SHAH ALAM - Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin menegaskan, beliau sudah pun memaafkan KS Bawani, yang menjadi tumpuan ekoran kemunculan satu klip video kontroversi melibatkan mereka, yang dikatakan telah mengaibkan penuntut jurusan undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, baru-baru ini.
Dalam kenyataan terbuka yang pertama sejak munculnya isu itu awal minggu lalu, Sharifah Zohra berkata, selain Bawani, beliau turut memaafkan kenyataan pemimpin-pemimpin politik negara yang mengutuknya dengan pelbagai dakwaan, yang dibuat secara sengaja atau tidak sengaja.
"Saya amat kesal kenyataan-kenyataan yang mengkritik saya secara peribadi dibuat tanpa menyiasat dengan lebih lanjut.
“Bagi saya kenyataan-kenyataan seperti ini adalah amat tidak profesional, namun saya maafkan mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, ekoran penyebaran klip video tersebut, ada pihak cuba mengambil kesempatan dengan memutarbelitkan fakta tanpa mengambil gambaran yang lebih besar.
Katanya lagi, ekoran dari persepsi negatif ini, ramai tidak melihat video tersebut sepenuhnya, yang mempunyai empat bahagian, tetapi malangnya hanya bahagian terakhir yang menjadi ‘fenomena’.
“Isu ini telah diputar belit bagi mendapatkan sokongan emosi, oleh itu saya tidak mahu lagi memanjangkan isu ini demi masa depan SW1M.
“Video sensasi yang bermotif politik ini telah menyebabkan saya dan keluarga tertekan, terutamanya anak kecil saya.
"Saya bimbang dengan keselamatan keluarga saya kerana saya telah menerima ancaman SMS tidak bertanggungjawab dari individu, kumpulan dan parti politik,” katanya.
Kata Sharifah Zohra lagi, beliau turut mempersoalkan kenapa sumpah pelajar UUM seperti di dalam klip video itu tidak menjadi sensasi seperti ‘listen, listen, listen’.
“Sumpah itu berbunyi: Kami anak anak bangsa peneraju negara, dengan ini berikrar, menentang budaya songsang perosak bangsa, menentang demonstrasi jalanan penghancur keamanan, menentang anasir luar yang menjadi barah perosak anak-anak bangsa, kami menyokong keamanan, keharmonian dan kesejahteraan sesama rakyat Malaysia berbilang bangsa tanpa campur tangan pihak ketiga,” katanya.
Katanya lagi, pihak yang mempunyai kepentingan tertentu telah berjaya menjadikan isu ini sebagai fenomena sehingga menyebabkan pelajar dan pihak-pihak lain membencinya tanpa sebarang alasan.
“Pada masa sama, fenomena video ini yang menyebabkan saya terkenal dalam satu hari sebenarnya bertujuan mengalihkan pandangan yang lebih penting terutamanya penyalahgunaan hak pelajar, kanak-kanak dan wanita dalam demonstrasi jalanan serta jenayah lain seperti dadah, masalah sosial, pembuangan bayi, HIV, Aids dan rogol.
“Jangan lupa juga, isu-isu politik semasa seperti isu keagamaan, hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan krisis air di Selangor yang turut melibatkan kaum wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Menteri Umno Belasah Sharifah Zohra
SHAH ALAM - Sambil menyifatkan KS Bawani sebagai seorang yang "komited dan sopan", Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini membidas Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) yang disifatkan beliau telah memperkecilkan mahasiswa undang-undang dari Universiti Utara Malaysia (UUM) itu."Tak perlu mengguna ayat-ayat yang boleh membawa maksud mencadangkan Bawani keluar dari Malaysia dan UUM.
"Adalah lebih baik kalau Sharifah berhujah dengan bijaksana, dengan pengajaran yang baik, berdebat dengan cara yang terbaik," katanya menerusi SMS kepada Sinar Harian Online.
Terdahulu, beliau mengadakan sesi pertemuan "teh tarik" dengan KS Bawani di ibu negara. Nama Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin dan Bawani tiba-tiba menjadi bualan hangat setelah klip video berdurasi sekitar 20 minit membabitkan mereka berdua tersebar luas di internet.
Video menyaksikan Bawani yang sedang lantang berhujah cuba dihentikan oleh Sharifah yang akhirnya mengundang suasana tegang apabila Bawani enggan berhenti bercakap.
Sharifah kemudiaannya mengulangi perkataan "listen" sebanyak 11 kali sebelum menarik pembesar suara itu daripada Bawani. Menurut Saifuddin, Sharifah Zohra tidak sepatutnya memperlakukan Bawani sedemikian rupa.
"Saya kesal kerana insiden ini berlaku. Bawani sepatutnya dibenarkan menghabiskan percakapannya. Sharifah tidak sepatutnya menarik pembesar suara untuk menghentikan Bawani bercakap. Ada cara lebih baik daripada itu," ujar beliau.
Beliau yang ada menghubungi dan bertemu sendiri dengan Bawani dan rakan-rakannya berkata, insiden seperti ini jika berterusan akan mewujudkan keadaan seperti "api dalam sekam".
"Saya dapat menyelami perasaan mahasiswa berkaitan insiden ini. Sebelum ini, saya mendengar pelbagai aduan tentang kes-kes mahasiswa dan orang muda diperlekehkan, diperkecilkan atau terlalu dikawal oleh sesetengah pihak. Sebab itu insiden ini menggamit minat ramai mahasiswa dan orang muda," katanya sambil menyeru pelbagai pihak mengambil iktibar daripada insiden tersebut.
Semalam, Naib Cancelor UUM, Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak akur Bawani agak kasar ketika bertanyakan soalan, namun katanya, Sharifah Zohra boleh memilih untuk menjawab secara profesional dan berhemah.
"Apa yang berlaku itu saya agak kesal kerana cara soalan itu dikendalikan, saya rasa boleh dengan cara yang lebih baik, cara soalan itu dijawab juga agak keras dan agak kasar, agak kurang sesuai.
"Saya terkilan dengan pendekatan dia menjawab soalan yang saya kira agak kurang profesional lah," katanya. ~sinar harian
0 Komen :
Post a Comment