Jumiah Otto menemani anaknya, Nur Firdaus Ibrahim ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail
JOHOR BAHRU – Walaupun cuba menyembunyikan penderitaan, namun perasaan curiga seorang kakak berjaya menyelamatkan adik tirinya daripada terus menjadi mangsa dera majikan hanya kerana gagal mencapai sasaran jualan aksesori dan pewangi kenderaan sebanyak RM200 sehari.
Norazlin Yusof, 36, hanya mengetahui nasib malang yang menimpa Nur Firdaus Ibrahim, 22, anak kelapan daripada sembilan beradik, dari Felda Nitar 1, Mersing selepas terserempak dengan mangsa di Taman Perling, di sini Sabtu lalu.
“Ketika itu, saya sedang berurusan di sebuah bank apabila ternampak Nur Firdaus yang dalam keadaan tidak terurus sedang menjual minyak kereta.
“Saya tegur dia (Nur Firdaus) dan bertanya mengenai luka-luka pada beberapa bahagian anggota badannya, namun dia mendakwa terjatuh motosikal,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Norazlin yang curiga dengan jawapan Nur Firdaus pergi ke rumah majikan mangsa, yang juga merupakan rakan sekampung mangsa di Taman Johor Jaya, di sini Isnin lalu bagi mendapatkan penjelasan.
“Apabila sampai di rumah berkenaan, hanya adik tiri saya ada di rumah dalam keadaan tidak terurus dan lemah manakala majikannya dipercayai telah melarikan diri.
“Saya kemudian bawa Nur Firdaus ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini untuk mendapatkan rawatan selain membuat laporan di Balai Polis Johor Jaya pada hari yang sama,” katanya.
Ibu mangsa, Jumiah Otto, 56, berkata, anaknya itu mendakwa dipukul sekiranya tidak mencapai sasaran jualan sebanyak RM200 sehari seperti yang ditetapkan oleh majikannya itu.
“Dia terpaksa merahsiakan perkara sebenar daripada keluarga kerana gerak-gerinya ketika menjual aksesori kereta sentiasa dipantau majikannya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Jokhiri Abd. Aziz berkata, usaha menjejaki suspek yang menghilangkan diri giat dilakukan dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai dipukul oleh suspek menggunakan rotan selain turut dipukul dengan tangan serta disepak terajang,” katanya.
“Kesan kecederaan dialami mangsa antaranya parut dan luka melecet di bahagian tangan, bengkak di mulut, bengkak dan berdarah di telinga serta kesan luka, berdarah dan kesan parut kecederaan lama di belakang badan,” katanya.
- utusan
0 Komen :
Post a Comment