BlogList Malaysia

24 July 2012

Merdeka - Tempoh Seminggu Untuk Kerajaan Tukar Tema


KUALA LUMPUR 24 Julai: Pakatan Rakyat (Pakatan) memberi kerajaan tempoh seminggu untuk menukar tema kemerdekaan ‘Janji Ditepati’ yang merupakan slogan Barisan Nasional, kepada suatu tema yang lebih inklusif untuk semua rakyat Malaysia.

“Macam mana slogan parti politik boleh jadi tema merdeka untuk sebuah negara? Ini teruk. ‘Janji Ditepati’ ialah slogan Barisan Nasional. Minta kerajaan tukar kepada yang lebih inklusif, yang merangkumi semangat kemerdekaan negara kita.


“Jangan buat satu tema yang hanya ikut selera (BN). Kerajaan jangan bawa tema yang tak mencerminkan semangat kebangsaan,” kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, di Jalan Raja Laut hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat bersama wakil parti DAP dan KEADILAN.

Sementara itu, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, Pakatan Rakyat sedia membantu dan sanggup duduk semeja dengan pemimpin BN, jika mereka benar-benar ketandusan idea untuk menamakan tema kemerdekaan tahun ini.

“Kita akan cadang dan bantu mereka (kerajaan). Kemudian kerajaan putuskan. Tapi tidak pula bermakna, Pakatan Rakyat akan buat satu tema kemerdekaan yang semata-mata menyebelahi kita.

“Kalau kerajaan tak setuju untuk bincang, Pakatan Rakyat sendiri akan cadangkan tema kemerdekaan. Kemudian kita tengok, rakyat pilih yang mana,” katanya.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad pula berkata, jika sambutan kemerdekaan ini adalah yang terakhir untuk BN, sekurang-kurangnya tema kali ini menggarap hasrat seluruh rakyat Malaysia.

“BN jangan lupa, Pakatan Rakyat ada 48 peratus undi popular. Jangan tema kali ini mencipta satu ‘Malaysia yang lain’. Merdeka ini bukan untuk BN sahaja,” katanya.

Hadir sama, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen (MP) Seputeh, Teresa Kok; MP Bukit Bendera, Liew Chin Tong dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=33279


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas