Pendedahan tinjauan pendapat yang dijalankan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, UMCEDEL mengenai pemahaman masyarakat Cina terhadap hudud baru-baru ini, nyata membuka mata ramai pihak. Tinjauan tersebut mendapati, terdapat peningkatan sokongan masyarakat Cina terhadap pelaksanaan hukum hudud di Malaysia.
Lebih signifikan, bilangan peratusan mereka yang menerima pelaksanaan hukum hudud di negara ini meningkat dari 12 peratus dalam tinjauan terdahulu kepada 24 peratus dalam tinjauan terbaru.
Ini merupakan peningkatan sebanyak 12 peratus. Manakala peratusan masyarakat Cina yang tidak pasti dengan hudud telah menurun daripada 38 peratus sebelum ini kepada hanya 25 peratus.
Apa yang menarik mengenai tinjauan pendapat tersebut ialah generasi muda Cina telah mempamerkan kecenderungan untuk memahami pelaksanaan hudud berbanding golongan yang lanjut usia.
Kesemua hasil tinjauan pendapat UMCEDEL itu jelas menidakkan tanggapan selama ini bahawa masyarakat Cina mempunyai persepsi serong terhadap hudud. Pastinya, pendedahan ini bakal mengundang perasaan gundah-gulana kepada parti MCA yang begitu lantang membantah pelaksanaan hudud.
Persoalannya, apakah pucuk pimpinan MCA di bawah kendalian Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek akan memberi perhatian kepada kajian ini, atau meneruskan agenda untuk menentang hudud dan menolak bulat-bulat kajian itu?
Sekalipun bilangan responden Cina yang ditemuramah tidak sebanyak mana, namun bilangan kecil responden juga mewakili suara hati akar umbi.
Nyata, beberapa mesej tersirat dapat disimpulkan menerusi tinjauan pendapat itu. Antaranya, masyarakat Cina kini sudah makin celik dan berpengetahuan. Berbekalkan pengetahuan yang dimiliki dan ditambah pula dengan pendedahan terhadap ICT, maka tidak mustahil orang Cina tidak akan menerima sebarang propaganda secara membuta-tuli.
Orang Cina juga menghantar mesej kepada MCA bahawa hudud bukanlah isu utama yang dibimbangi mereka. Sebaliknya, isu-isu yang bersifat seharian seperti jenayah, rasuah, kos sara hidup dan keselamatan yang mendominasi pemikiran mereka.
Dalam keadaan ekonomi global yang masih terumbang-ambing, soal kelangsungan hidup makin kuat kedengaran. Jika kita meneliti kembali isu-isu yang mendominasi pada PRU ke-12 lalu, kebanyakan isu yang menjadi tumpuan masyarakat Cina bukannya hudud.
Malah sebagai seorang pengundi, isu-isu yang bersifat seharian inilah yang akan mempengaruhi pertimbangan parti politik yang akan disokong penulis kelak.
Apabila MCA baru-baru ini beria-ia menghentam pelaksanaan hukum hudud atas dasar ia akan mengheret negara ke kancah kemunduran, ada baiknya isu berkenaan tidak dipanaskan sebegitu rupa.
Walaupun bukan beragama Islam, penulis yakin dan percaya ada manfaatnya jika segala kekeliruan dan kecelaruan pihak berkaitan terhadap hudud diperjelaskan dengan sebaik-baiknya.
Oleh itu, penjelasan yang diberikan oleh tokoh-tokoh agama sedikit sebanyak dapat membantu meleraikan kekeliruan yang berbangkit. Walaupun secara prinsipnya MCA tidak akan berkompromi dalam isu hudud, tetapi sekurang-kurangnya dengarlah penjelasan oleh tokoh-tokoh agama terlebih dahulu.
Usahlah membuat tanggapan atau persepsi melulu bahawa hudud adalah negatif dan memudaratkan. Isu agama bukanlah sesuatu yang boleh dibangkitkan secara sewenang-wenangnya. Apa faedahnya isu ini terus digembar-gemburkan hingga kecoh jadinya di seluruh negara? Mengapa tidak MCA mengambil pendirian yang lebih pragmatik dalam mendidik masyarakat Cina dalam isu hudud?
Di manakah kewajaran untuk terus bertegas tetapi pada masa yang sama, kefahaman masyarakat Cina terhadap isu itu semakin meningkat? Tidakkah strategi sedemikian hanya memakan diri? Bukankah ini juga bercanggah dengan realiti semasa?
Hidup dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia, menuntut kita semua untuk bertoleransi antara satu sama lain. Apa yang tidak difahami dan tidak jelas, maka diperjelaskan kepada golongan yang terbabit.
Tidak rugi untuk MCA mendengar penjelasan tokoh-tokoh agama mengenai hudud. Tidak rugi juga untuk masyarakat Cina mendengar perkara yang sebenarnya. Soal untuk menerima atau membantah hukum hudud, itu soal kedua tetapi kesediaan mendengar itu adalah langkah permulaan yang baik.
Sama ada masyarakat Cina menerima pelaksanaan hudud atau tidak, masih terlalu awal untuk menentukannya. Tetapi apa yang pasti, masyarakat Cina perlu diberi kebebasan untuk menilai apa yang baik dan apa yang tidak baik.
Sebarang bentuk paksaan atau amaran yang dilakukan parti tertentu mungkin memberi kesan yang sebaliknya. Tidak semestinya semua strategi yang digunapakai akan memberi kesan yang dimahukan. - MalaysianInsider
* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.
http://www.tranungkite.net/v12/modules.php?name=News&file=article&sid=1042
11 November 2012
Hudud Dan Masyarakat Cina
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 Komen :
Post a Comment