BlogList Malaysia

10 June 2013

Rayuan Sirul Dan Azilah Di Mahkamah 24 Jun


PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini membenarkan permohonan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar dan bekas Cif Inspektor Azilah Hadri bagi kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006 bagi memasukkan dua alasan baru.

Kedua-dua alasan tambahan itu ialah dengan mempersoalkan sama ada wujud perbicaraan silap oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana kemungkinan terdedah kepada 'publisiti buruk' secara meluas semasa perbicaraan hingga menimbulkan prejudis terhadap dirinya.


Selain itu alasan lain ialah bagi memasukkan dokumen tambahan ke dalam rekod rayuan.

Panel Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Mohamed Apandi Ali menangguhkan pendengaran rayuan sehingga 24 Jun ini dan memerintahkan peguam yang mewakili pihak berkenaan memfailkan dokumen berkaitan dalam tempoh 10 hari.

Panel itu juga termasuk Hakim Linton Albert dan Tengku Maimun Tuan Mat.

Sirul Azhar Umar, 39, dan Azilah Hadri, 34, diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin dan peguam J. Kuldeep Kumar, manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Peguam Cara Negara II, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Sirul Azhar dan Azilah Hadri didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 bagi kesalahan membunuh Altantuya, ketika itu berusia 28 tahun, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam, Selangor antara 10 malam pada 19 Oktober 2006 dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas