ranting di kawasan yang sebahagian besar dulunya adalah penyokog Umno," katanya.

PKR juga mengajak pimpinan Pakatan Harapan Perak agak tidak menari mengikut rentak Nazri "yang hanya gemar menggunakan politik adu domba" bagi kepentingan politik peribadinya

"PKR yakin kerusi parlimen Padang Rengas berjaya dimiliki pada pilihan raya umum kali ini," katanya.





Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas