BlogList Malaysia

10 January 2013

Penganjur tolak syor polis, tetap di Stadium Merdeka

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh menyarankan penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat supaya menyemak semula hasrat mereka untuk menggunakan Stadium Merdeka bagi mengadakan perhimpunan tersebut 12 Januari ini.

Sebaliknya, beliau mencadangkan penganjur menggunakan Stadium Bukit Jalil memandangkan ia mampu menampung kapasiti yang lebih besar dengan kemudahan pengangkutan awam yang lengkap termasuk LRT dan memenuhi keperluan aspek keselamatan.


"Ini kerana Perbadanan Stadium Merdeka telah meletakkan syarat utama agar perhimpunan tersebut disertai tidak boleh daripada 30,000 orang peserta berdasarkan kapasiti stadium yang hanya boleh menampung jumlah tersebut.

"Dengan sasaran penganjur untuk mengumpul seramai 1 juta peserta, maka secara logiknya perhimpunan tersebut adalah lebih sesuai diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Stadium Nasional Bukit Jalil adalah lebih sesuai dan selesa memandangkan ia mampu menampung kapasiti yang lebih besar dengan kemudahan pengangkutan awam yang lengkap termasuk LRT serta memenuhi keperluan dari aspek keselamatan," katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Dilaporkan pihak pengurusan Stadium Merdeka bersetuju membenarkan penggunaan stadium tersebut dan penganjur bersedia untuk mematuhi syarat dan peraturan seperti mana diputuskan dalam pertemuan hari ini.

Mohmad membuat saranan tersebut dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada jam 5 petang ini.

Sebelum itu, pihak penganjur telahpun mengadakan perbincangan dengan OCPD Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berhubung syarat dan persediaan perhimpunan itu diadakan di Stadium Merdeka.

Dalam kenyataan itu juga, Mohmad berkata beliau difahamkan permohonan untuk menggunakan Stadium Bukit Jalil pernah dibuat oleh penganjur pada Oktober lalu manakala di Stadium Merdeka pada Disember lalu.

Tambahnya, beliau dimaklumkan kedua-dua perbadanan stadium tersebut memberi kelulusan terhadap permohonan penganjur.

"Pihak penganjur adalah bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan perhimpunan anjuran mereka berlangsung dengan aman termasuk memilih lokasi perhimpunan yang sesuai dan relevan," katanya.

Pengerusi penganjur, Mohamad Sabu ketika dihubungi lewat petang ini bagaimanapun tidak berganjak dengan keputusan untuk mengadakan perhimpunan tersebut di Stadium Merdeka.

"Tetap di Stadium Merdeka," kata timbalan presiden PAS itu kepada Malaysiakini, ketika diminta mengulas saranan polis Kuala Lumpur.

Kenyataannya melalui SMS itu bagi menegaskan kenyataan anggota jawatankuasa penganjur, Tian Chua pagi ini yang turut berkeras demikian.

Tian Chua berkata demikian susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada malam semalam yang mencadangkan supaya penganjur mengguna Stadium Bukit Jalil kerana lebih "sesuai dan selamat" serta "tidak menyusahkan rakyat".


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas