BlogList Malaysia

12 September 2013

13 Mei: Bekas polis sahkan insiden ‘kencing’ rekaan

KUALA LUMPUR: Bekas pegawai atasan polis, Tan Sri Yuen Yuet Leng mengesahkan bahawa insiden kencing di depan kediaman Menteri Besar Selangor pada 13 Mei 1969 itu adalah rekaan semata-mata.

Malah, kata Lim Kit Siang, Yuen mengatakan bahawa kalau memang ada orang yang berani berbuat demikian, tidak mungkin dia dapat meninggalkan kediaman Menteri Besar Selangor dalam keadaan bernyawa.

Demikian kata Penasihat DAP Kebangsaan itu dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Nuffnang Malaysia | The World's Leading Blog Advertising ...


Saya berterima kasih kepada bekas pegawai atasan polis Tan Sri Yuen Yuet Leng atas dua catatan beliau terhadap kenyataan blog saya kelmarin: “Yuen Yuet Leng is wrong – as the 1969 general election result was a greater blow to the MCP although it was a set back for the Alliance”.

Saya telah meluahkan bantahan saya terhadap laporan yang diterbitkan dalam akhbar Sun berjudul “’Communists helped opposition win seats’ in 1969” yang memetik Yuen sebagai berkata bahawa “komunis telah membantu parti-parti pembangkang, termasuk DAP, untuk memenangi sejumlah besar kerusi dalam pilihanraya tahun 1969.”

Saya telah menyebut bahawa dakwaan Yuen tentang komunis yang telah membantu pembangkang memenangi kerusi dalam pilihanraya umum 1969 itu suatu perkara baru bagi saya dan ia bertentangan dengan apa yang sebenarnya telah berlaku menjelang pilihanraya umum 1969 dan kajian-kajian serta bertentangan dengan hasil kajian para sarjana ke atas pilihanraya umum tersebut.

Ini kerana ketika itu komunis menyeru rakyat supaya memboikot pilihanraya umum 1969, manakala parti-parti pembangkang yang ikut-serta dalam pilihanraya tersebut telah dikecam oleh puak komunis sebagai “juak” dan “boneka” Perikatan kerana tidak menyambut seruan mereka untuk “menghancurkan jalan berparlimen” dan memilih “pergelutan massa.”

Tetapi kempen komunis yang menyeru pengundi memboikot pilihanraya tahun 1969 itu gagal kerana peratusan keluar mengundi tetap tinggi, iaitu pada kadar 72%. Meski pun angka ini lebih rendah daripada kadar keluar mengundi sebanyak 79% yang dicatatkan pada pilihanraya umum tahun 1964 dan 73% pada tahun 1959, ia lebih tinggi daripada peratusan keluar mengundi sebanyak 70% pada pilihanraya umum tahun 1986 dan 71% pada tahun 1999.

Atas sebab itulah dalam tulisan saya sewaktu berada dalam tahanan ISA pada tahun 1969 dan dalam ucapan-ucapan yang saya sampaikan sejurus setelah pembebasan saya pada tahun 1970, saya telah menyatakan keluhan kerana kita terlepas peluang besar untuk memartabatkan perjuangan demokrasi di negara ini.

Sebagai contoh, dalam ucapan di Pulau Pinang pada 22 November 1970, bersempena pembebasan saya daripada tahanan, saya telah menyebut:

• “Pilihanraya umum 10 Mei 1969 adalah mercu tanda demokrasi di Malaysia” yang telah “dihancurkan oleh keganasan dan pertumpahan darah” rusuhan 13 Mei 1969.
• Bahawa walaupun Perikatan telah kecewa besar, pihak yang paling teruk menanggung kekalahan berikutan pilihanraya umum 10 Mei itu adalah mereka yang giat berkempen menyeru orang ramai untuk memboikot pilihanraya umum atas alasan “demokrasi di Malaysia adalah palsu dan satu helah untuk memperdayakan rakyat.”
• Bahawa 10 Mei 1969 adalah perisytiharan oleh rakyat Malaysia bahawa mereka lebih memilih proses demokratik daripada kaedah-kaedah perjuangan politik yang tidak demokratik, dan bahawa untuk membawa perubahan sosial, ekonomi, dan politik yang mereka kehendaki, mereka lebih memilih penggunaan akal di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri daripada penggunaan kekerasan dan keganasan.

Yuen dan saya (beliau dalam Cawangan Khas dan saya dalam DAP) mungkin tidak akan bersetuju tentang semua perkara yang berlaku 44 tahun yang lalu, kerana kami mempunyai sudut pandang yang amat berlainan tentang latar politik di tahun 1969, namun kami tidak saling meragui integriti dan semangat patriotik masing-masing.

Kerana itu sesuatu yang jijik, jelik, dan melampau apabila sebahagian juru propaganda dan cybertrooper Umno/BN mempergunakan laporan akhbar Sun itu untuk menyatakan secara tersirat bahawa saya adalah seorang komunis!

Semoga rakyat Malaysia belajar daripada tragedi di masa lalu, termasuk rusuhan kaum 13 Mei 1969, untuk tidak menuding jari menuduh sesiapa saja sebagai dalang kerana 44 tahun telah berlalu. Sebaliknya sampai masa untuk negara ini mengetahui perkara yang sebenarnya terjadi di masa lalu untuk membolehkan kita membina negara Malaysia yang bersatu-padu, harmoni, adil, dan makmur untuk semua bangsa Malaysia.

Kebelakangan ini, banyak pembohongan dan kepalsuan telah disebarkan tentang rusuhan kaum 13 Mei 1969, antaranya menuduh saya sebagai pencetus rusuhan kerana melaungkan slogan-slogan anti-Melayu dalam perarakan di jalanan Kuala Lumpur selepas pilihanraya umum 10 Mei 1969, sedangkan saya tidak berada di Kuala Lumpur ketika itu, selain pembohongan tentang insiden “kencing”.

Baru tadi saya bertanya kepada bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas tersebut menerusi telefon sama ada beliau pernah mendengar tentang insiden “kencing” pada tiang bendera di depan kediaman Menteri Besar Selangor, memandangkan beliau bertugas di Kuala Lumpur di hari-hari hitam 13 Mei 1969 dan kerana beliau sendiri mengakui dalam autobiografinya, Nation Before Self, bahawa “Saya bangga bertugas sebagai anggota polis pada 13 Mei 1969”.

Yuen bukan sekadar mengesahkan bahawa insiden kencing di depan kediaman Menteri Besar Selangor pada 13 Mei 1969 itu adalah rekaan semata-mata, malah beliau mengatakan bahawa kalau memang ada orang yang berani berbuat demikian, tidak mungkin dia dapat meninggalkan kediaman Menteri Besar Selangor dalam keadaan bernyawa!

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas