BlogList Malaysia

27 July 2012

Kajian Prof. Kangkung UUM Adalah Benar.. BN Dapat Sokongan Kuat Rakyat.. BUBAR SAJALAH PARLIMEN..

Ahmad Bashah: Kajian MPN telus, tidak berat sebelah

Pembentangan hasil kajian oleh beberapa universiti mengenai peluang BN merampas kembali negeri-negeri dikuasai pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 tidak patut dipersoal kerana ia benar dan tidak berat sebelah.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata kajian itu, yang dibentangkan Rabu lepas bertajuk 'Prestasi dan Potensi BN di Empat Negeri: Siapa Jadi Pilihan', adalah berdasarkan suara rakyat dan bukan suara BN.

Katanya, apa yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat kepercayaan rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang menjamin kesejahteraan mereka.


"Ini satu kajian baik dan menggambarkan pembaharuan yang dibawa perdana menteri memberi kesan di hati rakyat terutama di empat negeri pembangkang.

"Gambaran ini menunjukkan perubahan pemikiran dan kehendak rakyat terhadap Umno dan BN," kata Ahmad Bashah kepada pemberita selepas merasmikan seminar motivasi pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) di Alor Setar hari ini.

Menyentuh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang mempersoal tindakan Majlis Profesor Negara (MPN) menerajui kajian isu PRU, Ahmad Bashah berkata ia membuktikan kerajaan Pakatan Rakyat merasa tergugat.

Katanya, Azizan mempersoal tindakan MPN kerana mahu mendapat kembali sokongan rakyat negeri ini terhadap PAS yang kini dihantui beberapa isu yang gagal diselesaikan.

Ahmad Bashah yang juga ADUN Bakar Bata berkata rakyat telah menilai dari pelbagai sudut dan mereka mahu sebuah kerajaan yang benar-benar memperjuang hak rakyat dan bukan hanya cakap kosong.

Rabu lepas, tiga universiti - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Univerisiti Islam Malaysia (UIAM) mendedahkan hasil kajian pada sesi pembentangannya yang bertajuk, 'Prestasi dan Potensi BN di Empat Negeri: Siapa Jadi Pilihan anjuran Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa MPN di ibu negara.

Kesimpulan kajian itu menunjukkan BN mempunyai peluang cerah untuk memenangi PRU ke-13 termasuk menawan semula Selangor dan Kedah.

Sementara itu, MIC Kedah pula menyokong hasil kajian bahawa Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk menawan semula Kedah dan Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusinya, S. Ananthan berkata pihaknya turut mendapati pengundi India kini khususnya di kawasan yang terdapat ramai masyarakat India seperti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas dan Bukit Selambau beralih menyokong BN.

"Berlaku pendirian lebih positif di kalangan pengundi yang semakin condong menyokong BN," katanya kepada Bernama.

Belau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Pusat Kajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran UKM, Dr Fuad Mohd Jali bahawa BN dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi pilihan raya umum ke-13 termasuk menawan semula sekurang-kurangnya Selangor dan Kedah.

Kajian itu didapati hasil temubual pihaknya dengan 1,400 responden di Kedah dan Selangor dari Mac hingga Mei lalu.

Ananthan yang juga Penyelaras BN DUN Lunas berkata misalnya di Pusat Khidmat DUN tersebut, semakin ramai masyarakat India yang mengunjungi pusat itu.

"Pusat berkenaan yang diwujudkan sebaik BN tewas di DUN Lunas pada 2008, kini menjadi tempat mengadu dan memohon bantuan.

"Lebih-lebih lagi selepas Adun Lunas, Mohammad Radzhi Salleh bertindak keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi Adun Bebas sejak 2009.

"Begitu juga dengan anggota parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan yang bertindak keluar PKR dan menjadi Anggota Parlimen Bebas pada 2011.

"Sebilangan besar daripada masyarakat India di situ hilang tempat bergantung. Setiap bulan beratus orang datang untuk mendapat pelbagai kemudahan, nasihat dan bantuan yang pihaknya tidak pernah pun menolak tetapi sedia mendengar masalah mereka," kata Ananthan.

-Bernama


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas