BlogList Malaysia

27 March 2017

Nak Tahu Kenapa Aku Benci Safiq Rahim?



Ok hari ni aku cerita.


Aku pernah ke Bangkok pada tahun 2014 untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Suzuki AFF. Turun je kapal terbang aku dan dua rakan lagi terus ke hotel penginapan pasukan negara. Kenapa? Untuk berjumpa mereka dan memberikan sokongan moral. Setidak-tidaknya aku dapat tengok dan jumpa mereka secara berdepan bukan lagi dari jauh. Its a dream come true pada masa tu.

Semasa aku di hotel, pemain Malaysia turun ke cafe untuk minum petang. Aku dan beberapa orang yang ada di sana masa tu ambil peluang untuk bergambar dan berikan kata-kata semangat untuk mereka bermain.

Amri, Apek, Safee Sali, Badri Razi, Indra Putra, Dollah Salleh steady bersalaman, senyum, melayan peminat dan bergambar.

Tiba giliran Safiq Rahim. Aku hulur tangan, bersalaman. Kawan aku memegang kamera.

"Bro, boleh tangkap gambar?" Tanya aku.

Dia diam je sambil angguk. Senyum? Ada, sinis.

Mungkin sedang fokus.

Seusai bergambar, "Bro, semoga berjaya. Buat yang terbaik" kata aku. Dia senyum macam nak taknak. Mungkin ni style dia pada orang yang dia tak kenal. Lebih-lebih lagi fans, maklumlah dia pemain bola sepak profesional. Aku pun bersorak sorai untuk dia bermain demi lencana di dada.

Kawan aku yang memegang kamera tadi ke depan juga untuk bersalaman. Sambil bersalaman, kawan aku pun cakap,
"Bro, good luck. Buat yang terbaik, kami datang dari jauh untuk bro dan team"

Kau tahu apa dia jawab?

Aku boleh dengar satu-satu,

"Ek?" Nada sinis nak mampos.

"Saya pun datang jauh juga ni" dengan nada berlagak dia. Masa tu suasana jadi awkward. Sunyi seketika. Sebaris kata-kata yang pada aku tak patut diucapkan pada seorang penyokong. Kalau baca memang nampak tiada apa yang salah tapi bila dengar dengan telinga sendiri, berdesing.

Masa tu aku rasa nak sound je dengan kata-kata "eh, kau datang dibayar ditanggung semuanya sebab tu kerja kau, manakala kami datang keluar duit sendiri semata-mata untuk sorak demi kau" tapi aku simpan dalam hati. Taknak kacau emosi dia.

Dan malam tu kita semua tahu macam mana teruknya beliau bermain hinggakan kita kalah 2-0 di Bangkok. Berbakul maki hamun dihamburkan pada beliau dari tempat duduk penyokong Malaysia di Stadium Rajamangala, Bangkok. Tapi demi lencana di dada aku dan rakan-rakan serta 80,000 rakyat Malaysia yang lain tetap hadir ke Stadium Bukit Jalil diperlawanan timbal balik. Tapi kita tetap kalah walaupun ada ruang-ruang untuk buat comeback.

Mulai kes dekat Bangkok tu aku jatuh benci pada SR8, aku dan penyokong yang ada masa tu tak minta disujud dilayan seperti anak raja. Cukup berperlakuan profesional seperti pemain-pemain lain. Sambil steady layan peminat. Mungkin ada orang nampak benda ni perkara remeh, tapi bukan pada aku apabila dia bersikap kurang ajar sedemikian. Sebab tu juga sekarang aku dah takde rasa minat nak pergi meet and greet pemain skuad Kebangsaan.

Lebih-lebih lagi kawan aku sendiri yang berbangsa cina juga nyatakan perkara yang sama, dia berlagak pada masa itu dengan cara, gaya dan kata-kata dia.

Ok ketepikan hal luar padang. Itu hanya faktor pemangkin aku tak suka dia. Yang paling penting, apa lagi yang nak dibuktikan dia sekarang? Dulu dah bagi banyak peluang. Main macam celake juga. Sekali dua power tak cukup untuk menjadi power selamanya. Cukuplah tu. Bagi budak lain buktikan diri.

Terima kasih untuk sumbangan selama ni. Dah bersara kan? Cukuplah.

MyFootballLiga


Read More...

21 March 2017

Polis Halang Debat Nazri-Mahathir



Polis menolak permohonan penganjur bagi Perhimpunan Perbahasan antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz yang dijadual Sabtu ini.

Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata permohonan tersebut ditolak setelah mengambil kira faktor keselamatan, ketenteraman awam, perlindungan hak dan kebebasan orang ramai.

Katanya, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Ahmad Termizi Abd Haq menerima permohonan itu daripada seorang wakil penganjur dari Kumpulan Media Karangkraf pada 3 petang semalam mengikut peruntukan di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

"Dinyatakan dalam permohonan bahawa program perbahasan Mohamad Nazri dan Dr Mahathir akan diadakan pada 25 Mac dari 2.30 petang hingga 4.30 petang di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kati, Kuala Kangsar.

"Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar menolak permohonan itu dan akan disusuli dengan keputusan secara bertulis yang akan diserah kepada pemohon hari ini selain telah memaklumkannya kepada penganjur semalam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasnan menjelaskan antara faktor permohonan itu ditolak ialah kelewatan mengemukakan borang pemberitahuan sepertimana yang dinyatakan di bawah Seksyen 9(1) APA 2012.

"Pihak penganjur hendaklah membuat pemberitahuan kepada pegawai yang menjaga daerah polis iaitu Ketua Polis Daerah dalam masa 10 hari sebelum perhimpunan," katanya.

Beliau berkata, selain itu, tempat perhimpunan iaitu MRSM Kuala Kangsar adalah kawasan sekolah dan ia merupakan satu tempat larangan dalam Jadual Pertama (Seksyen 3 APA 2012).

"Pihak polis juga telah menerima bantahan secara bertulis iaitu sebanyak lapan laporan daripada orang awam dan penduduk di sekitar kawasan perhimpunan akan diadakan yang bimbang dengan keselamatan diri serta keluarga," katanya.

Hasnan berkata dalam Jadual Ketiga APA 2012 jelas menyatakan perhimpunan atau dialog seperti itu tidak termasuk dalam perhimpunan yang dibenarkan dan meminta semua pihak supaya akur dengan arahan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar.

"Tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sekiranya ia diteruskan," kata Hasnan.



Read More...

10 March 2017

Exco Johor Dibawa Ke Mahkamah Untuk Direman



Ahli exco kerajaan negeri Johor Datuk Abd Latiff Bandi telah dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk direman berhubung siasatan mengenai dakwaan skandal tanah.

Abd Latiff telah disoalsiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kemudiannya ditahan semalam.

SPRM juga menyerbu rumahnya dan merampas RM42,000, sebuah Toyota Vellfire dan 150 beg tangan.

ADUN Endau itu diiringi lapan pegawai ke bilik mahkamah pada kira-kira pukul 10.30 pagi.

Abd Latiff berpakaian lokap dan dia tidak digari.

Beliau disambut oleh kira-kira 11 penyokong semasa dalam perjalanannya ke Mahkamah Majistret. Seorang penyokong memeluknya.

Selepas Abd Latiff masuk ke dalam mahkamah, penyokongnya mula berdoa.



Read More...

07 March 2017

Isyarat Buat Nazri: Padang Rengas Milik PKR



PKR Perak menegaskan untuk bertanding di kerusi parlimen Padang Rengas pada pilihan raya umum akan datang ketika penyandangnya, Datuk Seri Nazri Aziz, mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad menentangnya di situ.

Ketua Penerangan PKR Perak, Siti Aishah Shaik Ismail, berkata parti itu kini bersedia "menumbangkan" Nazri kerana calon layak yang akan diturunkan pada pilihan raya nanti sudah dipersiapkan.

Katanya, calon terbabit akan menggalas tugas mewakili rakyat yang diabaikan anggota parlimen sedia ada.

"Untuk itu PKR menasihatkan Nazri berhenti mencari populariti dalam politik dan mempersiapkan parti beliau untuk berdepan dengan PKR yang akan bertanding di situ memandangkan itu adalah kerusi tradisi buat kami," katanya dalam kenyataan media semalam.

Pada 4 Mac lalu Nazri mencabar bekas bosnya yang kini menjadi pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk bertanding di kerusi yang diwakilinya sejak 1995 itu.

Nazri mempertahankan kerusi berkenaan selama lima penggal dengan mengalahkan empat calon PKR dan satu wakil Semangat 46.

Pada pilihan raya umum ke-13 lalu Nazri mengalahkan Meor Ahmad Isharra Ishak dengan majoriti 2,230 undi.

Nazri yag juga menteri pelancongan dan kebudayaan membuat cabaran itu selepas dimaklumkan Dr Mahathir akan turun ke Padang Rengas bagi menyertai siri jelajah BERSATU hujung bulan ini.

Cabang hidupkan ranting

Sebaliknya penyokong anak Dr Mahathir mencabar semula Nazri supaya bertanding di Langkawi - kawasan yang dekat dengan bekas perdana menteri itu.

“Mengapa dia mahu saya pergi ke tempatnya? Datanglah ke tempat saya.

“Awak menteri seluruh negara, bukan untuk Padang Rengas saja," beliau dipetik sebagai berkata di Facebook Mukhriz Mahathir FC.

Bekas menteri penerangan yang dekat dengan Dr Mahathir sejak sekian lama, Tan Sri Zainuddin Maidin,kemudian menggelar Nazri"pondan Padang Rengas".

Siti Aishah berkata wakil PKR kini sedang aktif berkhidmat untuk rakyat di parlimen dan DUN di bawah Padang Rengas ketika tarikh pilihan raya masih belum diketahui.

"Jentera cabang PKR berjaya memasuki dan menghidupkan ranting-ranting di kawasan yang sebahagian besar dulunya adalah penyokog Umno," katanya.

PKR juga mengajak pimpinan Pakatan Harapan Perak agak tidak menari mengikut rentak Nazri "yang hanya gemar menggunakan politik adu domba" bagi kepentingan politik peribadinya

"PKR yakin kerusi parlimen Padang Rengas berjaya dimiliki pada pilihan raya umum kali ini," katanya.





Read More...

06 March 2017

Nazri Aziz Pondan... chedet.com

1. Nazri mencabar saya supaya bertanding di kawasan Padang Rengas yang ia menjadi wakil rakyat.

2. Syabas saya ucapkan. Cabaran ini menunjuk betapa beraninya Nazri.

3. Sebabnya ialah kerana Nazri tahu saya tidak berhajat untuk bertanding dalam pilihanraya akan datang. Oleh itu cabarannya ialah cabaran kosong.

4. Tetapi jika Nazri hendak sangat mencabar saya, bolehlah kita ada perbahasan terbuka berkenaan 1MDB, RM2.6 billion dalam akaun tuannya, pinjaman RM55 billion untuk keretapi pantai timur atau apa juga tajuk, termasuk BMF. Ini boleh diadakan tanpa syarat.

5. Kata Nazri Proton adalah seekor Gajah Putih. Semasa saya menjadi PM, Proton dapat kumpul tabung keuntungan sebanyak RM4 billion. Proton membina kilang baru di Tanjung Malim dengan kos RM1.8 billion tanpa pinjaman bank atau bantuan Kerajaan.


6. Di masa yang sama Proton membayar RM18 billion cukai kepada Kerajaan.

7. Kemerosotan Proton bermula apabila kereta buatan asing dibenar masuk dengan mudah, walaupun negara-negara pengeluar kereta ini menghalang kemasukan kereta Proton ke negara mereka dengan berbagai alasan.

8. Apakah kereta Proton begitu buruk? Hari ini kereta Proton buatan tahun 1985 masih boleh diguna. Ya. Ada kes tingkap tidak berfungsi. Tetapi itu cerita 10 tahun dahulu. Cermin tingkap Proton sekarang tidak bermasalah. Lain-lain kelemahan kereta Proton sudah diatasi.

9. Demikian juga dengan kereta buatan Korea dan Jepun. Dahulu tidak baik. Sekarang berkualiti. Dahulu dikatakan jika kikis cat akan ternampak label tin milo. Sekarang tidak siapa berani fitnah.

10. Kenaikan harga kereta import bukan disebabkan oleh Proton. Cukai kereta adalah suatu punca dana Kerajaan. Sebelum ada Proton pun harga kereta import memang tinggi jika diambil kira zaman kos sara hidup yang rendah.

11. Hari ini penjualan kereta Proton memang tidak laris. Sebabnya ialah kerana banyak kereta jenama asing boleh masuk dengan mudah. Pengeluar kereta asing adalah syarikat gergasi yang mengeluar berjuta buah setahun. Mereka boleh jual dengan harga yang murah sehingga rugi di Malaysia pun tidak menjadi masalah kerana mereka mendapat keuntungan yang besar dari negara mereka di mana mereka dapat lindungan Kerajaan dan mereka dapat eksport ke merata dunia. Namun kereta jenama asing sukar didapati di negara mereka kerana sekatan.

12. Kerajaan biasanya membiayai dana untuk research and development dalam industri pembuatan. Tetapi walaupun ada peruntukan dana untuk Proton, Kerajaan lambat membekal dan membekal kurang dari peruntukan budget bagi Proton. Namun Proton mengguna duit sendiri untuk develop tiga kereta baru. Ini menyebabkan masalah kewangan Proton.

13. Memang ada kelemahan-kelemahan dalam Proton, tetapi teknologinya sesuai untuk Malaysia, Australia dan Asean. Ada bantuan teknologi syarikat Eropah dalam Proton. Yang menjadi masalah ialah cashflow kerana kemasukan kereta asing memakan pasaran Proton.

14. Saya telah beli ketiga-tiga model baru Proton dan saya tidak menghadapi masalah menggunanya.

15. Saya yakin YB Menteri Nazri boleh beli kereta mewah yang diimport dan berbangga memperkecilkan kebolehan bangsa sendiri. Pada pendapat saya menjadi menteri dalam Kerajaan Najib jauh lebih mudah dari mengeluar kereta. Buat salah, menghilangkan berbillion Ringgit pun okay. TV3, Utusan dan New Straits Times akan lapor duit dapat dari raja yang sudah mangkat.

16. Gajah putih depan mata tak nampak. Semut di seberang laut ternampak uban dikepalanya. Dunia kata awak anggota geng pencuri.
Awak kata awak bukan pencuri, hanya perompak sahaja








Read More...

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas