BlogList Malaysia

05 July 2012

Uncleseekers Ditahan Dibawah Akta Rahsia Rasmi

Penulis blog Syed Abdullah Syed Husein Al-Attas yang lebih dikenali dengan nama Uncle Seekers ditahan polis di plaza tol Senawang, Negeri Sembilan pada malam tadi.

Timbalan ketua jabatan siasatan jenayah Johor ACP Mohd Akhir Ishak berkata, lelaki itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 8(1)(d) Akta Rahsia Rasmi 1972.

"Kami menahan seorang lelaki dipercayai pemilik laman blog Uncle Seekers (www.uncleseekers.blogspot.com). Dia ditahan pada pukul 9.45 malam, 4 Julai (semalam).


Katanya lagi, polis akan mendapatkan perintah reman ke atas lelaki berkenaan pada petang ini.

Anak kepada penulis buku politik popular Syed Hussein Al-Attas itu kini ditahan di lokap polis Air Molek, Johor, katanya.

Dalam operasi di Senawang pada malam tadi, polis turut menahan seorang wanita berusia 26 yang berada bersama lelaki berkenaan, tambahnya.

Tiga puluh individu pada Ahad lalu dilaporkan menuntut supaya siasatan dijalankan ke atas pengamal paranormal itu supaya berhubung penyiaran tulisan kontroversi dalam blog tersebut.

Kumpulan itu mendakwa, tulisan dalam blog berkenaan berunsur provokasi, hasutan dan mengaibkan Tunku Mahkota Johor, Sultan Johor serta penjawat awam kerajaan Johor.

Kumpulan itu juga meminta pihak berkuasa supaya menutup blog yang didakwa menyiarkan "dokumen sulit" itu.

Laporan berkenaan bagaimanapun tidak menyatakan dakwaan yang ditimbulkan Syed Abdullah.

Statistik di blog berkenaan menunjukkan ia telah menerbitkan tulisan sejak Julai 2008 dan kini menerima kunjungan hampir 10 juta pembaca.

Ia antara lainnya menerbitkan 64 bahagian tulisan berhubung isu yang didakwa melibatkan keluarga Istana negeri tersebut.

Pada Selasa lalu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika mengulas mengenai tuduhan yang ditimbulkan Syed Abdullah itu berkata: "Biarlah anjing itu menyalak semahunya. Saya tahu kebenarannya, rakyat Johor juga tahu kebenarannya.

"Mengapa saya harus beri reaksi kepada (dakwaan) karut," katanya ketika menjawab satu soalan yang diajukan seorang pengikutnya di Twitter.

Malaysiakini


UncleSeekers Ditahan, Dibawa ke Mahkamah Untuk Disiasat di Bawah Seksyen

Pengamal paranormal Syed Abdullah Hussein Al-Attas atau lebih dikenali sebagai Uncle Seekers ditahan polis malam tadi berhubung penyiaran artikel dalam blognya baru-baru ini, yang dikatakan berunsur provokasi, hasutan dan mengaibkan Sultan Johor.


Turut ditahan seorang perempuan berusia 26, dikenali sebagai Siti Nadhirah Mohd Zain.


Timbalan Ketua Polis Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Mohd Akhir Ishak mengesahkan tangkapan itu.


"Polis menerima tujuh laporan polis ke atas pengendali laman blog itu sejak 13 Jun lalu. Susulan itu, dua pasukan polis telah melakukan tangkapan ke atas malam tadi.


"Kedua-dua yang ditangkap untuk siasatan lanjut bersangkut kes di bawah Seksyen 8(1) (d) Akta Rahsia Rasmi 1972," katanya pada pemberita di Johor Bharu, tengah hari tadi.


Mohd Akhir berkata, jika disabit kesalahan mereka boleh dipenjara setahun dan tidak melebihi tujuh tahun.


Tangkapan ke atas mereka telah dilakukan semalam, lebìh kurang 9.45 malam di Tol Senawang, Seremban, Negeri Sembilan.


Dalam pada itu, bapanya Syed Abdullah, Syed Hussein Alattas atau lebih dikenali dengan gelaran Pak Habib ketika dihubungi Sinar Harian Online berkata, beliau tidak ada maklumat lanjut mengenai penahanan anaknya itu.


"Saya difahamkan dia ditahan malam tadi. Orang beritahu saya dia ditahan. Saya belum dapat pengesahan. Dia pun belum hubungi saya," kata bapanya, Syed Hussein Alattas atau lebih dikenali dengan gelaran Pak Habib ketika dihubungi Sinar Harian Online sekitar 10 pagi tadi.


Berdasarkan laporan media 1 Julai lalu, 30 individu membuat laporan polis terhadap Uncle Seekers berhubung penyiaran artikel dalam blognya yang dikatakan berunsur provokasi, hasutan dan mengaibkan Sultan Johor.


Laporan polis dibuat di Balai Polis Sentral, Johor Bahru bagi memohon pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap blog uncleseekers.blogspot.com yang turut berunsur mengaibkan Tunku Mahkota Johor, pemimpin dan penjawat awam kerajaan Johor.


Wakil kesemua individu berkenaan, seorang peniaga, Khairil Azlishah Jalil, 32, ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya meminta blog berkenaan ditutup memandangkan terdapat dokumen-dokumen sulit yang dipaparkan pada blog tersebut.


"Sebagai rakyat Johor yang taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim dan kerajaan berperlembagaan, kami tidak puas hati dengan dakwaan-dakwaan serta hasutan yang boleh memecahbelahkan rakyat Johor dan kesejahteraan negeri ini," katanya.


 
Sinar Harian



Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas