Sebuah penggambaran iklan yang didakwa berkaitan masalah air dijalankan secara 'rahsia' di sebuah blok pangsapuri di Petaling Jaya.
Walaupun tahu ia berkaitan masalah air, penduduk yang ditemui rata-rata tidak jelas rancangan sebenar penggambaran itu.
Beberapa pelakon tambahan - sebahagiannya penduduk setempat - juga memberitahu Malaysiakini, mereka hanya diberitahu akan dibayar RM50 dan tidak tahu mesej iklan yang dilakonkan mereka.
Beberapa penduduk, antaranya Dr S Paramananthan mendakwa penggambaran itu mungkin berkaitan isu air Selangor.
Bagaimanapun, pihak produksi pula ketika ditemui enggan menjelaskan butiran terperinci rancangan televisyen komersial itu kerana ia didakwa melibatkan kerahsiaan dengan pelanggannya.
"(Iklan) kempen air. Selebihnya saya tak boleh cakap. Saya harap awak semua hormati tugas saya," kata penerbit iklan itu Cheong Wai Leng ketika ditemui di tapak penggambaran.
Babak beratur dapatkan air
Beliau menjelaskan ia berkenaan kempen penjimatan air.
Bagaimanapun ketika ditanya kenapa babak yang dilakonkan seolah-olah menggambarkan isu masalah bekalan air, Cheong enggan mengulasnya.
"Tak boleh dedahkan (butiran penggambaran). Kalau tak, kita yang akan disaman oleh pelanggan. Kami hanya bekerja dan kita mempunyai pelbagai pelanggan.
"Ini bukan kali pertama kami membuat penggambaran untuk iklan," kata Cheong lagi.
Pemberita juga dilarang merakam keadaan di tempat itu, melaporkan keadaannya dan diminta meninggalkan kawasan penggambaran.
Tinjauan Malaysiakini sejak jam 7 pagi sehingga berita ini ditulis mendapati, kira-kira 200 orang terlibat dalam penggambaran itu.
Kelihatan babak orang ramai beratur mendapatkan air daripada lori bekalan air dilakonkan. Mereka juga diminta untuk 'menjerit' dan mengangkat tong air.
Produksi iklan itu juga kelihatan membawa empat lori kontena barangan dan persediaan set.
Penduduk setempat bagaimanapun memberitahu Malaysiakini kawasan mereka tidak mempunyai masalah gangguan bekalan air.
"Ini seperti nak tunjuk yang kita tak ada air," kata penduduk pangsapuri itu Dr S Paramananthan kepada pemberita.
Penggambaran P&C, bukan rahsia
Sementara itu, seorang produser eksekutif di syarikat penerbitan iklan berkenaan Chow Chun Son ketika dihubungi bagaimanapun enggan menjelaskan sama ada penggambaran tersebut adalah untuk menunjukkan berlakunya krisis air di Petaling Jaya.
Ditanya sekiranya penggambaran tersebut dibiayai BN, Chow berkata beliau tidak dapat menjawab perkara.
"Sekali lagi, saya tidak boleh jawab," katanya yang menafikan bahawa penggambaran tersebut dibuat secara rahsia.
"Ia bukannya diselubungi rahsia tapi ianya sulit dan persendirian. Ia adalah garis panduan standard dalam industri ini," katanya.
Jelasnya, syarikatnya akan mengambil tindakan sama sekiranya mana-mana pihak mengupahnya untuk penggambaran iklan.
"Jika kami buat penggambaran iklan untuk Malaysiakini, kami juga akan kata perkara sama," katanya.
0 Komen :
Post a Comment