Pemuda Umno Kedah hari ini mendesak kerajaan negeri Kedah supaya menghentikan operasi pembalakan di beberapa kawasan di negeri ini dengan kadar segera demi menjaga sumber air untuk rakyat.
Ketuanya Badrol Hisham Hashim mendakwa kerakusan kerajaan negeri menebang balak di beberapa kawasan iaitu di Hutan Simpan Gunung Inas di Sik, Gunung Pongsu di Baling, Bukit Perak di Pendang, Pedu dan Jeniang menyebabkan bekalan air tercemar.
Katanya ia juga mengakibatkan berlakunya bencana alam seperti banjir lumpur yang melanda di kawasan Bukit Perak, Pendang baru-baru ini yang merosakkan rumah dan kelengkapan barangan.
Kira-kira 20 ribu anggota Pemuda Umno negeri (gambar bawah) menyertai demonstrasi selama kira-kira 20 minit itu sebagai tanda bantahan terhadap projek pembalakan dijalankan oleh kerajaan negeri pimpinan PAS sejak mengambil alih petadbiran negeri ini pada 2008.
Badrol Hisham berkata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Exco yang terlibat perlu bertanggungjawab dalam perkara ini kerana rakyat di negeri ini tidak rela lagi ditipu dan mendengar pelbagai helah oleh Azizan demi melepaskan salah kerajaan negeri di mata rakyat.
Beliau mendakwa agenda utama kerajaan negeri membuka ladang rakyat di beberapa kawasan seperti di Pedu sebenarnya bertujuan untuk mengaut hasil balak tanpa memikirkan akibatnya kepada rakyat.
"Azizan tak boleh lagi berdolak-dalik kerana isu ini semakin hari semakin meruncing," katanya.
Menurutnya, walaupun pelbagai laporan dalam akhbar dan televisyen disiarkan mengenai isu itu namun Azizan mendiamkan diri dan mendakwa hasil tinjauan pihaknya mendapati kerja-kerja pembalakan makin rancak.- Bernama
4 penuntut IPT ditahan disyaki edar dadah
20 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment