Satu demonstrasi oleh kira-kira 20 orang yang mengaku mewakili DAP untuk mengutuk DAP di sini semalam akhirnya dibongkar sebagai tunjuk perasaan anjuran parti Indian Progressive Front (IPF) yang bersekongkol dengan Barisan Nasional.
(IPF adalah parti mesra-BN yang sejak lebih 20 tahun ditubuhkan yang telah merayu untuk menyertai BN tetapi sentiasa ditolak oleh pucuk pimpinan BN.)
Menurut laporan Malaysiakini, para wartawan telah terlebih dahulu dihantar SMS yang mendakwa kononnya kira-kira 150 orang termasuk ahli-ahli DAP dari Seberang Prai akan berdemonstrasi semalam bagi membantah keputusan pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP yang diadakan pada bulan lalu.
Namun, apabila para wartawan datang untuk membuat liputan semalam, mereka hanya bertemu dengan kumpulan IPF itu di mana ketua tunjuk perasaan tersebut mendakwa mereka mengadakan demonstrasi itu “bagi pihak ahli DAP”.
Walaupun mengetahui fakta bahawa demonstrasi itu anjuran IPF, lidah rasmi UMNO Utusan Malaysia tetap tidak mempedulikan kebenaran dan telah menyiarkan tajuk berita muka depan akhbar itu hari ini sebagai “Ahli DAP bantah” serta tajuk kecil “Minta pemilihan semula CEC” dan “Kekalahan P. Ramasamy dibantah”.
Dr Ramasamy selaku Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Ahli Parlimen DAP Batu Kawan menolak demonstrasi palsu itu yang diketahuinya sengaja diadakan oleh anasir-anasir BN untuk mengelirukan rakyat.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Karpal Singh telah menjelaskan bahawa keputusan pemilihan CEC – hanya berlaku kesilapan penjumlahan undi yang melibatkan dua calon sahaja – adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah.
Katanya, Seksyen 18C Bahagian IA Akta Pertubuhan memperuntukkan bahawa:
“Keputusan sesuatu parti politik atau mana-mana orang yang diberi kuasa olehnya atau perlembagaannya atau kaedah kaedah atau peraturan-peraturan yang di bawahnya tentang pentafsiran perlembagaan, kaedah-kaedah atau peraturan peraturannya atau tentang apa-apa perkara yang berhubung dengan hal ehwal parti itu adalah muktamad clan konklusif clan keputusan itu tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan, dan tiada mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk melayani atau memutuskan apa-apa guaman, permohonan, soal atau prosiding atas apa-apa alasan berkenaan dengan kesahan keputusan itu.”
Pindaan Seksyen 18C itu dibuat pada 1988 oleh kerajaan BN pimpinan Dr Mahathir Mohamad selepas UMNO diharamkan pada tahun yang sama akibat tindakan mahkamah oleh cawangan UMNO terhadap pemilihan kepimpinan parti pada 1987. – Roketkini.com
0 Komen :
Post a Comment