BlogList Malaysia

14 September 2012

Pakatan lancar 'buku jingga' Agenda Wanita Malaysia

Pakatan Rakyat malam tadi melancarkan 'buku jingga' Agenda Wanita Malaysia (AWM) yang menggariskan tujuh tuju-tumpu wanita sebagai usaha memperkasa dan memberdaya ekonomi, politik dan sosial golongan itu di negara ini.

Agenda digunakan sebagai dasar dan polisi utama Wanita Pakatan Rakyat bagi mengangkat martabat kumpulan itu sebagai salah satu komponen dalam masyarakat sekaligus melaksanakannya jika berjaya menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.


Majlis pelancaran agenda tersebut disempurnakan oleh kepimpinan utama Pakatan Rakyat yang diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Kompleks Belia dan Sukan Selangor di Shah Alam.

Turut bersama merasmikan majlis pelancaran itu Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, ketua parlimen DAP Lim Kit Siang dan kepimpinan Wanita Pakatan Rakyat.

Tujuh tuju-tumpu yang terkandung buku agenda yang bertemakan "Wanita Berdaya Negara Sejahtera" - yang turut diedarkan kepada kira-kira 1,200 hadirin - merangkumi:

Dasar pendidikan yang "celik dan cerdik" terhadap wanita dengan menerapkan Falsafah Hormat Wanita dan peka gender dalam agenda pendidikan negara.

Memberi perhatian khusus kepada kelangsungan kesihatan dan hidup berkualiti kepada wanita.

Merangka program, menyelaras, menggalak dan membuka peluang dengan penglibatan wanita bidang ekonomi.

Merangka dan mengenalpasti agenda yang mementingkan kesejateraan sosial dan keselamatan di kalangan wanita.

Menyusun dan menyebarluas program pendemokrasian dan pendidikan politik di kalangan wanita secara berimbang di seluruh negara.

Melakukan pemberdayaan dan penguatkuasaan undang-undang serta penambaikan terhadap akta dan dasar yang tertumpu antaranya kepada jenayah keganasan, gangguan seksual, keganasan rumah tangga, diskriminasi dan pemerdagangan wanita.

Memberdaya golongan Wanita Muda yang berumur 18 hingga 35 tahun dari aspek pengukuhan jati diri, pemantapan keluarga, pemberdayaan ekonomi mandiri dan keseimbangan kerjaya.

Sebelum merasmikan buku agenda itu, Anwar dalam ucapannya menggesa Wanita Pakatan Rakyat menyediakan rangka tindakan dengan menyediakan program yang lebih berkesan khususnya terhadap wanita di desa dan kawasan pendalaman.

Sambil menyifatkan ia satu cabaran yang besar, Anwar turut mencadangkan supaya Wanita Pakatan Rakyat mencontohi pengalaman Kelantan yang dipimpin oleh PAS mendekati kumpulan tersebut.

"Mendekati wanita di bandar tidak sama dengan wanita di kawasan desa dan pedalaman. Dan cabaran kita yang besar adalah di kawasan desa dan pedalaman.

"Saya percaya rakan-rakan pimpinan PAS, DAP dan Keadilan tidak menjadikan ia sebagai slogan atau retorik biasa yang dilakukan, kerana sudah 50 tahun lalu dengan retorik yang sama.

"Semua ingin memberdaya dan memperkasa tetapi akhirnya bukan memberdaya tapi memperdaya... Sebab itu kita mahu supaya ada program (dalam) satu kertas biru khas. Kita tidak punyai banyak masa," katanya.

Anwar berkata beliau yakin Pakatan dapat menguasai Putrajaya sekiranya semua pihak dalam gabungan itu berjaya menembusi "sedikit ruang" dengan mendapat sokongan wanita desa dan pedalaman.

"Saya percaya ini masa dan ketikanya, rakan kita dalam DAP, PAS dan Keadilan bersama, untuk melihat, kalau kita mahu menawan Putrajaya, Insya-Allah, saya yakin kita dapat tawan Putrajaya.

"Tetapi kita perlu sedikit 'push' di kalangan masyarakat pedalaman dan desa. Lebih-lebih lagi di kalangan wanita," katanya.

Dalam sidang media selepas itu, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata Wanita Pakatan Rakyat merangka strategi untuk turun ke akar umbi bagi menjelaskan kandungan AWM khususnya wanita di desa dan pedalaman.

Bagi tujuan itu, katanya, mereka merancang untuk mengadakan bengkel di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat bagi mengupas dan menghadam agenda tersebut sebelum meneruskannya di peringkat parlimen dan cawangan.

Zuraida yang juga ahli parlimen Ampang berkata bengkel tersebut akan diadakan pada 23 September ini di Selangor.

"Kita juga ada jawatankuasa khas untuk membincang mengenai tujuh tuju-tumpu itu dan ia akan dilakukan oleh kumpulan profesional dalam bidang masing-masing," kata Naib Ketua Muslimat PAS Mumtaz Mat Nawi yang turut serta dalam sidang media itu.

Kemudian Zuraida mencelah: "Kemudian kita akan menetapkan tarikh untuk menjelajah ke seluruh negara untuk menarik (tumpuan) kumpulan (wanita) tersebut".

Sebagai reaksi terhadap cadangan Anwar yang mencadangkan supaya mencontohi pengalaman Kelantan, Zuraida menyambut baik cadangan itu dan akan mengkaji, mengenalpasti strategi yang digunakan dan mengubahsuai berdasarkan keperluan dan keadaan.

Wanita Pakatan Rakyat juga mengharapkan maklumbalas berhubung agenda itu daripada 25 NGO wanita yang turut hadir di majlis perasmian itu.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas