BlogList Malaysia

28 August 2013

Facebook Tolak Permintaan Kerajaan Malaysia Dapatkan Maklumat Pengguna

Kerajaan akan merayu kepada Facebook untuk mendapatkan maklumat peribadi 197 pengguna laman sosial itu, kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia itu, Facebook berhak menolak permohonan kerajaan malah pastinya laman media sosial itu mempunyai sebab tersendiri mengapa mereka menolak permohonan itu.


"Aduan kepada Facebook beratus juta sehari maka pastinya pihaknya memilih untuk melayan aduan tersebut," katanya semasa ditemui pemberita di pusat membeli belah Pavilion, Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, laporan kepada Facebook bukan sahaja datang dari kerajaan seluruh dunia malah pemilik akaun individu juga mempunyai masalah dengan kandungan laman sosial berkenaan.

The Malaysian Insider hari ini melaporkan Putrajaya meminta maklumat 197 pengguna laman sosial daripada Facebook namun tiada satu pun daripadanya yang dipenuhi.

Semakan terhadap "Global Government Requests Report" yang dikeluarkan Facebook semalam mendapati, selain Malaysia, negara Asia Tengara (Asean) lain yang turut memohon maklumat pengguna ialah Singapura (117) dengan sejumlah (70 peratus data diberikan), Filipina (4) (25 peratus), Thailand (5) (0 peratus) dan Kemboja (1) (0 peratus).

Bagaimanapun, Facebook tidak mendedahkan dengan lengkap jenis permohonan yang dibuat kerajaan.Negara tertinggi membuat permohonan adalah Amerika Syarikat dengan sejumlah 20,000 - 21,000 permohonan, dan 79 peratus data diberikan oleh Facebook.

Menurut kenyataan Facebook itu, laporan itu dikeluarkan bagi tempoh enam bulan tahun 2013 yang berakhir pada 30 Jun.

Menurut peguam Facebook, Colin Stretch dalam kenyataan itu juga berkata, pihaknya menolak permohonan yang tidak mempunyai asas kukuh."Seperti yang kami maklumkan, kami percaya bahawa walaupun kerajaan mempunyai tanggungjawab penting untuk memastikan rakyat selamat, ia adalah mungkin untuk berbuat demikian pada masa sama menjadi telus.

"Ketelusan kerajaan dan keselamatan awam bukan idea cita-cita yang saling eksklusif. Setiap satunya boleh wujud pada masa sama dalam masyarakat yang bebas dan terbuka, dan mereka membantu menjadikan kita lebih kuat.

"Kami amat menggalakkan semua kerajaan untuk menjadi lebih telus mengenai usaha mereka yang bertujuan untuk menjaga keselamatan awam, dan kami akan terus menjadi penyokong agresif untuk pendedahan lebih besar,” katanya.

- tmi

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas